Penggantian kateter intravena periferi atas indikasi klinikal berbanding secara rutin

Soalan ulasan

Kami mengkaji bukti tentang kesan menggantikan kateter secara rutin (setiap tiga hingga empat hari) atau menggantikan kateter hanya apabila terdapat simptom-simptom atau tanda-tanda terdapatnya masalah pada kateter yang sedia ada.

Latar belakang

Kebanyakan pesakit hospital menerima cecair atau ubat-ubatan melalui kateter intravena periferi ketika berada di hospital. Kateter intravena (turut dikenali sebagai drip IV, saluran IV atau kanula intravena) ialah tiub berongga pendek yang diletakkan pada saluran vena bagi membolehkan kemasukan ubat-ubatan, cecair atau nutrien secara terus ke dalam salur darah. Semua kateter ini biasanya akan diganti setiap tiga hingga empat hari bagi menghalang berlakunya iritasi pada vena atau jangkitan kuman dalam darah. Akan tetapi, penggantian kateter ini boleh menyebabkan ketidakselesaan kepada pesakit dan ianya agak mahal. Ini adalah kemaskini ketiga ulasan yang diterbitkan pada tahun 2010.

Ciri-ciri kajian

Pada April 2018, kami meninjau kajian terkawal rawak yang membandingkan penggantian kateter setiap 72 hingga 96 jam (secara rutin) dengan penggantian kateter hanya apabila terdapat komplikasi atau apabila rawatan selesai. Kami mengambil kira jangkitan darah, jangkitan pada kateter, phlebitis dan masalah lain yang berkaitan dengan kateter periferi, seperti jangkitan setempat dan kateter tersumbat. Kami mengambil kira dua kajian terbaru bagi kemaskini ini, membawa kepada keseluruhan sembilan kajian melibatkan 7412 peserta.

Keputusan utama

Kami mendapati tiada perbezaan ketara pada kadar bilangan jangkitan kuman, jangkitan pada kateter, phlebitis (keradangan pada salur darah vena), jangkitan dalam darah daripada sebarang sebab, jangkitan setempat, kadar kematian dan kesakitan. Kami tidak pasti sama ada jangkitan setempat berkurangan ataupun meningkat apabila kateter digantikan atas indikasi klinikal. Infiltrasi (penyusupan cecair ke dalam tisu badan di sekeliling kateter) dan kateter tersumbat (cecair atau ubatan tidak dapat dimasukkan melalui tiub kateter), mungkin berkurangan apabila kateter ditukarkan secara rutin. Kos didapati berkurangan apabila kateter digantikan apabila terdapat indikasi klinikal untuk melakukan yang sedemikian. Hasil perancangan awal seperti, ‘bilangan kateter ditukar bagi setiap pesakit’ dan ‘kepuasan pesakit’ tidak dilaporkan dalam mana-mana kajian yang dirangkumkan didalam ulasan kajian ini.

Kualiti bukti

Kualiti keseluruhan bukti dikategorikan sebagai sederhana bagi kebanyakan hasil kajian, hal ini menyebabkan kami tidak pasti dengan keputusan hasil carian kami. Ketidakpastian tersebut sebahagian besarnya disebabkan oleh hasil keputusan kajian, contohnya seperti phlebitis, ianya ditaksirkan oleh individu yang tahu mengenai pembahagian kumpulan, yang mana ianya mungkin boleh mempengaruhi keputusan yang diberikan sama ada terdapat masalah atau tidak.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nur Syafiah Syazwani Binti Abdul Manap (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information