Adakah suplemen antioksidan membantu orang dengan penyakit sel sabit (sel darah merah berbentuk luar biasa)?

Mesej utama

• Berbanding pil tiruan (plasebo), zink dan N-acetylcysteine ​​​​(NAC; 1200 mg) mungkin tidak dapat mengurangkan kekerapan episod (krisis) yang menyakitkan yang dialami oleh orang dengan penyakit sel sabit (SCD).

• Zink boleh meningkatkan status hemoglobin (bilangan sel darah merah) sedikit, tetapi L-arginine tidak boleh. L-arginine juga mungkin mengurangkan keterukan sakit, tetapi tidak boleh kurang kekerapan kemasukan ke hospital.

• Kajian yang lebih besar untuk menilai kesan vitamin C ditambah vitamin E, zink, NAC, L-arginine, dan omega-3 diperlukan. Kajian masa depan harus menilai bilangan dan keterukan episod menyakitkan yang dialami oleh orang dengan SCD, kualiti hidup mereka, kesan rawatan yang memudaratkan dan kekerapan kemasukan ke hospital.

Apakah penyakit sel sabit (SCD) dan bagaimana ia dirawat?

Penyakit sel sabit adalah keadaan yang diwarisi yang menjejaskan sel darah yang membawa oksigen melalui badan. Sel darah merah pada orang dengan keadaan ini menjadi berbentuk sabit (hampir seperti huruf C) apabila tahap oksigen rendah. Sel merah berbentuk sabit membawa kepada penghasilan bahan memudaratkan yang dipanggil radikal bebas.

'Antioksidan' adalah istilah umum yang digunakan untuk apa-apa bahan yang boleh melindungi sel badan kita daripada bahan kimia yang dipanggil radikal bebas, yang mampu merosakkan sel.

Antioksidan boleh membantu kurang proses sabit dan meningkatkan pemulihan daripada komplikasi sel sabit yang dikenali sebagai krisis sel sabit. Krisis sel sabit adalah sakit yang berlaku apabila sel merah menjadi berbentuk sabit disebabkan oleh kekurangan oksigen dalam darah.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada memberi suplemen antioksidan kepada orang dengan SCD dapat mengurangkan kekerapan krisis, pengurangan sakit dan bertambah baik kualiti hidup mereka. Kami juga ingin mengetahui sama ada terdapat bahaya yang berkaitan dengan suplemen antioksidan untuk orang dengan SCD.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami telah mencari kajian yang membandingkan antioksidan dengan plasebo atau antioksidan yang lain , atau membandingkan dua dos berbeza antioksidan yang sama. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian, dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apa yang kami dapati?

Kami menyertakan 26 kajian yang melihat kepada 11 antioksidan, melibatkan 1609 kanak-kanak dan dewasa dengan SCD. Kajian-kajian itu berlaku di Belgium, Brazil, India, Jamaica, Belanda, Nigeria, Sudan, UK, dan Amerika Syarikat. Tiga belas kajian dibiayai secara terbuka, tiga kajian dibiayai oleh syarikat farmaseutikal, dan empat kajian dibiayai oleh campuran kedua-duanya. Satu kajian tidak menerima dana dan lima kajian tidak memberikan maklumat tentang sumber dana mereka.

Hanya lapan kajian melaporkan hasil penting kami pada enam bulan selepas rawatan:

• kekerapan krisis (empat kajian);
• keterukan sakit (tiga kajian);
• kualiti hidup (satu kajian);
• kesan buruk (iaitu, kesan tidak diingini ; dua kajian);
• kekerapan kemasukan ke hospital (dua kajian);
• kekerapan komplikasi berkaitan SCD (tiga kajian);
• perubahan status hemoglobin (lima kajian).

Lapan kajian menyiasat antioksidan berbeza : vitamin C ditambah E, zink, N-acetylcysteine ​​(NAC), L-arginine, dan omega-3.

Penemuan utama

Kami sangat tidak pasti sama ada vitamin C (1400 mg) ditambah vitamin E (800 mg) adalah lebih baik daripada plasebo dalam mengurangkan kekerapan krisis atau keterukan sakit , atau jika ia akibat lebih banyak kesan yang tidak diingini (1 kajian, 83 peserta). Kami juga tidak pasti sama ada vitamin C serta vitamin E lebih baik daripada plasebo dalam mengurangkan masalah kesihatan berkaitan SCD dan meningkatkan paras darah pada orang dengan SCD.

Zink mungkin tidak lebih baik daripada plasebo dalam mengurangkan kekerapan krisis tetapi boleh menyebab sedikit peningkatan dalam paras darah (1 kajian, 36 orang). Kami sangat tidak pasti tentang kesan zink pada komplikasi berkaitan SCD seperti ulser kaki (1 kajian, 34 peserta).

NAC (1200 mg) mungkin tidak lebih baik daripada plasebo dalam mengurangkan kekerapan krisis, keterukan sakit dan paras darah. Kami sangat tidak pasti tentang kesan terhadap kualiti hidup, kesan yang tidak diingini , kekerapan kemasukan ke hospital, dan komplikasi berkaitan SCD (1 kajian, 96 peserta).

L-arginine tidak lebih baik daripada plasebo dalam mengurangkan kekerapan krisis (sakit bulanan ) (1 kajian, 50 peserta). Walau bagaimanapun, L-arginine mungkin lebih baik daripada plasebo dalam mengurangkan keterukan sakit (2 kajian, 125 peserta). Juga, kadar peristiwa tidak diingini adalah serupa dalam kedua-dua kumpulan rawatan . L-arginine mungkin tidak lebih baik daripada plasebo dalam memendekkan penginapan hospital (2 kajian, 125 peserta) atau meningkatkan paras darah (2 kajian, 106 peserta).

Kami tidak pasti sama ada omega-3 menyebabkan lebih banyak kesan tidak diingini pada orang dengan SCD berbanding plasebo, atau jika ia lebih baik dalam meningkatkan paras darah (1 kajian, 67 peserta).

Apakah batasan bukti?

Secara keseluruhan, kami tidak begitu yakin tentang kesan antioksidan dalam merawat penyakit sel sabit kerana terdapat terlalu sedikit kajian untuk setiap perbandingan untuk memastikan keputusannya. Kami juga mempunyai kebimbangan tentang bagaimana beberapa kajian dijalankan. Penyelidikan lanjut mungkin mengubah keputusan ini.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 15 Ogos 2023.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (IMU University). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia).

Tools
Information