Ujian diagnostik pantas bagi wabak

Mengapa penambahbaikan diagnosis wabak penting?

Wabak adalah penyakit teruk yang dikaitkan dengan kadar kematian yang tinggi. Wabak pneumonia terutamanya melibatkan paru-paru, manakala wabak bubonik hadir dengan pembengkakan yang menyakitkan. Tidak mengesan wabak pada tahap awal boleh mengakibatkan kelewatan diagnosis dan rawatan yang berkaitan dengan penyakit tahap lanjut dan kematian, serta peningkatan penyebaran penyakit. Ujian diagnostik pantas (RDT) dapat membantu mempercepat diagnosis wabak, terutamanya dalam keadaan sumber yang kurang. Ini akan meningkatkan rawatan pesakit dan membantu tindak balas yang tepat untuk mengelakkan penyakit daripada merebak.

Apakah tujuan ulasan ini?

Untuk menilai ketepatan F1RDT bagi mengesan wabak dalam individu dengan wabak yang disyaki.

Apa yang dikaji dalam ulasan ini?

F1RDT adalah ujian yang mengesan antigen F1, yang merupakan bahagian permukaan luar Yersinia pestis, bakteria penyebab wabak. Ujiannya mudah untuk dilakukan dan memberikan hasil dalam tempoh 15 minit. Ia boleh dijalankan pada nanah yang terkandung dalam bubo (pembengkakan), atau dalam kahak (lendir yang keluar dari saluran pernafasan) individu yang disyaki mengalami wabak pneumonia. Kami mengukur hasil ujian F1RDT terhadap kultur, ujian molekular, atau ujian serologi.

Apakah hasil utama?

Sebanyak tujuh kajian (dilaporkan dalam lapan manuskrip) menyediakan penemuan F1RDT digunakan dalam individu yang disyaki menghidapi wabak dari tiga negara Afrika.

Bagi sebarang bentuk wabak yang dibandingkan dengan kultur, F1RDT mencatatkan bacaan positif dalam 100% (kepekaan, yang mengukur kemampuan ujian untuk mengenal pasti hasil positif penyakit dengan betul) bagi individu yang mengalami wabak dan didapati negatif dalam 70% individu yang tidak menghidapi wabak (kekhususan, iaitu mengukur kemampuan ujian untuk menghasilkan keputusan negatif untuk individu yang tidak mempunyai keadaan yang diuji).

Bagi wabak pneumonia, kepekaan ialah 100% dan kekhususan adalah 71% berbanding dengan kultur.

Bagi wabak bubonik, kepekaan adalah 100% dan kekhususan 67% berbanding kultur. Berbanding dengan ujian molekular untuk wabak bubonik, kepekaan ialah 95% dan kekhususan 93%.

Seberapa yakinkah kami dalam hasil ulasan ?

Secara keseluruhannya, kebolehpercayaan bukti adalah sangat rendah. Hasil harus ditafsirkan dengan berhati-hati. Terdapat keprihatinan mengenai kualiti metodologi semua kajian yang disertakan. Kultur yang digunakan juga mungkin tidak berfungsi dengan baik sebagai rujukan piawai (pembanding) sekiranya individu menerima rawatan antibiotik sebelum sampel diambil.

Apakah maksud hasil ini?

Dalam populasi hipotesis seramai 1000 orang:

• dengan gejala penumonia di mana 40 daripadanya disahkan mempunyai penyakit tersebut oleh kultur, penggunaan F1RDT akan memberi keputusan seperti berikut: 318 individu didapati positif F1RDT, manakala 278 tidak mengalami wabak pneumonia (disebut positif palsu); dan 682 individu didapati negatif F1RDT, di mana tidak ada yang mengalami wabak pneumonia (disebut negatif palsu).

• dengan gejala wabak bubonik di mana 40 daripadanya mempunyai wabak yang disahkan oleh kultur, penggunaan F1RDT akan memberi keputusan seperti berikut: 357 individu didapati positif F1RDT, manakala 317 tidak mempunyai wabak bubonik (positif palsu); dan 643 individu didapati negatif F1RDT, di mana tiada yang mempunyai wabak bubonik (negatif palsu).

• dengan gejala wabak bubonik di mana 40 daripadanya mempunyai penyakit disahkan oleh ujian molekul, menggunakan F1RDT akan memberi keputusan seperti berikut: 105 individu didapati positif F1RDT, 67 daripadanya tidak mempunyai wabak bubonik (negatif palsu); dan 895 individu didapati negatif F1RDT, di mana dua daripadanya mempunyai wabak bubonik (negatif palsu).

Kepada siapa keputusan ulasan ini boleh digunakan?

Orang dewasa atau kanak-kanak yang disyaki menghidap wabak bubonik atau pneumonia.

Apakah implikasi ulasan ini?

F1RDT sangat sensitif terhadap wabak pneumonia atau bubonik. Sebagai ujian ringkas yang boleh dijalankan di sisi katil pesakit di kawasan terpencil dan mempunyai sumber yang rendah, F1RDT dapat membantu mendiagnosis wabak bagi pengurusan awal, dan menyediakan langkah pencegahan yang sesuai bagi mengelakkan penularan penyakit.

Bilangan positif palsu (individu dengan positive F1RDT tetapi tidak menghidapi wabak) menunjukkan F1RDT mungkin perlu digabungkan dengan penilaian makmal lain (kultur atau ujian molekular) bagi mengesahkan diagnosis wabak.

F1RDT tidak menggantikan kultur, yang menyediakan maklumat tambahan mengenai rintangan antibiotik dan strain bakteria.

Sejauh mana ulasan ini dikemas kini?

Para pengarang ulasan telah mengumpul kajian sehingga 15 Mei 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Siti Amira Sariyathul Rusly (SEADPRI-UKM). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information