Kaedah untuk memantau gula dalam darah dalam kalangan wanita yang hamil yang mempunyai kencing manis untuk meningkatkan hasil

Terjemahan ini tidak kemaskini. Sila klik di sini untuk melihat versi Bahasa Inggeris terbaru Ulasan Sistematik ini.

Apakah isunya?

Jika seorang ibu sudah ada kencing manis semasa hamil, si ibu dan anaknya berada pada risiko yang lebih tinggi untuk mendapat masalah dari segi kehamilan, kelahiran dan seterusnya. Semasa mengandung, kadar gula (kadangkala di rujuk sebagai kadar glukos dalam darah) dalam darah si ibu akan dipantau supaya langkah langkah yang patut boleh diambil untuk mengawal kadar gula dalam darahnya. Ulasan Cochrane ini melihat kajian terbaik untuk mengukur kadar gula semasa hamil untuk mengawal kadar gula dalam darah seterusnya mengurangkan masalah kepada bayi dan ibunya. Kami telah mengumpul dan menganalisa semua kajian yang relevan untuk menjawab persoalan ini (tarikh pencarian: November 2016)

Mengapakah ini penting?

Kencing manis boleh menyebabkan masalah kepada ibu yang hamil dan juga bayi mereka, termasuklah kelahiran pramatang, bayi yang besar, kelahiran yang sukar dan perlunya pembedahan caesarean. Masalah lain termasuklah risiko pendarahan dalam otak bagi bayi (pendarahan intrakranial), dan semasa lahir, terdapat peningkatan risiko bahu bayi tersekat (dystocia bahu). Selepas lahir, terdapat peningkatan risiko kandungan gula rendah dalam darah (hypoglisemia), jaundis dan masalah pernafasan. Bayi-bayi ini lebih cenderung untuk dimasukkan ke unit rawatan rapi. Selanjutnya, terdapat peningkatan risiko bayi tersebut menghidap kencing manis semasa kanak kanak.

Wanita yang sedia ada mempunyai penyakit kencing manis yang tidak dikawal dengan baik pada masa persemanian dan pada tiga bulan pertama kehamilan, mempunyai peningkatan risiko untuk keguguran, mempunyai bayi dengan masalah perkembangan atau bayi yang lahir mati. Beberapa kaedah untuk memantau paras gula dalam darah digunakan termasuklah ujian berkala di klinik antenatal, pemantauan sendiri, atau dengan menggunakan peralatan khas yang boleh memantau kadar gula secara berterusan semasa hamil. Ukuran kadar gula dalam darah yang lebih tepat boleh memberi kawalan yang lebih efektif untuk kadar gula dalam darah dan mempunyai potensi untuk mengurangkan masalah kepada bayi dan ibunya.

Apakah bukti yang telah kami jumpai?

Kami telah menjumpai 10 kajian melibatkan 538 wanita dan bayi. Kami telah menjumpai kajian yang membandingkan pelbagai kaedah untuk pemantauan glukos: pemantauan sendiri berbanding penjagaan standard, pemantauan sendiri berbanding kemasukan ke hospital, pemantauan sebelum makan berbanding pemantauan selepas makan, pemantauan glukos, pemantauan automatik berbanding sistem konvensional, pemantauan glukos secara berterusan (CGM) berbanding pemantauan berkala dan berterusan CGM berbanding CGM berkala. Kajian-kajian ini adalah dari negara Eropah dan Amerika Syarikat. Kami melihat kepada teknik-teknik yang berbeza untuk memantau dan membuat laporan tentang hasil yang berbeza. Bilangan wanita dalam satu-satu kajian secara amnya adalah kecil. Ulasan ini kebanyakannya berkualiti rendah, jadi kami tidak begitu pasti dengan hasil kajian.

Hasil kajian tidak menunjukkan yang mana mana satu teknik pemantauan adalah lebih baik daripada yang lain. Tiada perbezaan yang ketara antara teknik-teknik pemantauan apabila kawalan ibu terhadap kadar glukosnya atau penyakit tekanan darah tinggi dilihat. Kami tidak menjumpai perbezaan dalam kadar pembedahan caesarean, bilangan bayi yang besar dan bilangan bayi yang meninggal dunia atau mempunyai masalah kesihatan yang serius, atau bilangan bayi yang lahir terlalu awal (pramatang). Kami tidak tahu jika ini disebabkan oleh tiada perbezaan antara teknik, atau terdapat perbezaan di mana kajian-kajian ini tidak dapat untuk menunjukkan.

Apakah maksudnya?

Ulasan ini menunjukkan bahawa bukti-bukti ini tidak cukup untuk mengatakan dengan pasti kaedah pemantauan kadar gula dalam darah manakah yang terbaik. Lebih banyak kajian perlu dilakukan untuk mengenal pasti kaedah pemantauan manakah, jika ada, adalah baik untuk mengurangkan risiko komplikasi.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nur farahim Daud (Penang Medical College). Disunting oleh Sharifah Halimah Jaafar (Regency Specialist Hosp Sdn Bhd, JB). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi (nfarahim@ms.pmc.edu.my)

Share/Save