Langkau ke kandungan utama

Adakah ubat imunosupresif bukan kortikosteroid untuk sindrom nefrotik sensitif steroid dalam kalangan kanak-kanak membantu mencegah relaps?

Mesej utama

• Sindrom nefrotik (keadaan di mana buah pinggang melepaskan protein daripada darah ke dalam kencing) biasanya dirawat dengan ubat steroid (ubat anti-radang yang kuat). Walau bagaimanapun, disebabkan oleh kesan sampingan yang berpotensi (pertumbuhan yang lemah, katarak, tulang lemah dan rapuh, dan tekanan darah tinggi), ubat imunosupresif yang lain (ubat-ubatan yang melemahkan sistem imun badan) telah disiasat.

• Rituximab berbanding dengan plasebo (ubat dummy) mungkin mengurangkan risiko relaps pada enam dan 12 bulan, tetapi boleh meningkatkan bilangan orang yang mengalami reaksi teruk terhadap infusi. Rituximab mungkin mengurangkan risiko relaps pada 12 bulan bila dibandingkan dengan tacrolimus, dan boleh mengurangkan risiko bila dibandingkan dengan mycophenolate mofetil.

• Kami menemui bahawa mycophenolate mofetil memanjangkan tempoh remisi yang disebabkan oleh rituximab.

Apakah sindrom nefrotik, dan ubat-ubatan apa yang perlu anda berikan jika ia berlaku lagi?

Kanak-kanak dengan gejala nefrotik kehilangan sejumlah besar protein dari aliran darah ke dalam air kencing mereka, menyebabkan pembengkakkan, terutamanya di muka, perut dan kaki. Risiko jangkitan juga meningkat kerana protein penting yang digunakan oleh sistem imun kanak-kanak hilang dalam air kencing. Ubat kortikosteroid, seperti prednison, boleh menghentikan kehilangan protein, tetapi hal ini sering berlaku lagi (relaps). Pemberian kortikosteroid berlanjutan kepada kanak-kanak boleh menyebabkan pertumbuhan yang lemah, katarak, osteoporosis (keadaan di mana tulang menjadi lemah dan rapuh) dan tekanan darah tinggi. Pelbagai jenis ubat telah dicuba untuk merawat relaps dalam kalangan kanak-kanak dan untuk mengelakkan relaps berlanjutan pada kanak-kanak yang kerap relaps. Ubat imunosupresif (ubat-ubatan yang melemahkan sistem imun badan) mempunyai mekanisme tindakan yang berbeza dan telah ditunjukkan untuk memberikan remisi yang lebih lama (tempoh masa apabila tanda-tanda dan sindrom nefrotik hilang) berbanding dengan steroid sahaja. Menggunakan ini mungkin membolehkan steroid ditarik balik atau dos dikurangkan.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui pilihan rawatan terbaik untuk kanak-kanak yang sering mengalami relaps sindrom nefrotik untuk menghentikan kebocoran protein dari darah ke dalam air kencing dan untuk mengelakkan kesan sampingan steroid yang memudaratkan. Kami juga ingin mengetahui sama ada pilihan rawatan yang lain ini dikaitkan dengan sebarang kesan yang tidak diingini.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari semua kajian yang membandingkan faedah dan mudarat yang memperuntukkan ubat imunosupresif bukan steroid secara rawak kepada kanak-kanak yang sering mengalami episod sindrom nefrotik berulang.

Kami membanding dan merumus keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap maklumat berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui 58 kajian yang merawakkan 3720 kanak-kanak melihat kepada pelbagai pilihan rawatan bukan steroid. Separuh daripada kajian dijalankan di pelbagai pusat di seluruh dunia, dan kebanyakannya dilakukan di Asia Selatan dan Timur (28 kajian) dan Eropah (20 kajian). Bilangan kanak-kanak yang dirawakkan berkisar antara 14 hingga 211.

Rituximab berbanding dengan plasebo (ubat dummy) mungkin mengurangkan risiko relaps pada enam dan 12 bulan, tetapi boleh meningkatkan jumlah yang mengalami reaksi teruk terhadap infusi. Rituximab mungkin mengurangkan risiko relaps pada 12 bulan bila dibandingkan dengan tacrolimus, dan boleh mengurangkan risiko bila dibandingkan dengan mycophenolate mofetil. Kami juga menemui bahawa mycophenolate mofetil memanjangkan tempoh remisi yang disebabkan oleh rituximab.

Tacrolimus, cyclosporin, mycophenolate mofetil, dan levamisole boleh mengurangkan risiko relaps dalam kalangan kanak-kanak dengan sindrom nefrotik yang kerap relaps. Cyclophosphamide dan chlorambucil berbanding dengan steroid mungkin mengurangkan bilangan kanak-kanak yang mengalami relaps.

Apakah batasan bukti?

Kami yakin bahawa mycophenolate mofetil memanjangkan tempoh remisi yang disebabkan oleh rituximab. Kami berkeyakinan sederhana bahawa rituximab berbanding plasebo atau tacrolimus mengurangkan risiko relaps dalam kalangan kanak-kanak yang mengalami sindrom nefrotik yang kerap relaps. Kami juga berkeyakinan sederhana bahawa cyclophosphamide dan chlorambucil berbanding dengan steroid mungkin mengurangkan bilangan kanak-kanak yang mengalami relaps. Kami kurang yakin tentang kesan ubat imunosupresif bukan steroid yang lain untuk mengurangkan risiko relaps.

Kami tidak yakin dengan bukti kejadian buruk, kerana ia jarang atau kurang dilaporkan untuk semua perbandingan kami.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Oktober 2024.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi MARA). Dikemaskini. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).

Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.

Petikan
Larkins NG, Hahn D, Liu ID, Willis NS, Craig JC, Hodson EM. Non-corticosteroid immunosuppressive medications for steroid-sensitive nephrotic syndrome in children. Cochrane Database of Systematic Reviews 2024, Issue 11. Art. No.: CD002290. DOI: 10.1002/14651858.CD002290.pub6.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan