Adakah antibiotik jangka panjang membantu mengurangkan demam reumatik berulang dan kemaraan ke penyakit jantung reumatik?

Mesej utama

Kepada orang yang pernah mengalami demam reumatik (badan menyerang dirinya sendiri sebagai tindak balas kepada jangkitan bakteria) atau mempunyai penyakit jantung reumatik (kerosakan jangka panjang pada jantung akibat demam reumatik):

- antibiotik jangka panjang (sama ada disuntik ke dalam otot setiap bulan atau diambil sebagai tablet setiap hari) mungkin mengurangkan risiko mendapat lebih banyak episod demam reumatik berbanding tanpa antibiotik;

- Antibiotik intramuskular mungkin mengurangkan kemaraan (semakin teruk) kepada penyakit jantung awal berbanding tanpa antibiotik; namun, tiada bukti untuk membandingkan intramuskular dengan antibiotik oral untuk kemaraan kepada penyakit jantung peringkat akhir;

- antibiotik mungkin tidak meningkatkan risiko komplikasi, seperti tindak balas alahan yang teruk (anafilaksis).

Apakah penyakit jantung reumatik?

Penyakit jantung reumatik adalah penyebab utama penyakit jantung dalam golongan muda di seluruh dunia dan membunuh kira-kira satu pertiga daripada sejuta orang setiap tahun. Demam reumatik berlaku apabila pertahanan badan sendiri menjadi kucar, selalunya kerana jangkitan tekak, melawan jantung dan bukannya bakteria. Ini kemudiannya boleh menyebabkan kerosakan pada injap jantung (pintu masuk antara bilik di jantung) yang disebut penyakit jantung reumatik. Antibiotik membunuh bakteria yang boleh menyebabkan jangkitan, mengurangkan risiko orang mengalami demam reumatik.

Apa yang kami ingin tahu?

Kami ingin mengetahui sama ada dan, jika ya, seberapa berkesan antibiotik untuk mengurangkan kemungkinan mendapat demam reumatik lagi, dan ini membawa kepada penyakit jantung reumatik.

Apakah yang kami lakukan?

Kami menyertakan kajian secara rawak memberi antibiotik kepada mereka yang mengalami demam reumatik pada masa lalu atau penyakit jantung reumatik atau tidak (contohnya berdasarkan membalikkan duit syiling). Kami berminat untuk membandingkan, pertama sekali, antibiotik jangka panjang tanpa antibiotik dan, kedua, penisilin intramuskular jangka panjang dengan antibiotik oral jangka panjang. Peserta dalam kajian yang kami sertakan mempunyai demam reumatik sebelumnya atau penyakit jantung reumatik, tetapi mungkin berusia berapa pun. Kami mencari banyak peristiwa berbeza mungkin berlaku, termasuk demam reumatik berulang (demam reumatik berulang), penyakit jantung reumatik semakin teruk (kemaraan ke penyakit jantung reumatik), masalah jantung (karditis), masalah sekitar hamil dan kelahiran (komplikasi obstetrik dan kejadian janin/neonatal), kematian (mortaliti), sama ada orang patuh kepada rawatan mereka (pematuhan rawatan), masalah lain seperti masalah pernafasan berbahaya (anafilaksis), komplikasi seperti kecederaan saraf dan sama ada orang yang terlibat gembira dengan mengambil antibiotik.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui 11 kajian (3951 peserta) untuk membantu menjawab soalan kami. Orang dalam kajian-kajian ini dengan purata usia 12.3 tahun dan 50.6% lelaki. Kebanyakan mengalami episod demam reumatik sebelum ini.

Kami mendapati bahawa menggunakan antibiotik jangka panjang (sama ada disuntik ke dalam otot setiap bulan atau diambil sebagai tablet setiap hari) berbanding tanpa antibiotik mungkin mengurangkan risiko mendapat lebih banyak episod demam reumatik. Suntikan ke dalam otot mungkin berfungsi lebih baik daripada tablet. Sekiranya anda pada peringkat awal penyakit jantung reumatik yang dikesan melalui ekokardiogram jantung (imbasan menggunakan gelombang bunyi untuk melihat struktur dalaman jantung), maka antibiotik penisilin yang disuntik ke dalam otot setiap bulan berbanding tanpa antibiotik mungkin mengurangkan risiko masalah jantung ini menjadi lebih teruk. Kami mendapati beberapa bukti bahawa antibiotik yang disuntik ke dalam otot berbanding tanpa antibiotik mungkin tidak mengakibatkan risiko reaksi alergi yang sangat tinggi yang mempengaruhi pernafasan (anafilaksis), tetapi mungkin datang dengan kemungkinan kemerahan yang lebih tinggi di tempat suntikan dan reaksi alergi terhadap antibiotik. Tidak banyak maklumat mengenai kadar kematian atau kecederaan saraf, dan tidak ada bukti sama ada suntikan antibiotik lebih baik daripada tablet untuk mencegah penyakit jantung reumatik laten (awal) menjadi lebih teruk.

Apakah batasan bukti?

Majoriti kajian yang disertakan (sembilan) tidak dijalankan di negara-negara berpendapatan rendah, yang pada masa ini mempunyai kebanyakan kes penyakit jantung reumatik. Ini menjadikan hasil ini berpotensi kurang relevan dengan orang di negara-negara ini. Terdapat sedikit maklumat mengenai soalan penting selain demam reumatik berulang atau kemaraan ke penyakit jantung reumatik. Terdapat beberapa batasan yang lain yang berpotensi dalam bukti: kami menandakan enam kajian sebagai mempunyai masalah dengan pembutaan (peserta kajian atau kakitangan mengetahui sama ada mereka menerima antibiotik dan berpotensi menjawab berdasarkan maklumat ini). Ada kemungkinan bahawa orang dalam banyak kajian yang terlibat menyedari rawatan yang mereka perolehi. Empat kajian mempunyai masalah dengan proses meletakkan orang secara rawak ke dalam kumpulan. Untuk beberapa hasil dalam ulasan, kami hanya mempunyai satu kajian.

Lebih banyak kajian berkualiti tinggi diperlukan relevan dengan tempat-tempat di dunia di mana demam reumatik paling lazim pada masa ini. Lebih banyak penyelidikan yang melihat penyakit jantung reumatik awal (laten), di mana perbezaan terbesar boleh dibuat, juga diperlukan.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 10 Mac 2024. Walaupun ini adalah ulasan paling terkini yang tersedia pada masa ini, kebanyakan bukti dalam ulasan ini adalah dari tahun 1950-an hingga 1960-an, jadi beberapa rawatan boleh ketinggalan zaman.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Kuala Lumpur). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information