Rawatan antidepresan untuk kemurungan selepas bersalin

Soalan ulasan

Dalam Ulasan Cochrane ini, kami ingin mengetahui seberapa baik antidepresan berfungsi untuk merawat wanita dengan kemurungan selepas bersalin.

Mengapa ini penting

Kemurungan selepas bersalin adalah kemurungan yang bermula dalam 12 bulan wanita selepas seorang wanita bersalin. Ramai wanita yang terjejas. Kemurungan selepas bersalin boleh memberi kesan jangka pendek dan jangka panjang yang serius pada ibu, bayi, dan keluarga secara keseluruhan.

Terdapat beberapa cara untuk merawat kemurungan selepas bersalin. Ini termasuk ubat antidepresan, terapi psikologi, sokongan atau kaunseling. Jenis rawatan yang ditawarkan bergantung pada seberapa parah kemurungan tersebut, penyakit lain dan pilihan wanita. Secara amnya, wanita yang sedang hamil atau menyusui sering merasa bimbang akan kemungkinan kesan tidak diingini ubat antidepresan terhadap bayi mereka.

Ia adalah penting untuk mengetahui sama ada antidepresan boleh menjadi rawatan yang berkesan dan dapat diterima bagi wanita dengan kemurungan selepas bersalin.

Apa yang kami buat

Dalam Mei 2020, kami mencari kajian mengenai antidepresan untuk wanita dengan kemurungan selepas bersalin. Kami mencari kajian terkawal secara rawak, di mana rawatan diberikan kepada peserta kajian secara rawak. Kajian-kajian ini memberikan bukti yang paling dipercayai.

Kami memasukkan 11 kajian yang melibatkan 1016 wanita. Kajian membandingkan antidepresan dengan plasebo (pil dummy), rawatan seperti biasa (lihat dan tunggu, lawatan berkala dengan koordinator perawatan), intervensi psikologi (terapi), intervensi psikososial (sokongan rakan sebaya atau kaunseling), ubat lain atau lain-lain jenis antidepresan; dan ubat pelengkap (makanan tambahan).

Lapan kajian dijalankan di negara berpendapatan tinggi berbahasa Inggeris. Tempoh rawatan berkisar dari empat hingga 24 minggu.

Hasil yang kami tumpukan adalah seberapa baik rawatan berfungsi (keberkesanan). Ini diukur dengan jumlah orang yang memberikan tindak balas yang baik terhadap rawatan (tindak balas) atau tidak lagi memenuhi kriteria kemurungan pada akhir rawatan (kesembuhan). Kami juga melihat sama ada wanita dan/atau bayi mereka mengalami kesan buruk dengan rawatan tersebut.

Apa yang kami temui?

Kami menemui bahawa wanita yang dirawat dengan antidepresan mungkin bertindak balas sedikit lebih baik dan mengalami kemurungan selepas bersalin yang kurang teruk berbanding wanita yang diberi plasebo. Jumlah kesan tidak diingini yang dialami oleh wanita adalah serupa antara kumpulan. Tidak ada cukup kajian yang membandingkan antidepresan dengan jenis rawatan yang lain. Antidepresan yang paling kerap dikaji adalah dari kumpulan 'SSRI' (serotonin inhibitor reuptake inhibitor).

Kesimpulan

Ulasan ini hanya menemui beberapa kajian yang relevan. Terdapat beberapa bukti bahawa antidepresan mungkin berfungsi lebih baik daripada pil dummy untuk wanita dengan kemurungan selepas bersalin. Tidak ada bukti cukup yang membandingkan antidepresan dengan rawatan lain untuk kemurungan selepas bersalin. Doktor perlu mempertimbangkan bukti kajian dari populasi umum dan garis panduan klinikal semasa, bersama dengan sejarah penyakit wanita dan gejala semasa, untuk membuat keputusan risiko-manfaat rawatan individu dengan wanita itu.

Kepastian bukti

Kepastian (keyakinan) kami terhadap bukti adalah rendah. Beberapa penemuan adalah berdasarkan hanya beberapa kajian, dengan sedikit wanita dalam setiap kumpulan rawatan. Oleh itu, kami tidak pasti sejauh mana hasilnya boleh dipercayai. Kesimpulan kami mungkin berubah sekiranya lebih banyak kajian dijalankan. Penemuan kami bahawa antidepresan mungkin berfungsi lebih baik daripada pil dummy adalah serupa dengan penemuan dari sebilangan besar kajian dalam populasi umum.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information