Ujian molekular untuk mengesan jangkitan-jangkitan dalam bayi baru lahir

Soalan ulasan: Adakah ujian molekular mengesan jangkitan lebih baik berbanding kaedah kultur piawai untuk mengesan jangkitan dalam bayi baru lahir?

Latar belakang

Kaedah semasa untuk mengesan jangkitan (penyakit yang disebabkan oleh kuman) pada bayi baru lahir adalah dengan mendapatkan darah atau cecair badan yang lain (atau kedua-duanya) dan kultur (penghasilan) bakteria (kuman) di dalam makmal. Walau bagaimanapun, kaedah kultur gagal mengenalpasti beberapa jangkitan dan mengambil masa yang lama untuk menghasilkan keputusan (48 hingga 72 jam). Kaedah yang lebih terkini untuk mengesan jangkitan adalah berasaskan pengesanan DNA (molekul yang membawa arahan genetik yang digunakan dalam pertumbuhan, perkembangan, fungsi, dan pembiakan) daripada bakteria dan organisma lain yang menyebabkan jangkitan. Kemajuan dalam mikrobiologi telah memperkenalkan ujian molekular yang baru untuk mengesan jangkitan. Ujian molekular adalah pantas dan mungkin mengesan lebih banyak jangkitan berbanding dengan kaedah kultur yang tradisional.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari bukti bagi penggunaan kaedah molekular untuk mengesan jangkitan dalam bayi baru lahir. Kami mendapati 35 kajian yang membandingkan antara kaedah baru molekular dengan kaedah kultur darah dan bendalir tulang belakang untuk mendiagnosis jangkitan.

Sumber dana kajian

Tiada.

Hasil-hasil utama

Kami mendapati bahawa kaedah molekular mungkin sangat membantu sebagai ujian tambahan kerana ia memberikan hasil yang cepat.

Kualiti bukti

Walaupun terdapat beberapa isu dengan pemilihan bayi baru lahir untuk ulasan ini, secara keseluruhannya kaedah-kaedah yang digunakan oleh kajian-kajian adalah mencukupi. Kami menaraf kualiti bukti sebagai sederhana hingga rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Mastura Abd Malek (Pelajar Pasca-Siswazah Fakulti Perubatan, UiTM). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi mastura.malek78@gmail.com

Tools
Information