Langkau ke kandungan utama

Intervensi psikologi dalam penyakit radang usus

Adakah penghidap penyakit radang usus (IBD) akan berasa lebih baik apabila mereka mendapat terapi psikologi berserta dengan ubat biasa mereka?

Mesej utama

1. Rawatan psikologi mungkin mempunyai faedah yang kecil terhadap kesan kualiti hidup dan gejala kemurungan dan keresahan dalam kalangan orang dewasa dengan IBD.

2. Mungkin tiada kesan terhadap keradangan dan gejala fizikal, tetapi kami sangat tidak pasti tentang keputusan ini.

3. Dalam kalangan remaja, psikoterapi mungkin berkesan dalam meningkatkan kualiti hidup. Kami tidak pasti tentang kesan terhadap kemurungan, keresahan dan keradangan.

Apakah itu penyakit radang usus?

Penyakit radang usus adalah sekumpulan penyakit sepanjang hayat yang menyebabkan usus meradang. Bentuk utama dipanggil penyakit Crohn dan kolitis ulseratif. Adakalanya diagnosis tidak dapat diputuskan antara penyakit Crohn dan kolitis ulseratif. Penyakit radang usus kemudiannya dipanggil kolitis tidak terklasifikasi atau tidak dapat ditentukan. Penghidap penyakit radang usus sering mengalami masalah usus seperti sakit, cirit-birit dan kehilangan darah. Ramai pesakit juga berasa letih, murung atau resah.

Apakah terapi psikologi?

Kami telah mentakrifkan terapi psikologi secara umum, sebagai tiga jenis utama: psikoterapi, pendidikan dan relaksasi. Psikoterapi membantu pesakit menangani fikiran dan perasaan. Pendidikan digunakan untuk pemahaman yang lebih baik tentang penyakit dan kesukaran yang datang dengan penyakit ini. Relaksasi membantu pesakit untuk bertenang. Kami telah meneliti semua jenis terapi ini kerana ia sering digabungkan dan bertindih antara satu sama lain.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui jenis rawatan psikologi yang telah diselidiki dalam kajian dan sama ada rawatan psikologi yang berbeza menjadikan pesakit dewasa dan kanak-kanak berasa lebih baik.

Apakah yang kami lakukan?

Kami telah mencari kajian tentang kesan terapi psikologi terhadap kanak-kanak dan orang dewasa dengan penyakit radang usus. Kami memberikan tumpuan khusus terhadap kesan ke atas kualiti hidup. Kami juga meneliti sama ada mood bertambah baik, pesakit kurang rasa resah dan sama ada keradangan telah dirawat. Kualiti kajian telah diperiksa. Seterusnya kami merumuskan keputusan daripada semua kajian mengenai jenis rawatan psikologi yang berbeza.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui 68 kajian, tetapi hanya 48 melaporkan maklumat yang diperlukan untuk rumusan kami. Terdapat 6111 peserta dewasa dan 294 kanak-kanak serta remaja. Semua kajian mempunyai kumpulan kawalan yang terdiri daripada pesakit yang tidak menerima rawatan psikologi atau yang menerima rawatan jenis lain. Dalam kebanyakkan kajian, rawatan adalah gabungan terapi psikologi: psikoterapi, pendidikan dan relaksasi.

Keputusan utama

Dalam kalangan orang dewasa yang menghidap penyakit radang usus, berbanding dengan yang tiada rawatan tambahan:

- Psikoterapi boleh meningkatkan kualiti hidup dan mengurangkan gejala kemurungan serta keresahan, tetapi kesannya adalah kecil.

- Rawatan yang merangkumi pendidikan atau relaksasi juga mungkin sedikit sebanyak meningkatkan kualiti hidup serta mengurangkan gejala kemurungan dan keresahan.

Dalam kalangan kanak-kanak dan remaja yang menghidap penyakit radang usus:

- Psikoterapi meningkatkan kualiti hidup.

- Tiada maklumat mengenai kesan pendidikan atau relaksasi.

Rawatan tersebut mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan terhadap keradangan dan gejala fizikal.

Apakah batasan bukti?

Semua kesan adalah kecil. Terdapat banyak rawatan yang berbeza, dan ia boleh menjadi sukar untuk dibandingkan. Jenis rawatan tidak dapat disembunyikan (dibutakan) daripada peserta, dan tiada plasebo atau rawatan palsu (rawatan olok-olok) untuk tujuan perbandingan. Oleh itu, keputusan daripada kajian-kajian ini tidak boleh dipercayai sebagaimana ubat diuji (di mana proses pembutaan boleh dilakukan). Selain itu, banyak kajian yang disertakan adalah kecil.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Ulasan adalah terkini sehingga Mei 2023.

Apakah langkah seterusnya?

Kami akan menjalankan analisis lain untuk mengenalpasti bahagian yang paling berkesan daripada rawatan yang berbeza dan kepada siapa ia berkesan.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Nor Aimilia Hanim Binti Ab Satar. Disunting oleh Salizawati Muhamad Salhimi (Pusat Pengajian Sains Farmasi, Universiti Sains Malaysia).

Petikan
Tiles-Sar N, Neuser J, de Sordi D, Baltes A, Preiss JC, Moser G, Timmer A. Psychological interventions for treatment of inflammatory bowel disease. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 4. Art. No.: CD006913. DOI: 10.1002/14651858.CD006913.pub3.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan