Intervensi bukan farmakologi untuk ketakutan bersalin (tokofobia) sewaktu kehamilan

Mesej utama

Walaupun rawatan bukan ubatan mungkin mengurangkan tahap tinggi ketakutan bersalin dalam wanita mengandung berbanding penjagaan bersalin standard, penurunan ini mungkin tidak menggambarkan tahap perubahan yang bermakna. Rawatan bukan ubatan mungkin mengurangkan bilangan wanita yang menjalani pembedahan caesarean, iaitu keadaan yang memerlukan bayi dilahirkan melalui pembedahan. Penyelidikan pada masa hadapan dalam bidang ini harus memfokuskan kepada penilaian tahap kegelisahan wanita dengan ketakutan bersalin yang tinggi atau serius.

Apa itu ketakutan bersalin?

Ketakutan bersalin boleh bermula daripada kerisauan kecil dan kegelisahan tentang melahirkan anak sehingga menjurus kepada ketakutan bersalin yang serius yang mendatangkan kesan besar dalam kehidupan wanita tersebut, menyebabkan kegusaran serta mempengaruhi kesihatan mental mereka. Ketakutan bersalin pada tahap yang tinggi hingga serius mungkin merangkumi tahap ketakutan melampau yang turut dikenali sebagai tokofobia.

Ianya normal bagi wanita mengandung – terutamanya yang hamil untuk pertama kali – untuk berasa gelisah, risau atau takut untuk melahirkan anak. Walau bagaimanapun, sesetengah wanita mempunyai ketakutan yang tinggi tentang hal melahirkan anak dan sebilangan kecil memiliki ketakutan bersalin yang serius atau tokofobia. Wanita-wanita ini:

- mungkin mengalami rasa terasing, rasa bersalah dan malu; mungkin memilih untuk menghentikan kehamilan yang sihat, menyembunyikan soal kehamilan atau menafikan kehamilan;

- mungkin berasa sukar untuk menyiapkan diri untuk melahirkan anak atau mengakses maklumat kehamilan disebabkan ketakutan mereka dan mungkin menghadapi masalah untuk berhubung dengan bayi;

- mungkin mengalami kesukaran untuk tidur lena, mimpi ngeri, sakit perut, kemurungan dan kegelisahan yang menjurus kepada serangan panik.

Wanita yang memiliki ketakutan bersalin yang tinggi atau serius lebih cenderung menjalani pembedahan caesarean kecemasan atau yang dirancang, kelahiran secara instrumen dan menghadapi kesan fizikal berkaitan dengan ketakutan seperti proses bersalin yang berpanjangan. Wanita yang memiliki ketakutan bersalin yang tinggi tanpa sejarah kemurungan lebih cenderung untuk mengalami kemurungan selepas bersalin.

Bagaimana ketakutan bersalin dirawat?

Punca ketakutan bersalin adalah kompleks dan unik bagi setiap wanita. Ketakutan bersalin yang tinggi hingga serius tidak diakui atau diberi perhatian dalam penjagaan bersalin di kebanyakan tempat di dunia. Kaedah rawatan ketakutan bersalin perlu diselidiki.

Rawatan yang berkesan dapat membantu wanita untuk yakin akan kemampuan mereka melahirkan anak, menyediakan cara untuk mereka menghadapi proses bersalin, dan memberi peluang mereka membuat keputusan sewaktu kehamilan dan proses melahirkan.

Rawatan bertujuan untuk memberi sokongan tambahan kepada wanita dan merangkumi:

- pendidikan sensitif tentang proses melahirkan; pembangunan kemahiran menyelesaikan masalah;

- mengajar strategi menghadapi proses bersalin;

- dan memberi keyakinan bahawa kesan bersalin yang negatif dapat diatasi.

Apakah yang ingin kami kenal pasti?

Kami ingin mengenal pasti sekiranya rawatan bukan farmakologi (bukan ubatan) adalah lebih baik berbanding penjagaan bersalin standard yang disediakan untuk wanita mengandung dari segi:

- mengurangkan tahap ketakutan wanita, seperti yang dinilai melalui soalan kaji selidik yang digunakan secara meluas untuk ketakutan bersalin;

- mengurangkan bilangan wanita yang menjalani pembedahan caesarean;

- mengurangkan kegelisahan dan kemurungan.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang menyelidiki rawatan bukan farmakologi yang bermatlamat mengurangkan ketakutan bersalin. Kami membuat perbandingan dan merumuskan keputusan kajian serta menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah kajian dan bilangan peserta.

Apa yang kami temui?

Kami menemukan tujuh kajian melibatkan 1357 wanita mengandung yang mengalami ketakutan bersalin yang tinggi hingga serius termasuk tokofobia. Kajian menyelidiki jenis-jenis rawatan yang berbeza, termasuk:

- psikopendidikan (suatu bentuk pendidikan berstruktur yang ditawarkan kepada mereka dengan masalah kesihatan mental);

- terapi tingkah laku kognitif (terapi percakapan yang bermatlamat membantu mengenal pasti dan mengubah corak pemikiran asas);

- perbincangan berkumpulan; pengajaran rakan setara daripada wanita mengandung yang lain;

- dan terapi seni.

Kajian-kajian ini dijalankan di lima negara berbeza (Australia, Iran, Sweden, Finland, dan Turki).

Kami mendapati rawatan bukan farmakologi:

- mungkin mengurangkan ketakutan bersalin apabila dinilai melalui soalan kaji selidik yang digunakan secara meluas, meskipun penurunan ini mungkin tidak menggambarkan perubahan bermakna pada tahap ketakutan wanita-wanita ini.

- mungkin mengurangkan bilangan wanita yang menjalani pembedahan caesarean (28% daripada wanita yang menerima rawatan bukan ubatan menjalani pembedahan caesarean, berbanding 40% wanita yang tidak menerima rawatan bagi ketakutan bersalin).

- mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan berbanding penjagaan bersalin standard dari segi skor kemurungan wanita.

Apakah batasan bukti tersebut?

Keyakinan kami terhadap bukti adalah terhad kerana cara kajian-kajian ini dilakukan membawa kepada keputusan yang berkemungkinan tidak tepat, dan disebabkan jumlah wanita yang sedikit dalam kajian.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti dalam ulasan ini adalah terkini sehingga Julai 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Fatin Atiqah Nurul Mubin (Universiti Tenaga Nasional). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information