Mesej utama
• Alendronate diguna sehingga lima tahunmungkin mencegah fraktur tulang belakang dalam kalangan wanita yang berisiko rendah untuk fraktur, atau dalam kalangan mereka yang belum pernah fraktur tulang belakang.
• Alendronate yang diguna sehingga tiga tahun dalam kalangan wanita yang didiagnos osteoporosis, dengan ketumpatan tulang rendah, atau yang telah fraktur tulang belakang, mungkin dapat mencegah fraktur tulang belakang.
Apakah osteoporosis?
Osteoporosis adalah penyakit yang menjadikan tulang lemah dan rapuh. Tulang ialah tisu hidup yang sentiasa dipecahkan dan diganti.Dalam osteoporosis, tulang lama rosak lebih cepat daripada tulang baru yang dapat menggantikannya. Apabila ini berlaku, tulang-tulang akan kehilangan mineral-mineral (seperti kalsium). Ini menjadikan tulang lebih cenderung untuk patah walaupun selepas kecederaan ringan, seperti hentakan atau jatuh. Wanita lebih cenderung untuk mendapat osteoporosis selepas menopaus.
Apakah itu alendronate?
Alendronate ialah bifosfonat, jenis ubat yang melambatkan sel-sel yang memecahkan tulang lama.
Apakah yang ingin diketahui?
Kami bertujuan untuk mengetahui sama ada alendronate adalah lebih baik daripada plasebo (ubat tidak aktif atau 'dummy') atau ubat-ubatan lain yang mencegah atau mengurangkan fraktur kalangan wanita pascamenopaus.
Apakah yang dilakukan?
Kami mencari kajian-kajian yang membandingkan alendronate dengan plasebo atau ubat anti-osteoporosis lain untuk osteoporosis dalam kalangan wanita pascamenopaus. Kami bandingkan dan rumuskan keputusan daripada kajian-kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang ditemukan?
Kami mendapati 119 kajian yang layak. Daripada jumlah ini, 102 kajian memberi data yang boleh diguna, dan 40 kajian membandingkan alendronate dengan plasebo (pil palsu).
Dapatan utama
Dalam kalangan wanita yang berisiko rendah untuk fraktur kerana ketumpatan tulang yang hampir normal, atau mereka mungkin belum mengalami fraktur tulang belakang mereka, alendronate digunakan sehingga lima tahun:
boleh mencegah fraktur tulang belakang klinikal – iaitu, fraktur yang ditunjukkan oleh tanda dan gejala klinikal , tanpa bukti radiografi;
mungkin mencegah fraktur tulang selain tulang belakang. Walau bagaimanapun, khususnya dalam fraktur tulang pinggul dan pergelangan tangan, alendronate mungkin tidak memberi perbezaan;
mungkin tidak memberi perbezaan kepada bilangan wanita yang menarik diri daripada kajian akibat peristiwa buruk – iaitu, peristiwa tidak diingini peristiwa yang mudarat;
mungkin tidak memberi perbezaan kepada bilangan wanita yang mengalami peristiwa buruk yang serius.
Dalam kalangan wanita yang berisiko tinggi fraktur tulang kerana mereka telah didiagnos dengan osteoporosis, mempunyai ketumpatan tulang rendah, atau telah mengalami fraktur tulang belakang, alendronate digunakan sehingga tiga tahun:
mungkin mencegah fraktur klinikal tulang belakang;
mungkin mencegah fraktur tulang selain tulang belakang;
mungkin mencegah fraktur tulang pinggul dan pergelangan tangan;
mungkin mengurangkan peristiwa buruk yang serius;
Kami tidak tahu sama ada alendronate mengurangkan penarikan diri akibat peristiwa buruk dalam kumpulan wanita.
Anggaran terbaik untuk wanita yang berisiko fraktur rendah yang mengambil alendronate atau plasebo adalah seperti berikut.
Bagi fraktur klinikal tulang belakang, bukti menunjukkan jika 3 daripada 100 wanita yang mengambil plasebo mengalami fraktur, hanya 1 daripada 100 wanita yang mengambil alendronate akan mengalaminya.
Jika 10 daripada 100 wanita yang mengambil plasebo mengalami fraktur tulang selain tulang belakang, hanya 8 daripada 100 wanita yang mengambil alendronate yang mungkin mengalaminya.
Bagi fraktur pinggul dan pergelangan tangan, mungkin tiada perbezaan antara kedua-dua kumpulan dalam bilangan wanita yang mengalami fraktur.
Anggaran terbaik untuk wanita yang berisiko fraktur rendah yang mengambil alendronate atau plasebo adalah seperti berikut.
Jika 5 daripada 100 wanita yang mengambil plasebo mengalami fraktur klinikal tulang belakang, hanya 2 daripada 100 wanita yang mengambil alendronate yang berkemungkinan mengalaminya.
Jika 14 daripada 100 wanita yang mengambil plasebo mengalami patah tulang selain daripada tulang belakang, hanya 11 daripada 100 wanita yang mengambil alendronate berkemungkinan mengalaminya.
Jika 2 daripada 100 wanita yang mengambil plasebo mengalami fraktur pinggul, hanya 1 daripada 100 wanita yang mengambil alendronate berkemungkinan mengalaminya.
Jika 4 daripada 100 wanita yang mengambil plasebo mengalami fraktur pinggul, hanya 2 daripada 100 wanita yang mengambil alendronate berkemungkinan mengalaminya.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Bagi kebanyakan penemuan, keyakinan kami terhadap bukti adalah rendah, kerana mungkin wanita dalam kajian tersebut, dan para penyelidik yang menilai hasil, menyedari rawatan yang diterima oleh wanita-wanita itu. Selain itu, sesetengah bukti memfokus kepada dos alendronate tertentu, manakala soalan yang ingin kami jawab adalah lebih luas. Akhir sekali, bagi beberapa hasil fraktur, bukti tersebut adalah berdasarkan kes yang sedikit.
Adakah bukti tersebut terkini?
Bukti adalah terkini sehingga 1 Februari 2023. Ini adalah kemas kini ulasan Cochrane yang asalnya diterbitkan pada 2008.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Noor Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia). Dikemas kini oleh Cochrane malaysia. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.




