Adakah Daikenchuto dapat mengurangkan ileus pascabedah dalam kalangan pesakit yang menjalani pembedahan abdomen secara elektif?

Latar belakang

Ileus pascabedah adalah istilah perubatan bagi fungsi usus yang tersekat dan ia adalah komplikasi biasa dalam pesakit yang menjalani pembedahan pada bahagian abdomen. Ia disifatkan oleh kekurangan pergerakan usus, menyebabkan pengumpulan kandungan usus, dan kelewatan flatus (kentut). Pesakit yang mengalami ileus pascabedah secara berterusan selalunya tidak dapat bergerak, mengalami ketidakselesaan dan kesakitan, dan berisiko tinggi untuk komplikasi yang lain. Ini menyebabkan kemasukan hospital yang berpanjangan dan peningkatan kos perubatan. Daikenchuto ialah sejenis ubat tradisiona; Jepun (juga dikenali sebagai Kampo) yang boleh mengurangkan ileus pascabedah.

Soalan ulasan

Ulasan ini mengkaji sama ada Daikenchuto dapat mengurangkan ileus pascaedah dalam kalangan pesakit yang menjalani pembedahan abdomen.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan tujuh kajian (1202 peserta), di mana peserta-peserta tersebut diagihkan secara rawak (hanya secara kebetulan) untuk menerima salah satu daripada beberapa intervensi klinikal, di mana Daikenchuto dibandingkan dengan ubat lain, plasebo atau tiada rawatan. Carian telah dilakukan pada 3 Julai 2017. Kami menilai: masa dari selesainya pembedahan abdomen ke flatus pertama, masa untuk pergerakan usus pertama, masa untuk permulaan semula pengambilan makanan pepejal, kejadian buruk yang berkaitan dengan Daikenchuto, kepuasan pesakit, re-intervensi bagi ileus pascabedah sebelum meninggalkan hospital, dan tempoh tinggal di hospital.

Keputusan utama dan kualiti bukti

Secara keseluruhannya, terdapat sebilangan kecil peserta yang dimasukkan ke dalam setiap analisis. Kami tidak dapat menyiasat dengan sepenuhnya masa dari pembedahan ke flatus pertama, ke pergerakan usus pertama, atau ke permulaan semula pengambilan makanan pepejal, sebarang kejadian buruk berkaitan dengan ubat-ubatan, kepuasan pesakit, mana-mana re-intervensi untuk ileus pascabedah sebelum meninggalkan hospital, atau tempoh tinggal di hospital.
Kami menilai kualiti bukti bagi semua keputusan yang dikemukakan sebagai sederhana hingga sangat rendah.

Rumusan pengarang

Berdasarkan penemuan kami, kami tidak dapat memastikan sama ada Daikenchuto dapat mempercepatkan pergerakan usus selepas pembedahan dalam pesakit yang menjalani pembedahan abdomen.Oleh itu, ia adalah tidak jelas sama ada Daikenchuto dapat mengurangkan ileus pascabedah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Zcho Huey Lee, Penang Medical College (formerly Penang Medical College). Disunting oleh Tan May Loong (RCSI & UCD Malaysia Campus (formerly Penang Medical College). untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi zchohuey_c2017@ms.pmc.edu.my

Tools
Information
Share/Save