Intervensi untuk membantu mereka yang hidup dengan HIV dan AIDS berhenti menggunakan tembakau

Latar belakang Penggunaan tembakau adalah lazim dalam kalangan mereka yang hidup dengan HIV dan AIDS (PLWHA); ia mengakibatkan pelbagai masalah kesihatan dan bertanggung jawab untuk banyak kematian. Terdapat bukti yang kukuh mengenai intervensi untuk membantu orang ramai berhenti menggunakan tembakau dalam kalangan populasi umum, walau bagaimanapun, keberkesanannya dalam kalangan PLWHA adalah tidak diketahui.

Kaedah Kami menyemak bukti yang ada daripada kajian untuk membantu PLWHA berhenti menggunakan tembakau. Bukti adalah benar setakat Jun 2015. Kami menjalankan analisis melihat sama ada peserta berjaya memberhentikan penggunaan tembakau dalam jangka panjang (enam bulan ke atas) dan jangka pendek (diukur kurang daripada enam bulan).

Hasil keputusan Kami menemui 14 kajian relevan yang melibatkan lebih 2000 peserta. Kesemua kajian kecuali satu telah dijalankan di Amerika Syarikat. Kesemua kajian membandingkan intervensi tingkah laku berserta ubat-ubatan, dengan kumpulan kawalan. Intervensi tingkah laku telah diberikan melalui pelbagai cara termasuklah bersemuka, telefon, komputer, dan mesej teks. Terapi penggantian nikotin atau varenicline (ubatan yang membantu pengguna tembakau untuk berhenti) juga telah diberikan. Peserta kumpulan kawalan biasanya menerima intervensi tingkah laku yang kurang intensif dan ringkas, dan ubat-ubatan yang sama seperti kumpulan intervensi. Enam kajian dengan bukti berkualiti sederhana menyelidik abstinens jangka panjang; mereka tidak menunjukkan bukti jelas tentang manfaat daripada intervensi yang lebih giat. Sebelas kajian dengan bukti berkualiti sangat rendah menyelidik abstinens jangka pendek. Bukti menyarankan bahawa intervensi lebih giat yang menggabungkan sokongan tingkah laku dan ubat-ubatan mungkin membantu orang untuk berhenti dalam jangka pendek.

Kualiti bukti Kualiti bukti dianggap sebagai sederhana untuk abstinens jangka panjang dan sangat rendah untuk abstinens jangka pendek, oleh itu kajian lanjut diperlukan untuk meningkatkan keyakinan kami terhadap penemuan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information