Prebiotik untuk mencegah enterokolitis nekrotik pada bayi pramatang

Soalan ulasan
Adakah pemberian prebiotik kepada bayi pramatang atau memiliki berat badan yang sangat rendah dapat mencegah enterokolitis nekrotik?

Latar belakang
Bayi yang sangat pramatang (lahir lapan minggu lebih awal) dan berat badan yang sangat rendah (kurang dari 1.5kg) berisiko untuk mengalami enterokolitis nekrotik, iaitu keadaan teruk di mana sebahagian lapisan usus berlaku radang dan seterusnya mati. Keadaan ini dikaitkan dengan kematian, jangkitan serius, dan kecacatan jangka panjang dan masalah perkembangan. Satu cara untuk membantu mencegah enterokolitis nekrotik mungkin dengan menambahkan prebiotik (rantaian gula yang tidak boleh dihadam untuk menyokong kolonisasi usus dengan bakteria 'probiotik' yang sihat) ke dalam susu.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang meneliti kesan prebiotik terhadap risiko enterokolitis nekrotik pada bayi yang sangat pramatang atau mempunyai berat badan yang sangat rendah. Kami membanding dan merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apa yang kami temui?
Kami menemui tujuh kajian melibatkan 705 bayi keseluruhannya. Kajian-kajian itu kebanyakannya kecil dan mempunyai kelemahan rekabentuk yang mungkin mempengaruhi penemuan mereka.

Keputusan utama
Gabungan analisis menunjukkan pemberian prebiotik kepada bayi yang sangat pramatang atau mempunyai berat badan yang sangat rendah mungkin menghasilkan sedikit atau tiada perbezaan dalam risiko enterokolitis nekrotik, kematian, atau jangkitan serius, tetapi kami kurang yakin dengan bukti ini. Satu kajian menilai kesan terhadap hasil ketidakupayaan atau perkembangan, tetapi kami juga kurang yakin dengan bukti ini.

Apakah batasan bukti tersebut?
Kami kurang yakin terhadap bukti tentang kesannya pada enterokolitis nekrotik, kematian, dan jangkitan serius (dan juga kurang yakin dengan kesan terhadap hasil ketidakupayaan atau perkembangan) kerana bimbang akan kaedah yang digunakan pada kajian ini mungkin berat sebelah iaitu melebih-lebihkan faedah suplemen prebiotik, dan kerana beberapa anggaran kesan adalah tidak tepat.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti ini adalah terkini sehingga Julai 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Mega Sharminyn. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information