Adakah penggunaan fluorida topikal semasa awal zaman kanak-kanak dikaitkan dengan gigi berbelak-belak?
Mesej utama
Terdapat beberapa bukti tahap fluorida yang lebih tinggi (1000 bahagian per juta (ppm) atau lebih) dalam ubat gigi yang diberi kepada kanak-kanak berumur 1 hingga 2 tahun dikaitkan dengan peningkatan risiko fluorosis gigi (berbelak/perubahan warna) pada gigi kekal.
Tiada bukti konklusif tentang risiko fluorosis gigi kekal yang berkait dengan bila kanak-kanak harus mula memberus gigi, jumlah ubat gigi yang digunakan, dan kekerapan memberus gigi.
Apakah fluorosis gigi (berbelak-belak)?
Penyelidikan terdahulu menunjukkan penggunaan berfluorida boleh mencegah kerosakan gigi. Walau bagaimanapun, kanak-kanak kecil yang terdedah kepada terlalu banyak fluorida semasa pembentukan gigi boleh mendapat fluorosis gigi kekal. Fluorosis boleh dilihat sebagai jalur-jalur putih, coretan, tompok legap yang lebih besar, warna keperangan, pit, atau pecah pada gigi kekal.
Apakah yang kami ingin tahu?
Dalam ulasan kemas kini ini, kami ingin tahui jika ada lebih banyak kajian terkini yang direka bentuk dengan baik telah diterbitkan untuk menentukan jika penggunaan fluorida topikal semasa zaman awal kanak-kanak dikaitkan dengan gigi kekal berbelak.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian-kajian yang meneroka kaitan antara pelbagai pendedahan fluorida topikal dalam kalangan kanak-kanak (seperti umur mereka mula memberus gigi, kekerapan memberus gigi dan kepekatan ubat gigi berfluorida yang diguna) dan risiko fluorosis gigi kekal mereka. Kami membanding dan merumuskan keputusan-keputusan dan menilai keyakinan terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang kami temui?
Kami temui sejumlah 43 kajian diterbitkan antara 1988 dan 2022, melibatkan 32,181 kanak-kanak. Julat umur kanak-kanak pada masa penilaian fluorosis adalah 6 hingga 18 tahun. Kajian berbeza-beza dalam cara perlaksanaan: 3 adalah kajian eksperimen dan 40 adalah kajian pemerhatian. Kajian-kajian dijalankan di Australia, Belgium, Brazil, Kanada, Colombia, Jerman, India, Ireland, Mexico, Norway, Poland, Sweden, Thailand, UK, dan Amerika Syarikat.
Keputusan utama
Fluorosis yang dikenal pasti dalam kebanyakan kajian dianggap sebagai fluorosis ringan.
Kami tidak tahu jika risiko mendapat fluorosis gigi kekal dikaitkan apabila kanak-kanak mula menerima aplikasi varnis fluorida topikal dan memberus gigi dengan ubat gigi berfluorida, jumlah ubat gigi yang diguna oleh kanak-kanak atau kekerapan memberus gigi.
Memberus gigi dengan ubat gigi kepekatan fluorida 1000 ppm atau lebih dari umur 1 hingga 2 tahun cenderung dikaitkan dengan peningkatan peluang untuk fluorosis gigi dalam gigi kekal.
Apakah batasan bukti?
Kami sering sedikit yakin terhadap bukti kerana kaedah-kaedah yang diguna dalam kajian-kajian yang disertakan.
Kadangkala laporan kajian tentang jenis fluorida, kekerapan memberus gigi dan jumlah ubat gigi yang diguna adalah lemah, dan kami tidak dapat menentukan jika pendedahan kepada fluorida berlaku sebelum kanak-kanak berumur 6 tahun. Kami tidak memasukkan kajian-kajian ini dalam analisis, oleh itu beberapa bukti boleh terlepas.
Adakah bukti ini mutakhir?
Ulasan ini mengemaskini ulasan terdahulu. Bukti adalah terkini setakat Julai 2022.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia).