Kaedah untuk memantau gula dalam darah dalam kalangan wanita hamil yang mempunyai kencing manis untuk meningkatkan hasil

Apakah isunya dan mengapakah isu ini penting?

Jika seorang ibu sudah mempunyai kencing manis semasa hamil, si ibu dan anaknya berada pada risiko yang lebih tinggi untuk mendapat pelbagai masalah. Wanita yang sedia ada mempunyai penyakit kencing manis tidak terkawal dengan baik pada persemanian dan pada tiga bulan pertama kehamilan, mempunyai peningkatan risiko untuk keguguran, bayi dengan masalah perkembangan atau bayi yang lahir mati. Bayi juga mempunyai peningkatan risiko untuk mendapat penyakit kencing manis pada zaman kanak-kanaknya. Masalah untuk ibu termasuklah mendapat tekanan darah tinggi dan penyakit yang berkaitan, kelahiran awal, bayi besar, kelahiran yang sukar dan keperluan untuk pembedahan. Semasa kelahiran, bayi berisiko tinggi untuk bahu tersekat (distrosia bahu) dan pendarahan di otak (perdarahan intrakranial). Selepas kelahiran, bayi cenderung untuk mempunyai tahap gula darah rendah (hipoglycaemia), masalah jaundis dan pernafasan. Ini bermakna mereka cenderung untuk dimasukkan ke dalam penjagaan intensif. Semasa kehamilan, paras glukosa (gula) darah ibu dipantau supaya langkah-langkah yang sesuai dapat diambil untuk mengawal gula darahnya.

Beberapa kaedah untuk memantau glukosa darah digunakan, termasuk ujian berkala di klinik pranatal dan pemantauan kendiri oleh wanita di rumah. Masa adalah berbeza-beza, seperti pemantauan sebelum makan berbanding pemantauan selepas makan, dan berapa kerap tahap diukur. Bagi pemantauan glukosa yang berterusan, teknologi digunakan untuk memindahkan maklumat secara langsung daripada wanita kepada pakar perubatan dan ini termasuklah teleperubatan (telefon dan sistem video, teknologi maklumat) dan teknologi digital (telefon bimbit, tablet). Tujuan kaedah ini adalah untuk menyediakan ukuran paras gula dalam darah yang lebih tepat supaya boleh dikawal dengan lebih berkesan, untuk mengurangkan potensi masalah.

Apakah bukti yang kami temui?

Ini adalah kemas kini ulasan yang pertama diterbitkan pada 2014, dikemaskini pada 2017. Penyelidik mencari bukti daripada kajian rawak terkawal pada November 2018. Kami mengenal pasti 12 kajian yang melibatkan 944 wanita (jenis 1 diabetes: 660 wanita; kencing manis jenis 2: 113 wanita; dalam dua ujian (171 wanita) terdapat campuran diabetes jenis 1 dan jenis 2. Kajian tersebut adalah dari Eropah, Amerika Syarikat dan Kanada.

Terdapat enam perbandingan. Ini adalah: secara berterusan berbanding pemantauan berselang-seli glukosa dalam darah (empat kajian, 609 wanita); dua cara yang berbeza untuk memantau kendiri (dua kajian, 43 wanita); Pemantauan kendiri di rumah dengan kemasukan ke hospital untuk mengawal tahap glukosa dalam darah (satu kajian, 100 wanita); Pemantauan glukosa dalam darah sebelum makan (pre-prandial) berbanding pemantauan glukosa dalam darah selepas makan (post-prandial) (satu kajian, 61 wanita); automatik pemantauan teleperubatan berbanding penjagaan konvensional (tiga kajian, 84 wanita); dan berterusan pemantauan berterusan berbanding secara sekejap pemantauan berterusan (satu kajian, 25 wanita),

Pemantauan berterusan berbanding selang-seli boleh mengurangkan keseluruhan masalah tekanan darah tinggi semasa mengandung (dua kajian, 384 wanita, bukti berkualiti rendah). Walau bagaimanapun, ia harus diperhatikan bahawa hanya dua daripada empat kajian yang berkaitan telah melaporkan data untuk hasil ini. Terdapat lebih banyak bukti mengenai tekanan darah tinggi dan protein dalam air kencing mereka (pra-eclampsia), yang menunjukkan tiada perbezaan yang jelas (empat kajian, 609 wanita). Kami juga mendapati tiada perbezaan dalam bilangan wanita yang mempunyai pembedahan caesarean (tiga kajian, 427 wanita; bukti kualiti sederhana). Tidak bukti mencukupi untuk menilai kematian bayi atau gabungan kematian bayi dan kesihatan yang tidak baik kerana hasil ini adalah berdasarkan satu kajian. Empat kajian telah menerima beberapa sokongan daripada rakan komersial.

Perbandingan lain dengan cara memantau tahap glukosa dalam darah adalah berdasarkan kajian yang sangat kecil atau kajian tunggal dengan bukti berkualiti rendah tidak menunjukkan apa-apa perbezaan yang jelas pada hasil.

Apakah maksudnya?

Walaupun bukti daripada kajian rawak terkawal menunjukkan bahawa pemantauan berterusan paras glukosa dalam darah mungkin lebih berkesan dalam mengurangkan masalah tekanan darah tinggi semasa mengandung, hanya dua kajian melaporkannya. Tiada pengurangan yang jelas bagi pra-eclampsia berdasarkan bukti daripada empat kajian. Untuk kaedah lain bagi pemantauan glukosa, ulasan ini menunjukkan bahawa bukti tidak cukup untuk mengesahkan kaedah terbaik bagi pemantauan glukosa dalam darah. Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk mengetahui kaedah pemantauan terbaik untuk mengurangkan risiko komplikasi bagi wanita hamil dengan penyakit kencing manis sedia ada dan untuk mengesahkan keberkesanan pemantauan glukosa yang berterusan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nur farahim Daud (RCSI & UCD Malaysia Campus). Dikemaskini oleh Nila Pillai (RCSI & UCD Malaysia Campus. Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi (nfarahim@ms.pmc.edu.my)

Tools
Information
Share/Save