Latar belakang: Bayi di unit rawatan intensif neonatal (NICU) terdedah kepada tekanan, termasuk bunyi intensiti tinggi. Persekitaran bunyi di NICU adalah lebih kuat daripada kebanyakan persekitaran rumah atau pejabat dan mengandungi gangguan bunyi tempoh pendek dan pada interval yang tidak regular. Terdapat isyarat bunyi bersaingan yang sering mencabar bayi pramasa, staf dan ibu bapa. Tahap bunyi di NICU adalah dalam julat 7 dB hingga 120 dB, sering melebihi tahap maksimum 45 dB yang boleh diterima, disyor oleh Akademi Pediatrik Amerika. Kerosakan pendengaran didiagnos dalam 2% hingga 10% bayi pramasa berbanding 0.1% daripada populasi pediatrik umum. Hingar boleh menyebabkan apnea, hipoksemia, penyelangan ketepuan oksigen, dan peningkatan penggunaan oksigen sekunder kepada kadar jantung dan pernafasan tinggi dan boleh, mengurangkan amaun kalori yang tersedia untuk pertumbuhan. Tahap pertuturan yang tinggi diperlukan untuk mengatasi persekitaran yang hingar di NICU, oleh itu meningkatkan impak negatif ke atas staf, bayi baru lahir, dan keluarga mereka. Tahap bunyi hingar yang tinggi dikaitkan dengan peningkatan kadar kesilapan dan kemalangan, menyebabkan prestasi menurun dalam kalangan staf. Matlamat intervensi yang sesuai untuk dimasukkan dalam ulasan ini adalah untuk mengurangkan tahap bunyi yang mencecah neonat individu 45 dB atau kurang. Ini boleh dicapai dengan menurunkan tahap bunyi di seluruh unit, merawat bayi di seksyen NICU atau di dalam bilik 'peribadi', atau di inkubator di mana tahap bunyi dikawal, atau mengurangkan tahap bunyi yang mencecah bayi individu dengan menggunakan sungkup telinga atau penyumbat telinga. Dengan menurunkan tahap bunyi yang sampai kepada neonat, stres yang terhasil boleh dikurangkan, dengan itu menggalakkan pertumbuhan dan mengurangkan hasil neonatal yang buruk.
Keputusan: Ulasan ini hanya mengenal pasti satu kajian kecil, yang berkualiti tinggi menggunakan penyumbat telinga untuk mengurangkan tahap bunyi yang sampai kepada bayi baru lahir. Terdapat trend untuk pertumbuhan lebih baik pada umur 34 minggu selepas haid (PMA). Indeks Perkembangan Mental pada 18 hingga 22 bulan adalah lebih tinggi dalam kumpulan penyumbat telinga silikon yang melibatkan enam bayi berbanding kumpulan kawalan yang melibatkan enam bayi.
Kesimpulan: Sehingga kini hanya 34 bayi pramasa telah didaftarkan dalam kajian rawak terkawal (RCT) tunggal yang mengkaji kesan pengurangan hingar dan tiada syor untuk amalan klinikal boleh dibuat. Penyelidikan lanjutan diperlukan.
Diterjemah oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my