Prebiotik untuk pencegahan hiperbilirubinemia dalam kalangan neonat

Soalan ulasan: Adakah prebiotik mencegah hyperbilirubinemia, paras bilirubin tinggi yang menjurus kepada jaundis dalam kalangan bayi baru lahir?

Latar belakang: Jaundis berlaku dalam hampir dua pertiga bayi baru lahir pada hari-hari pertama kehidupan. Fototerapi sering diguna untuk mengurus jaundis neonatal. Fototerapi tidak menyebabkan kesan sampingan serius, tetapi beberapa kajian klinikal terbaharu telah menimbulkan kebimbangan berdasarkan kajian-kajian haiwan ataupun kultur sel tentang potensinya untuk merosakkan DNA. Oleh itu, jenis-jenis rawatan lain untuk jaundis neonatal sedang dipertimbangkan. Sesetengah bukti mencadangkan penambahan suapan enteral dengan prebiotik mengurangkan jaundis dalam kalangan neonat.

Ciri-ciri kajian: Kami memasukkan tiga kajian kecil (dengan jumlah 154 bayi) yang membandingkan kesan-kesan penambahan suapan prebiotik ke atas jaundis neonat kepada plasebo (seperti air suling). Bukti adalah terkini sehingga 14 Jun 2018.

Keputusan utama: Tiada bukti yang cukup untuk menilai keberkesanan prebiotik ke atas jaundis neonatal. Mengikut data sedia ada, insidens hyperbilirubinemia neonatal (bukti berkualiti rendah) dan rawatan fototerapi (bukti berkualiti rendah) telah dikurangkan dengan suapan penambahan prebiotik tetapi hanya satu kajian kecil sahaja yang melaporkan hasil-hasil tersebut.

Analisis meta untuk kajian-kajian kecil ini menunjukkan pengurangan signifikan kepada tempoh inap hospital (bukti berkualiti rendah) dan peningkatan signifikan kekerapan najis (bukti berkualiti tinggi) dalam kalangan bayi dengan penambahan prebiotic berbanding plasebo. Tambahan juga, analisis meta tidak menunjukkan perbezaan signifikan paras maksimum bilirubin plasma (bukti berkualiti rendah), tempoh fototerapi (bukti berkualiti rendah) dan mortaliti neonatal (bukti berkualiti rendah) di antara kumpulan-kumpulan. Ulasan ini mendapati hanya tiga kajian rawak klinikal yang membandingkan penambahan prebiotik dengan plasebo. Lebih banyak penyelidikan diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Syameer Firdaus (Monash University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi (msmoh50@mikotosyameer.com)

Tools
Information