Intervensi senaman untuk meningkatkan aktiviti, penyertaan dan kualiti hidup pada penghidap cerebral palsy

Soalan ulasan

Adakah senaman meningkatkan aktiviti, penyertaan dalam situasi kehidupan dan kualiti hidup pada penghidap cerebral palsy (CP)?

Latar belakang

Cerebral palsy (CP) disebabkan oleh kecederaan pada otak bayi yang mengganggu perkembangan normal. Pesakit CP mempunyai kekurangan kekuatan otot dan kecergasan aerobik, yang boleh menjejaskan keupayaan mereka untuk melakukan aktiviti seperti berdiri, berjalan, berlari dan mengambil bahagian dalam kehidupan seharian. Senaman ditakrifkan sebagai aktiviti terancang, tersusun dan berulang yang bertujuan untuk meningkatkan kecergasan. Senaman aerobik bertujuan untuk meningkatkan kecergasan aerobik, manakala latihan kekuatan bertujuan untuk meningkatkan kekuatan otot. Pakar kesihatan sering menetapkan senaman kepada individu yang mempunyai CP, terutamanya untuk meningkatkan fungsi, tetapi belum ada penilaian yang komprehensif terhadap bukti keberkesanan intervensi ini pada orang yang mempunyai CP.

Ciri-ciri kajian

Pada Jun 2016 kami mencari semua kajian yang menyiasat keberkesanan senaman untuk penghidap CP. Kami memasukkan 29 kajian dengan sejumlah 926 peserta dengan CP, 53% daripadanya adalah lelaki. Lima kajian telah dijalankan di AS; empat di Australia; dua di Mesir, Korea, Arab Saudi, Taiwan, Belanda, dan UK; tiga di Greece; dan satu di India, Itali, Norway, Afrika Selatan.

Satu kajian melibatkan hanya orang dewasa dengan CP dan tiga kajian melibatkan remaja dan dewasa muda. Kebanyakan kajian melibatkan kanak-kanak dengan CP yang boleh berjalan secara bebas, dengan atau tanpa bantuan alat berjalan. Empat kajian juga melibatkan orang yang menggunakan peranti mobiliti beroda (cth. kerusi roda) dalam kebanyakan tetapan dan satu kajian melibatkan orang yang menggunakan peranti mobiliti beroda sahaja. Tiga kajian tidak melaporkan dengan jelas keupayaan fungsi peserta dan hanya dua kajian melaporkan keupayaan manual peserta (penggunaan tangan semasa mengendalikan objek). Lapan kajian membandingkan senaman aerobik dengan penjagaan biasa (iaitu penjagaan yang biasa diterima pesakit dalam amalan), 15 kajian membandingkan latihan rintangan (sejenis senaman untuk meningkatkan kekuatan otot) dengan sama ada penjagaan biasa atau tanpa rawatan, 4 kajian membandingkan latihan gabungan (senaman aerobik dan latihan rintangan) kepada penjagaan biasa atau tiada rawatan, dan 2 kajian membandingkan senaman aerobik dengan latihan rintangan.

Keputusan utama

Senaman aerobik boleh meningkatkan aktiviti seperti yang ditunjukkan oleh fungsi motor tetapi nampaknya tidak meningkatkan kelajuan berjalan, daya tahan berjalan, penyertaan atau kecergasan aerobik dalam kalangan kanak-kanak dengan CP dalam jangka pendek atau pertengahan. Tiada kajian mengenai kesan senaman aerobik terhadap penyertaan atau kualiti hidup.

Latihan rintangan nampaknya tidak meningkatkan fungsi motor, kelajuan berjalan atau penyertaan dalam jangka pendek atau pertengahan, atau kualiti hidup dalam jangka pendek, pada kanak-kanak dan remaja dengan CP tetapi boleh meningkatkan kekuatan otot.

Latihan gabungan tidak meningkatkan fungsi motor atau kelajuan berjalan tetapi meningkatkan penyertaan kanak-kanak dan remaja dengan CP dalam jangka pendek.

Kami mendapati tiada perbezaan antara latihan aerobik dan rintangan pada fungsi motor tetapi perbezaan dalam kekuatan otot dalam jangka pendek.

Walaupun bukti menunjukkan bahawa senaman mungkin selamat untuk orang yang mempunyai CP, hanya 16 kajian (55%) memasukkan maklumat tentang kejadian buruk; kajian ini tidak melaporkan kejadian buruk yang serius. Semua kajian yang kami temui mempunyai bilangan peserta yang kecil, bermakna kami tidak dapat memastikan keputusannya adalah tepat.

Kualiti bukti

Kami menilai kualiti bukti untuk semua perbandingan adalah rendah atau sangat rendah. Semua kajian mempunyai saiz sampel yang kecil. Terdapat sangat sedikit kajian yang melibatkan orang dewasa dengan CP atau orang dengan CP yang tidak boleh berjalan, jadi keputusan kami mungkin tidak digunakan untuk kumpulan orang ini. Beberapa kajian memberikan perincian yang jelas tentang kekerapan, intensiti dan tempoh senaman yang ditetapkan. Kajian lanjut yang menilai keberkesanan senaman untuk aktiviti dan penyertaan adalah diperlukan. Penyelidikan sedemikian harus menentukan sama ada jumlah dan intensiti senaman yang ditetapkan kepada orang yang mempunyai CP mempunyai kesan pada keberkesanannya, dan sama ada garis panduan semasa mengenai senaman untuk populasi umum terpakai untuk penghidap CP.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Kien How (Hospital Putrajaya). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information