Adakah penggunaan infusi berterusan diuretik kawasan lengkung lebih baik daripada suntikan bolus untuk kegagalan jantung akut?

Mesej utama

– Penggunaan infusi berterusan atas suntikan bolus diuretik kawasan lengkung boleh menghasilkan sedikit atau tiada perbezaan dalam semua keputusan yang kami ukur.

– Penggunaan infusi berterusan atas suntikan bolus diuretik kawasan lengkung boleh menghasilkan sedikit atau tiada perbezaan dalam kesan-kesan sampingan yang memudaratkan.

– Penyelidikan kami mencadangkan mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara bagaimana diuretik kawasan lengkung dihantar. Kajian masa depan harus mengurangkan tumpuan kepada bagaimana ia diberikan dan melebihkan bagaimana mereka bekerja untuk pesakit di luar persekitaran hospital. Kita juga harus mempertimbangkan pilihan pesakit dan kualiti hidup.

Apakah itu kegagalan jantung akut? 

Kegagalan jantung akut adalah keadaan perubatan yang menjejaskan keupayaan jantung untuk mengepam darah dengan berkesan ke seluruh badan. Akibatnya, tubuh merasakan kekurangan darah dan mengimbangi dengan mengekalkan air untuk meningkatkan jumlah darah. Walau bagaimanapun, jumlah tambahan ini tidak membantu dan ia memberi tekanan tambahan pada jantung, menyebabkan sesak nafas, keletihan, dan pembengkakan kaki.

Bagaimanakah kegagalan jantung akut dirawat? 

Ubat diuretik (kadang-kadang dipanggil pil air) membantu dengan mengurangkan air tambahan di dalam badan. Diuretik kawasan lengkung adalah sejenis diuretik spesifik yang bertindak pada satu bahagian tertentu buah pinggang dan sering diberikan terus ke dalam aliran darah melalui kanula, yang merupakan tiub plastik nipis yang dimasukkan ke dalam saluran darah. Proses ini boleh memerlukan beberapa hari dan beberapa dos diuretik untuk menghilangkan air berlebihan yang terkumpul di dalam badan.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin memeriksa dan membandingkan dua pendekatan yang berbeza untuk memberikan diuretik kawasan lengkung: pemberian perlahan dalam jangka masa yang panjang (berterusan) dan memberikan diuretik kawasan lengkung dalam beberapa dos individu (bolus) untuk menilai sama ada satu kaedah pemberian lebih baik daripada yang lain.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami meneliti lebih daripada 3400 artikel jurnal dan mengenal pasti tujuh kajian yang memenuhi kriteria analisis kami. Kami menilai kajian-kajian ini untuk sebarang perubahan yang dilaporkan dalam berat badan, kebarangkalian kematian (kematian), tempoh kemasukan ke hospital, kemungkinan dimasukan semula ke hospital selepas dikeluarkan, dan sama ada satu kaedah pemberian mempunyai kesan memudaratkan pada buah pinggang berbanding dengan yang lain.

Apakah yang telah kami temui?

Kami mengenal pasti tujuh kajian yang melibatkan 681 orang dewasa berusia lebih dari 18 tahun yang menerima rawatan di hospital. Umur purata peserta berjulat antara 57 hingga 82 tahun. Kajian-kajian ini dijalankan di 32 hospital di Amerika Syarikat, Kanada, Sepanyol, Sweden, India, Turki, dan China antara tahun 2010 dan 2021, dengan tempoh pengumpulan data merangkumi lapan bulan hingga enam tahun. Kajian terbesar melibatkan 308 peserta, sementara yang terkecil menyertakan 40 peserta.

Selepas analisis kami, kami mendapati bahawa intervensi dengan kaedah pemberian, berterusan atau bolus, boleh menghasilkan sedikit atau tiada perbezaan dalam:

- perubahan berat badan (bukti dari 5 kajian dalam 497 orang);

- kebarangkalian kematian (bukti dari 5 kajian pada 530 orang);

- tempoh kemasukan ke hospital (bukti dari 4 kajian pada 211 orang);

- kemungkinan dimasukan semula ke hospital selepas dikeluarkan (bukti dari 3 kajian dalam 400 orang);

- kesan memudaratkan pada buah pinggang (bukti dari 3 kajian pada 491 orang).

Keseluruhannya, kami mempunyai keyakinan yang rendah terhadap bukti kerana bilangan kajian dan peserta adalah sangat kecil, dan ada kemungkinan bahawa orang dalam kajian itu menyedari rawatan yang mereka terima.

Apakah batasan bukti?

Walaupun mengulas semula banyak artikel jurnal, hanya tujuh kajian memenuhi kriteria untuk menjawab soalan kami. Beberapa kajian yang disertakan mempunyai bahagian yang tidak dijelaskan dengan baik, dan menjadikan bukti kurang dipercayai.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 29 Februari 2024.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Leong Siew Lian (Monash University Malaysia). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia.

Tools
Information