Soalan ulasan
Kami ingin tentukan jika sebarang intervensi (ubat, psikologi atau pendidikan) yang membantu orang mematuhi terapi kelasi besi.
Latar belakang
Orang dengan penyakit sel sabit atau talasemia yang regular menerima transfusi terdedah kepada besi berlebihan yang boleh menyebabkan toksisiti organ dan kematian. Terapi kelasi besi diguna untuk mencegah atau merawat besi berlebihan, tetapi ia mungkin menjadi regimen mendesak, dengan kesan-kesan sampingan yang tidak diingini. Terdapat tiga jenis pengkelat besi yang diguna untuk merawat besi kelebihan: deferoxamine diberi secara subkutan (dengan menyuntik ubat ke lapisan tisu antara kulit dan otot); dan dua agen yang diambil secara oral, deferiprone dan deferasirox.
Tarikh carian
Bukti adalah terkini sehingga 12 Disember 2017.
Ciri-ciri kajian
Kami mencari literatur untuk kajian rawak dan bukan rawak, dan mendapati 16 kajian rawak dengan 1525 peserta, yang diterbitkan antara 1997 dan 2017. Kebanyakan orang β-talasemia utama; satu kajian memasukkan orang dengan SCD dan satu kajian lagi menyertakan orang dengan talasemia yang lebih ringan (talasemia intermedia). Purata umur adalah antara 11 hingga 41 tahun. Kami menyertakan satu kajian pengurusan ubat dan 15 kajian yang membandingkan pelbagai rawatan ubat.
Keputusan utama
Kajian menyertakan perbandingan agen individu antara satu sama lain atau kombinasi ubat-ubatan yang membandingkan satu ubat sahaja atau dengan kombinasi ubat lain.
Kami tidak pasti sama ada agen tunggal atau kombinasi agen membuat perbezaan dalam kadar kepatuhan, kesan buruk yang serius atau mortaliti. Kualiti hidup, diukur mengguna kuesioner yang disahkan, hanya dilaporkan dalam dua kajian, tetapi tiada cukup data dilaporkan untuk menentukan perbezaan antara rawatan.
Tiada bukti tentang strategi intervensi untuk pelbagai kumpulan umur.
Kami mendapati kepatuhan luar biasa yang tinggi kepada semua ubat serta kombinasi ubat-ubatan dalam semua kajian. Ini mungkin kerana para peserta dipilih berdasarkan kemampuan mereka untuk mengikut rejimen ubatan. Selain itu, kepatuhan mungkin meningkat dalam kalangan peserta kajian apabila ada penglibatan lebih tinggi klinisian dalam penjagaan.
Kami simpulkan kajian rawak dan bukan rawak di dunia sebenar yang dijalankan di komuniti dan di klinik perlu untuk menilai pelbagai strategi yang terbukti dan tidak terbukti yang mungkin berguna untuk meningkatkan kepatuhan terhadap terapi kelasi besi.
Kualiti bukti
Kami menilai kualiti bukti sebagai rendah hingga sangat rendah bagi semua hasil dalam ulasan ini. Ini adalah akibat kajian yang berisiko bias serius atau sangat serius; anggaran hasil yang tidak tepat (selang keyakinan yang luas); serta tidak diguna secara meluas (beberapa kajian dilakukan hanya dalam kalangan kanak-kanak berumur spesifik dan memenuhi kriteria spesifik ).
Diterjemah oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.