Langkau ke kandungan utama

Adakah kemoterapi sebelum pembedahan memperbaik survival atau kualiti hidup dalam kalangan wanita dengan kanser ovari epitelium lanjutan?

Mesej utama

  • Terdapat sedikit perbezaan dalam tempoh masa wanita dengan kanser ovari epitelium lanjutan (EOC) boleh bertahan, sama ada mereka menjalani kemoterapi atau pembedahan terlebih dahulu. Mungkin terdapat sedikit perbezaan dalam tempoh masa yang diambil untuk EOC kembali selepas rawatan.

  • Memberi kemoterapi sebelum pembedahan (kemoterapi neoadjuvant (NACT) dan pembedahan ‘cytoreductive’ interval (ICRS)) mungkin mengurangkan beberapa risiko pembedahan; mungkin mengurangkan separuh risiko yang memerlukan pembuangan usus semasa pembedahan; dan mungkin mengakibatkan pengurangan besar dalam risiko memerlukan stoma (usus dialihkan melalui dinding perut ke dalam beg untuk mengumpul kandungan usus).

  • NACT/ICRS ialah alternatif kepada pembedahan diikuti dengan kemoterapi (pembedahan ‘cytoreductive’ primer (PCRS) dan kemoterapi adjuvant) dalam kalangan wanita dengan EOC tahap IIIC/IV. Keputusan tentang rawatan mana yang perlu diambil terlebih dahulu akan bergantung kepada pilihan pesakit, tahap kesihatan wanita pada masa diagnosis, risiko pembedahan, dan amaun dan penyebaran penyakit.

Apakah kanser ovari epitelium, dan bagaimana ia dirawat?

Kanser ovari adalah kanser kelapan paling lazim di seluruh dunia dalam kalangan wanita. Sekitar 90% kanser ovari adalah kanser ovari epitelium (EOC), yang timbul daripada permukaan ovari atau lapisan tiub fallopian. Kebanyakan wanita dengan EOC didiagnosis apabila kanser berada di peringkat lewat, dan penyakit telah merebak ke seluruh kaviti abdomen (peringkat IIIC/IV). Sel-sel yang tidak normal boleh merebak ke seluruh kaviti abdomen walaupun tumor utama adalah mikroskopik (tidak dapat dilihat), melekat pada permukaan lain, dan tumbuh sebelum ia mengakibatkan gejala. Walaupun kadar survival telah bertambah baik dalam tempoh 20 tahun terakhir, hanya dua dari setiap lima wanita dengan EOC masih hidup lima tahun selepas diagnosis.

Rawatan untuk kanser ovari melibatkan gabungan pembedahan dan kemoterapi. Pembedahan bertujuan membuang sebanyak mungkin kanser yang boleh dilihat (makroskopik). Walau bagaimanapun, dengan penyakit yang meluas, pembedahan sahaja tidak mungkin menyembuhkan EOC, dan kebanyakan wanita juga memerlukan kemoterapi, menggunakan ubat berasaskan platinum untuk merawat sel yang tidak boleh dikeluarkan melalui pembedahan (penyakit makroskopik) atau tidak dapat dilihat (penyakit mikroskopik).

Secara tradisi, kemoterapi diberi selepas pembedahan (pembedahan ‘cytoreductive’ primer (PDS) dan kemoterapi adjuvan). Walau bagaimanapun, kemoterapi boleh digunakan sebelum pembedahan (kemoterapi neoadjuvant (NACT) dan pembedahan ‘cytoreductive’ interval (ICRS)). Wanita yang menerima NACT dan IDS melengkapkan baki kitaran kemoterapi selepas pembedahan.

Mengapa hal ini penting?

Wanita dengan EOC lanjutan mungkin sangat tidak sihat semasa diagnosis atau boleh memerlukan pembedahan ekstensif untuk membuang semua penyakit yang boleh dilihat, atau kedua-duanya. NACT boleh membantu mengecutkan EOC sebelum pembedahan, yang mungkin mengakibatkan wanita memerlukan pembedahan yang kurang ekstensif, atau cukup sihat untuk menjalani pembedahan.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin tahu sama ada memberi kemoterapi sebelum pembedahan adalah lebih baik daripada melakukan pembedahan terlebih dahulu.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mengulas bukti sama ada NACT dan ICRS atau PCRS diikuti dengan kemoterapi adalah lebih berkesan dan selamat dalam kalangan wanita yang didiagnosis dengan EOC lanjutan. Kami membanding dan merumus keputusan-keputusan kajian tersebut dan menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah-kaedah dan saiz-saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami sertakan lima kajian melibatkan sejumlah 1774 wanita. Kami dapat kumpulkan data daripada empat kajian (1692 wanita). Kajian ini membandingkan wanita yang diberi NACT/ICRS dengan wanita yang menjalani PCRS sebelum kemoterapi.

Kami temui sedikit atau tiada perbezaan antara rawatan hingga masa kematian, dan mungkin sedikit atau tiada perbezaan dalam masa untuk pertumbuhan semula penyakit.

NACT/ICRS mengurangkan kematian akibat pembedahan dan mungkin mengurangkan risiko beberapa kesan pembedahan teruk yang tidak diingini. NACT/ICRS mungkin mengakibatkan pengurangan besar risiko memerlukan stoma (usus yang dialih melalui dinding perut ke dalam beg untuk mengumpul kandungan usus) dan mungkin mengurangkan risiko memerlukan pembuangan usus semasa pembedahan (reseksi usus). Secara keseluruhan, gejala dan kualiti hidup pesakit mungkin sedikit lebih baik pada 6 bulan selepas rawatan dengan NACT/ICRS, tetapi ini tidak berbeza pada 12 bulan selepas memulakan rawatan. Perbezaan ini mungkin tidak dapat dilihat oleh pesakit.

Kajian-kajian tersebut hanya mendaftarkan wanita dengan kanser ovari lanjutan (peringkat IIIC/IV), dan ramai yang mempunyai penyakit yang ekstensif. Kami menunggu keputusan empat kajian yang sedang berlangsung dan satu penerbitan penuh satu kajian yang belum diterbitkan.

Apakah batasan bukti?

Kami yakin terdapat sedikit perbezaan dalam survival keseluruhan (tempoh masa selepas diagnosis bahawa seseorang masih hidup) dan sedikit kurang kematian akibat pembedahan dengan NACT/ICRS. Kami hanya sederhana yakin dengan keputusan lain berkaitan survival, kesan tidak diingini, dan keperluan untuk pembedahan bagi membuang bahagian usus dan keperluan untuk stoma, kerana wanita mengetahui rawatan yang mereka dapatkan. Kami sedikit yakin terhadap bukti kualiti hidup kerana kajian-kajian dilakukan dalam pelbagai jenis wanita, dan pendekatan terhadap pembedahan telah berubah dari semasa ke semasa, walaupun keputusan kajian-kajian terkini adalah serupa.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 21 Mac 2024.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Chiah Zi Yan. Dikemaskini oleh Wong Chun Hoong (Hospital Kuala Lumpur). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).

Petikan
Shawky M, Choudhary C, Coleridge SL, Bryant A, Morrison J. Neoadjuvant chemotherapy before surgery versus surgery followed by chemotherapy for initial treatment in advanced epithelial ovarian cancer. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 2. Art. No.: CD005343. DOI: 10.1002/14651858.CD005343.pub7.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan