Kesan-kesan sampingan pada hati selepas rawatan antineoplastik untuk kanser kanak-kanak

Soalan ulasan

Kami telah mengkaji semula bukti untuk kesan-kesan rawatan kanser kanak-kanak ke atas risiko kesan-kesan sampingan pada hati.

Latar Belakang

Kemajuan dalam rawatan kanser kanak-kanak sepanjang beberapa dekad yang lepas telah banyak meningkatkan kadar kelangsungan hidup. Malangnya, prognosis yang bertambah baik turut diiringi bersama kehadiran lewat, komplikasi-komplikasi yang berkaitan dengan rawatan. Salah satu kesan-kesan buruk yang boleh berlaku disebabkan oleh rawatan kanser kanak-kanak adalah kerosakan pada hati. Kesan-kesan sampingan pada hati adalah biasa semasa dan selepas rawatan. Walau bagaimanapun, bukti mengenai kesan-kesan buruk pada hati bertahun-tahun selepas rawatan masih tidak muktamad. Kesan-kesan buruk pada hati yang disebabkan oleh rawatan kanser kanak-kanak adalah selalunya sering subklinikal (tiada gejala penyakit). Jika penyakit hati menunjukkan simptom, aduan seseorang mungkin termasuk keletihan, jaundis, loya, kurang berat badan dan sakit perut. Perkembangan rawatan masa hadapan dan polisi-polisi susulan perlu berdasarkan kepada bukti berkualiti tinggi tentang risiko dan faktor-faktor risiko yang berkaitan dengan kesan-kesan buruk pada hati.

Ciri-ciri kajian

bukti adalah terkini sehingga Januari 2018.

Kami telah menjumpai 33 kajian kohort yang mengkaji kesan-kesan buruk pada hati selepas rawatan untuk kanser kanak-kanak. Terdapat seramai 7876 pesakit kanser yang terlibat telah menerima rawatan pelbagai jenis kanser kanak-kanak, terutamanya dengan kemoterapi, radioterapi, dan pemindahan sumsum tulang. Purata tempoh susulan dalam kajian-kajian yang melaporkan perkara ini berbeza dari dua tahun selepas tamat rawatan sehingga ke 25 tahun sejak diagnosis kanser primer.

Keputusan-keputusan utama

Kami mendapati bahawa 1% sehingga 53% daripada kanser kanak-kanak yang masih hidup telah menghidapi kesan-kesan buruk pada hati selepas rawatan kanser, diukur dengan enzim hati dalam darah. Radioterapi pada hati meningkatkan risiko untuk menghidapi kesan-kesan buruk lewat pada hati. Tambahannya, busulfan, thioguanine atau pembedahan hati boleh juga meningkatkan risiko tersebut. Di samping itu, mereka yang masih hidup dengan virus hepatitis kronik, sindrom metabolik, indeks jisim tubuh yang lebih tinggi, pengambilan alkohol yang lebih tinggi, pengambilan statin, bukan Hispanik berbangsa putih, tempoh yang lebih panjang sejak diagnosis kanser dan usia yang lebih lanjut ketika diagnosis kanser dilihat mempunyai peningkatan risiko terhadap kesan-kesan buruk pada hati.

Kualiti bukti

Semua kajian mempunyai masalah-masalah berkaitan dengan kualiti bukti.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nicole Fong Wan June (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Fairuz Fadzilah Rahim (RCSI & UCD Malaysia campus). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi nicole@ms.pmc.edu.my

Tools
Information