Langkau ke kandungan utama

Apakah kesan antibiotik terhadap sakit dan bengkak akibat keradangan atau jangkitan pada akar gigi dalam kalangan dewasa?

Mesej utama

– Satu dos antibiotik mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan kepada sakit dan bengkak apabila diambil sebelum rawatan salur akar.

- Bukti adalah sangat tidak pasti tentang kesan antibiotik yang diberi selepas debridmen (prosedur yang melibatkan pembersihan separa atau total bahagian dalam salur akar gigi) terhadap sakit atau bengkak.

– Tiada kajian yang meneliti kesan antibiotik sahaja tanpa rawatan pergigian, apabila diberi untuk dua keadaan yang biasanya bertanggungjawab menyebabkan sakit gigi.

Bagaimanakah periodontitis apikal dan abses apikal boleh terjadi?

Sakit gigi adalah masalah lazim dan boleh timbul apabila saraf dalam gigi mati akibat kerosakan atau kecederaan. Apabila ini menyebabkan keradangan tulang di sekitar hujung akar gigi yang terjejas, ia dikenali sebagai periodontitis apikal. Apabila ini menyebabkan simptom, biasanya sakit, ini dijelaskan sebagai periodontitis apikal simptomatik.

Tanpa rawatan, bakteria boleh menjangkiti gigi dan menyebabkan nanah terkumpul di hujung akar gigi (dipanggil abses apikal). Ini boleh menyebabkan bengkak dan penyebaran jangkitan.

Bagaimanakah sakit gigi yang disebabkan oleh periodontitis apikal atau abses apikal dirawat?

Rawatan yang disyorkan untuk keadaan ini adalah pembuangan saraf yang telah mati dan bakteria yang berkaitan. Ini dilakukan dengan mencabut gigi atau membersihkan sistem salur akar (dipanggil debridmen kemo-mekanikal). Kadang-kadang orang akan melalui rawatan salur akar dan tampalan pada hari yang sama (rawatan saluran akar lengkap) atau mereka boleh kembali semula untuk rawatan salur akar dan restorasi (tampalan) gigi.

Antibiotik hanya disyorkan apabila terdapat jangkitan teruk yang telah merebak dari akar gigi. Walau bagaimanapun, sesetengah doktor gigi masih secara rutin mempreskrib antibiotik untuk mereka dengan keadaan ini yang tiada tanda-tanda penyebaran jangkitan, atau tanpa rawatan pergigian untuk membuang bahan yang mati atau dijangkiti. Penggunaan antibiotik menyumbang kepada perkembangan bakteria resistan antibiotik (di mana bakteria tidak lagi dibunuh oleh antibiotik). Oleh itu, adalah penting antibiotik hanya diguna apabila ia memberi manfaat kepada orang tersebut.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin tahu jika antibiotik memperbaik sakit dan bengkak yang dilapor oleh orang dewasa dengan sakit gigi akibat periodontitis apikal simptomatik atau abses apikal. Kami berminat dengan kesan antibiotik apabila ia diberi dengan atau tanpa rawatan pergigian dan dengan atau tanpa ubat penahan sakit.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang melihat kepada antibiotik berbanding ubat palsu (plasebo) dalam kalangan dewasa dengan keadaan ini. Kami membanding dan merumus keputusan kajian-kajian dan menilai keyakinan terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami temui tiga kajian (satu daripadanya adalah baharu untuk kemas kini ini). Kami sertakan sejumlah 134 peserta dalam analisis. Semua kajian dijalankan di sekolah pergigian universiti dan menilai penggunaan antibiotik oral (diambil melalui mulut) dalam mengurangkan sakit yang dilapor oleh orang dewasa selepas debridmen kemo-mekanikal total atau separa di bawah anestetik setempat (suntikan ubat kebas ke dalam gusi di sekeliling gigi yang terjejas). Dalam satu kajian, peserta menerima satu dos antibiotik sebelum rawatan pergigian mereka. Dalam dua kajian lagi, peserta menerima antibiotik untuk tujuh hari selepas rawatan pergigian.

Dalam kajian yang membandingkan satu dos antibiotik oral berbanding plasebo sebelum rawatan salur akar yang lengkap, tiada perbezaan dalam sakit atau bengkak yang dilaporkan oleh peserta dalam kedua-dua kumpulan. Bukti menunjukkan satu dos antibiotik menghasilkan sedikit atau tiada perbezaan dalam sakit dan bengkak apabila diambil sebelum rawatan salur akar.

Kedua-dua kajian yang membandingkan antibiotik dan plasebo selepas debridmen kemo-mekanikal separa atau total mendapati tiada perbezaan dalam sakit atau bengkak antara kumpulan. Walau bagaimanapun, bukti itu adalah sangat tidak pasti.

Tiada kajian yang menilai kesan antibiotik yang diambil sendiri tanpa rawatan pergigian surgikal.

Dua kajian melaporkan kesan sampingan dalam kalangan peserta. Seorang yang menerima ubat plasebo mengalami diarea (cirit-birit). Seorang yang menerima antibiotik selepas rawatan pergigian mengalami keletihan dan kurang tenaga selepas rawatan dan seorang lagi yang menerima antibiotik sebelum rawatan pergigian mengalami pening.

Apakah batasan bukti?

Keyakinan kami terhadap bukti yang mengaitkan satu dos antibiotik diambil sebelum rawatan salur akar lengkap adalah rendah kerana kami sangat bimbang kajian itu mungkin tidak melibatkan bilangan peserta yang cukup untuk mengesan perbezaan antara kumpulan dan kami tidak boleh mengecualikan kemungkinan kesan yang bermanfaat.

Kami tidak yakin dengan bukti tentang kesan antibiotik yang diambil selepas debridmen kemo-mekanikal separa atau total kerana kajian itu kecil dan, dalam salah satu kajian, ramai peserta ciciran sebelum tamat kajian.

Adakah bukti ini mutakhir?

Buktii adalah terkini sehingga 25 November 2022.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia).

Petikan
Cope AL, Francis N, Wood F, Thompson W, Chestnutt IG. Systemic antibiotics for symptomatic apical periodontitis and acute apical abscess in adults. Cochrane Database of Systematic Reviews 2024, Issue 5. Art. No.: CD010136. DOI: 10.1002/14651858.CD010136.pub4.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan