Apakah faedah dan risiko perubahan gaya hidup dan diet yang berbeza untuk penyakit Ménière?

Mesej utama

Disebabkan kekurangan bukti kukuh, tidak jelas sama ada sebarang perubahan gaya hidup atau diet yang digunakan untuk merawat penyakit Ménière berkesan bagi memperbaiki gejala seseorang, walaupun pendekatan ini merupakan rutin dalam amalan klinikal. Kami juga tidak tahu sama ada terdapat sebarang risiko yang berkaitan dengan intervensi ini.

Kajian yang lebih besar dan dijalankan dengan baik diperlukan untuk mengenal pasti sama ada sebarang perubahan gaya hidup atau diet mungkin berkesan, dan menilai sama ada ia mempunyai sebarang kesan bahaya.

Kajian lanjut juga perlu dilakukan untuk mengetahui cara terbaik untuk mengukur simptom mereka yang menghidap penyakit Ménière,bagi menilai sama ada rawatan tersebut berfaedah atau tidak. Antara perkara yang harus dibuat adalah menghasilkann 'set hasil utama' - senarai perkara-perkara yang harus diukur dalam semua kajian tentang penyakit Ménière.

Apakah penyakit Ménière?

Penyakit Ménière adalah keadaan yang menjejaskan struktur telinga dalam. Ia menyebabkan serangan pening yang berulang atau vertigo (rasa berputar), bersama-sama dengan masalah pendengaran, tinnitus (bunyi seperti loceng, berdengung atau berdesing di telinga) dan rasa penuh atau tekanan di dalam telinga. Ia biasanya melibatkan orang dewasa, dan bermula pada usia setengah abad.

Bagaimanakah penyakit Ménière dirawat?

Ubat-ubatan oral (tablet) sering digunakan sebagai rawatan pertama untuk penyakit Ménière. Pilihan rawatan lain yang ada adalah (contohnya, suntikan ke dalam telinga atau pembedahan). Orang yang menghidap penyakit Ménière sering dinasihatkan untuk mengubah suai diet mereka, contohnya dengan mengurangkan pengambilan garam atau kafein, kerana ini dianggap memburukkan gejala penyakit.

Apa yang kami ingin ketahui?

Kami ingin tahu:

- sama ada terdapat bukti bahawa mana-mana gaya hidup atau pengubahsuaian diet berkesan mengurangkan simptom penyakit Ménière;

- sama ada rawatan tersebut boleh menyebabkan sebarang kemudaratan.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami mencari kajian yang membandingkan pelbagai jenis gaya hidup atau pengubahsuaian diet kepada sama ada tiada pengubahsuaian atau rawatan palsu (plasebo).

Apa yang telah kami temui?

Kami menyertakan dua kajian, yang melibatkan sejumlah 274 orang. Satu kajian dilakukan selama tiga bulan dan satu lagi selama dua tahun. Mereka menilai pelbagai jenis gaya hidup dan perubahan diet.

Satu kajian melihat penggunaan 'bijirin yang diproses khas'. Ini adalah bijirin yang merangsang badan untuk menghasilkan faktor antisekretori - protein yang bertindak mengurangkan pengeluaran cecair dan mengurangkan keradangan. Vertigo tidak dinilai secara khusus dalam kajian ini, jadi kami tidak tahu sama ada bijirin tersebut membuat sebarang perbezaan kepada gejala ini. Penulis kajian tidak melaporkan sama ada terdapat sebarang bahaya yang berkaitan dengan bijirin itu.

Satu kajian melihat sama ada tidur di dalam bilik yang gelap atau minum banyak air mempengaruhi gejala penyakit Ménière. Tidak jelas sama ada perubahan ini memberi perbezaan kepada simptom vertigo, dan kajian itu tidak melaporkan potensi bahaya intervensi ini.

Apakah batasan bukti?

Kami mempunyai sedikit keyakinan terhadap bukti kerana kajian yang dijalankan adalah kecil dan mempunyai masalah dalam pelaksanaan kajian-kajian tersebut, yang bermaksud bahawa keputusan mungkin tidak boleh dipercayai. Kami mendapati sangat sedikit maklumat tentang bagaimana simptom penyakit Ménière dipengaruhi oleh perubahan yang berbeza, dan tiada maklumat tentang potensi bahaya. Kami juga tidak menemui sebarang kajian yang mengkaji perubahan diet yang lebih biasa digunakan - seperti pengurangkan pengambilan garam atau kafein. Kajian yang besar dan dijalankan dengan baik diperlukan untuk mencuba dan mengetahui sama ada gaya hidup yang berbeza dan pengubahsuaian diet berkesan.

Sejauh manakah terkininya bukti ini?

Bukti adalah terkini sehingga September 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wan Anisa Hanim Bint Mohd Nasie@Azman (KP Pergigian Kok Lanas). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information