Ubat-ubatan diabetes untuk mencegah penyakit strok dan saluran darah lain pada orang yang mengalami serangan strok sebelumnya atau serangan iskemia

Soalan

Kami ingin menilai keberkesanan dan keselamatan ubat diabetes baru (agonis gamma reseptor yang diaktifkan oleh peroxisome proliferator (PPAR-γ)) dalam pencegahan penyakit strok dan saluran darah yang berkaitan dengan orang yang telah mengalami strok atau serangan iskemia sementara.

Latar belakang

Agonis gamma reseptor yang diaktifkan oleh peroxisome proliferator adalah ubat-ubatan yang meningkatkan cara insulin kerja dalam tubuh manusia. Ia digunakan secara meluas dalam rawatan jenis diabetes dewasa (diabetes jenis 2). Selain itu, ia juga boleh melindungi terhadap kehadiran lemak yang berlebihan dalam darah dan penyakit dinding arteri, yang merupakan faktor risiko strok.

Ciri-ciri kajian

Kami mengenal pasti lima kajian hingga 30 Julai 2019 termasuk sejumlah 5039 peserta. Empat kajian menilai ubat pioglitazone, dan satu kajian yang menilai rosiglitazone. Empat kajian melibatkan peserta yang tidak mempunyai sejarah diabetes, dan satu kajian hanya melibatkan peserta dengan diabetes.

Keputusan utama

Berbanding tablet plasebo, agonis PPAR-γ mengurangkan penyakit strok berulang dan penyakit saluran darah yang lain, meningkatkan tindak balas badan terhadap insulin, dan menstabilkan lemak di dinding arteri. Ubat-ubatan itu juga kelihatan diterima dengan baik, tetapi bukti untuk ini tidak dapat disimpulkan.

Kualiti bukti kajian

Kesimpulan ini harus ditafsirkan dengan berhati-hati memandangkan bilangan kajian yang terlibat adalah sedikit dan sesetengah kajian ini memiliki kualiti yang terhad. Kajian rawak terkawal yang direka dengan baik dan mempunyai saiz sampel yang besar adalah diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia)

Tools
Information
Share/Save