Langkau ke kandungan utama

Cara untuk membantu orang berhenti menggunakan tembakau tanpa asap (termasuk mengunyah, hidu dan hisap tembakau)

Latar belakang

Tembakau tanpa asap adalah sebarang produk di mana tembakau disimpan di dalam mulut supaya nikotin diserap melalui lapisan mulut. Tembakau tanpa asap kurang berbahaya daripada rokok dan produk yang lain di mana tembakau dibakar dan nikotin diserap melalui paru-paru. Walau bagaimanapun, tembakau tanpa asap masih membawa kepada ketagihan nikotin dan boleh memudaratkan, terutamanya pada mulut. Banyak jenis tembakau tanpa asap digunakan di seluruh dunia, termasuk mengunyah, hidu dan hisap tembakau. Risiko kepada kesihatan berbeza-beza mengikut jenis produk.

Kaedah

Kami menilai bukti daripada kajian rawak tentang intervensi untuk membantu orang berhenti menggunakan tembakau tanpa asap, termasuk terapi penggantian nikotin, farmakoterapi yang lain dan sokongan tingkah laku . Bukti adalah terkini sehingga Jun 2015. Kajian mesti melaporkan bilangan peserta yang telah berhenti menggunakan tembakau tanpa asap atau produk yang lain selepas enam bulan.

Keputusan

Kami menemui 34 kajian berkaitan yang meliputi lebih 16,000 peserta. Semua kecuali satu telah dijalankan di Amerika Syarikat. Beberapa kajian di klinik kesihatan pergigian memberikan nasihat tentang masalah kesihatan oral kepada pengguna tembakau tanpa asap sama ada mereka berminat untuk berhenti atau tidak. Beberapa kajian merekrut pengguna yang ingin berhenti.

Enam belas kajian dengan 3,722 peserta menguji farmakoterapi. Dua belas kajian menguji pelbagai jenis terapi penggantian nikotin (lima gula-gula getah, dua tampalan, lima lozenge). Bukti menunjukkan bahawa lozenge nikotin mungkin membantu orang berhenti, tetapi kualiti bukti adalah rendah dan lebih banyak penyelidikan adalah diperlukan. Tiada bukti yang mencukupi untuk memastikan sama ada gula-giula getah nikotin atau tampalan boleh membantu. Dua kajian varenicline (ubat yang membantu perokok untuk berhenti) mencadangkan ia juga boleh membantu orang berhenti menggunakan tembakau tanpa asap. Dua kajian kecil bupropion (antidepresan yang membantu perokok berhenti) tidak menemui bahawa bupropion membantu orang berhenti menggunakan tembakau tanpa asap.

Tujuh belas kajian dengan 12,394 peserta menguji sokongan tingkah laku. Sokongan tingkah laku boleh termasuk nasihat ringkas, bahan bantu diri, sokongan telefon, akses kepada laman web, dan gabungan elemen. Terdapat banyak variasi dalam keputusan dengan beberapa kajian menunjukkan bukti manfaat yang jelas dan beberapa tidak menunjukkan sebarang kesan. Kami tidak pasti apakah elemen penting sokongan yang berkesan, tetapi menyediakan akses untuk sokongan telefon secara amnya membantu.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Irfan Mohamad (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).

Petikan
Ebbert J, Montori VM, Erwin PJ, Stead LF. Interventions for smokeless tobacco use cessation. Cochrane Database of Systematic Reviews 2011, Issue 2. Art. No.: CD004306. DOI: 10.1002/14651858.CD004306.pub5.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan