Mesej utama
• Sindrom nefrotik (keadaan di mana ginjal membocorkan protein daripada darah ke dalam urin) biasanya dirawat dengan ubat steroid (ubat anti-radang yang kuat).
• Kanak-kanak yang mengalami sindrom nefrotik buat kali pertama hanya perlukan dua hingga tiga bulan prednison (sejenis ubat steroid), kerana tempoh lebih lama tidak mengurangkan risiko episod berulang atau mengurangkan risiko kanak-kanak akan mengalami episod berulang yang kerap.
• Walaupun risiko kesan sampingan mungkin rendah, kebanyakan kajian tidak melaporkan maklumat yang boleh kami analisis.
Apakah sindrom nefrotik, dan mengapa anda perlu merawatnya dengan steroid?
Sindrom nefrotik ialah satu keadaan di mana ginjal mengalami kebocoran protein daripada darah ke dalam urin. Apabila tidak dirawat, kanak-kanak boleh mengalami jangkitan serius. Dalam kebanyakan kanak-kanak dengan sindrom nefrotik, kebocoran protein ini dihentikan dengan terapi steroid . Steroid ialah ubat anti-radang yang kuat dan boleh digunakan untuk pelbagai keadaan, tetapi ia juga boleh memberi kesan sampingan yang serius. Kesan sampingan ini termasuklah kemurungan dan keresahan, tekanan darah tinggi, gangguan mata seperti katarak, peningkatan risiko jangkitan, penambahan berat badan dan kekurangan pertumbuhan. Kanak-kanak juga boleh mengalami episod berulang sindrom nefrotik, yang sering dicetuskan oleh jangkitan virus.
Apakah yang kami ingin tahu?
Kami ingin tahu opsyen rawatan terbaik untuk kanak-kanak dengan sindrom nefrotik bagi menghentikan kebocoran protein daripada darah ke dalam urin dan mengelakkan kesan sampingan steroid yang mudarat.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari semua kajian yang membandingkan manfaat dan mudarat pemberian ubat steroid secara rawak kepada:
• kanak-kanak yang mengalami sindrom nefrotik buat kali pertama ; atau
• kanak-kanak yang mendapat episod sindrom nefrotik yang kerap berulang.
Kami membanding dan merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang kami temui?
Kami temui 54 kajian rawak 4670 kanak-kanak untuk melihat pelbagai opsyen rawatan steroid. Kajian-kajian dijalankan di negara-negara di seluruh dunia, dan kebanyakannya dilakukan di Asia Selatan (23 kajian). Dua puluh tiga kajian membandingkan pemberian prednisone steroid selama dua atau tiga bulan dengan tempoh yang lebih lama (tiga hingga tujuh bulan) kepada kanak-kanak yang mengalami sindrom nefrotik buat kali pertama . Kajian selebihnya melihat kepada kanak-kanak yang mendapat episod sindrom nefrotik yang kerap berulang.
Kami dapati tempoh prednison lebih lama (tiga hingga tujuh bulan) memberi sedikit atau tiada perbezaan dalam risiko kanak-kanak mengalami episod berulang sindrom nefrotik atau dalam bilangan kanak-kanak yang dengan episod berulang yang kerap berbanding tempoh prednison lebih pendek (dua hingga tiga bulan). Mungkin tiada perbezaan dalam jenis dan bilangan kesan sampingan sama ada dengan tempoh steroid yang lebih lama atau lebih pendek; walau bagaimanapun, ini sering tidak dilaporkan oleh kajian-kajian.
Apakah batasan bukti?
• Kanak-kanak yang mengalami sindrom nefrotik buat kali pertama hanya perlukan dua hingga tiga bulan prednison kerana tempoh yang lebih lama tidak mengurangkan risiko episod berulang atau mengurangkan risiko kanak-kanak akan mendapat episod berulang yang kerap.
Kami kurang yakin dengan risiko kesan sampingan kerana kebanyakan kajian tidak melaporkan maklumat yang boleh kami gunakan.
Adakah bukti ini mutakhir?
Bukti adalah terkini sehingga Julai 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Julie Yeo (Taylor's University, Malaysia). Dikemaskini. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).