Intervensi untuk menggalakkan penggunaan amalan berasaskan bukti dalam pemulihan strok

Apakah matlamat ulasan ini?

Matlamat Ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui sama ada strategi pelaksanaan untuk menggalakkan profesional penjagaan kesihatan menggunakan bukti dalam pemulihan strok adalah berkesan. Contoh strategi pelaksanaan termasuk bengkel pendidikan, bahan pendidikan atau memberikan maklum balas kepada profesional penjagaan kesihatan tentang prestasi mereka. Penulis ulasan telah mengumpul dan menganalisis semua kajian yang berkaitan untuk menjawab soalan ini dan menemui sembilan kajian.

Mesej utama

Kami tidak dapat memperoleh anggaran yang boleh dipercayai tentang kesan strategi pelaksanaan dalam pemulihan strok ke atas pematuhan profesional penjagaan kesihatan terhadap amalan berasaskan bukti pada bulan ke-12 kerana bukti adalah kualiti yang sangat rendah.

Apa yang dikaji dalam ulasan ini?

Pesakit yang diserang strok dan mengambil bahagian dalam pemulihan tidak selalu menerima rawatan berdasarkan bukti. Banyak penyelidikan telah dijalankan dalam pemulihan strok tetapi maklumat ini tidak mudah diterjemahkan kepada amalan klinikal atau ia mengambil masa yang lama untuk digunakan oleh profesional penjagaan kesihatan. Strategi diperlukan untuk membantu profesional penjagaan kesihatan menggunakan bukti terbaik apabila bekerja dengan mangsa strok.

Kami menyertakan kajian yang membandingkan sekumpulan profesional penjagaan kesihatan yang menerima sokongan untuk menggunakan bukti dalam pemulihan strok dengan kumpulan lain yang tidak. Kami berminat untuk melihat sama ada profesional penjagaan kesihatan menggunakan lebih banyak bukti dalam amalan, sama ada pesakit mematuhi cadangan berasaskan bukti daripada profesional penjagaan kesihatan, dan sama ada kesihatan dan kesejahteraan pesakit bertambah baik.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Kami mendapati sembilan kajian dari lima negara; Australia, Kanada, Malaysia, UK dan Amerika Syarikat (AS). Empat kajian melaporkan sama ada profesional penjagaan kesihatan meningkatkan penggunaan bukti mereka dalam kerja mereka dengan mangsa strok. Kajian membandingkan profesional penjagaan kesihatan yang menerima sokongan untuk menggunakan bukti dalam pemulihan strok dengan profesional penjagaan kesihatan yang tidak menerima sokongan atau menerima jenis sokongan yang berbeza.

Kami tidak pasti sama ada strategi pelaksanaan untuk menyokong profesional penjagaan kesihatan menggunakan bukti dalam pemulihan strok meningkatkan amalan mereka berbanding tiada sokongan kerana kualiti bukti adalah sangat rendah. Ulasan mendapati bahawa strategi untuk menggalakkan profesional penjagaan kesihatan menggunakan bukti dalam pemulihan strok mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan kepada pematuhan pesakit terhadap rawatan yang disyorkan dan kesejahteraan psikologi pesakit berbanding tanpa intervensi (kualiti bukti yang rendah). Selain itu, kami mendapati strategi ini mungkin membawa kepada sedikit atau tiada perbezaan dalam kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan dan aktiviti kehidupan harian berbanding tanpa intervensi (bukti kepastian yang sederhana).

Kami mendapati tiada kajian yang melaporkan niat profesional penjagaan kesihatan untuk mengubah tingkah laku atau kepuasan mereka.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Penulis ulasan telah mencari kajian-kajian yang telah diterbitkan sehingga 17 Oktober 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Leong Siew Lian (Monash University Malaysia). Disunting oleh Shaun Lee (Monash Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.m

Tools
Information