Antibiotik yang manakah berguna untuk rawatan bayi baru lahir yang mengidap sifilis kongenital?

Soalan ulasan

Untuk mengkaji keberkesanan dan keselamatan rawatan antibiotik bagi bayi baru lahir yang mengidap sifilis kongenital.

Latarbelakang

Wanita hamil yang mengidap sifilis boleh menjangkitkan penyakit tersebut melalui uri kepada janin atau kepada bayi semasa lahir, bagi kes-kes tersebut bayi itu dikatakan mengidap sifilis kongenital. Perkara ini berterusan menjadi masalah kesihatan awam yang penting bagi kebanyakan negara. Pada tahun 2007, Pertubuhan Kesihatan Sedunia melancarkan inisiatif global bagi menghapuskan penularan jangkitan sifilis dari ibu ke anak.

Ciri-ciri kajian

Pengulas mengenalpasti hanya 2 kajian klinikal hasil daripada pencarian pengkalan data perubatan secara meluas yang dijalankan sehingga 23 Mei 2018 dan melibatkan 2 formulasi penisilin, iaitu benzathine penisilin jangka panjang dan prokaina benzilpenisilin. Kedua-dua kajian mengambil bayi yang tidak bergejala (tiada simptom) sifilis kongenita. Dua puluh dua bayi baru lahir yang pertama diambil di Afrika Selatan dan dibandingkan antara benzathine penisilin dengan tanpa rawatan. Kajian kedua dilakukan di Amerika Syarikat dan merekrut 169 bayi dan perbandingan keberkesanan antara penisilin benzathine dan prokaina benzylpenisilin dilakukan.

Keputusan utama

Kajian yang pertama menunjukkan tiada perbezaan bagi kadar kematian bayi baru lahir oleh apa jua sebab, tambahan pula keputusan menunjukkan kemungkinan penurunan kepada perkadaran bayi yang mempunyai manifestasi klinikal sifilis kongenital. Pemberian penisilin juga meningkatkan jumlah pesakit yang mengalami respons baik dari segi ujian yang digunakan untuk pemantauan aktiviti penyakit (penyembuhan serologi). Kajian ini dihentikan awal setelah empat kes sifilis kongenital ditemui di dalam kumpulan tanpa rawatan dan tiada kes di dalam kumpulan penisilin.

Kajian kedua menunjukkan kedua-dua penisilin benzathine dan prokaina benzylpenisilin berkemungkinan sama efektif dalam merawat sifilis kongenital bagi hasil tiada manifestasi klinikal sifilis kongenital dan penyembuhan serologi. Tiada kajian yang menilai kesan sampingan rawatan.

Kualiti bukti

Kualiti bukti bagi kajian yang pertama adalah rendah disebabkan oleh laporan kaedah kajian yang lemah. Bagi kajian kedua, terdapat bukti kualiti yang tinggi bagi tiada manifestasi klinikal sifilis kongenital pada bayi baru lahir, tetapi kualiti bukti yang sederhana bagi penyembuhan serologi disebabkan oleh data yang sedikit.

Kesimpulan

Dibandingkan dengan tiada intervensi, rawatan dengan penisilin benzathine boleh meningkatkan kadar penyembuhan serologi sehingga umur bayi berusia tiga bulan dan berkemungkinan menurunkan manifestasi klinikal sifilis kongenital. Berkemungkinan tiada perbezaaan antara penisilin benzathine jangka panjang dan prokaina benzylpenisilin bagi rawatan bayi baru lahir yang mengidap sifilis kongenital.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Intan Juliana Abd Hamid (Institut Perubatan & Pergigian Termaju, USM). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi intanj@usm.my.

Tools
Information