Luka melecur yang melibatkan jumlah permukaan badan yang besar, kerosakan dan penguraian tisu boleh menyebabkan satu keadaan yang serupa seperti kekurangan zat makanan yang teruk . Di samping itu, kerosakan terhadap penghalang kulit yang baik membawa kepada disregulasi suhu badan dan peningkatan kerentanan terhadap jangkitan dan kehilangan cecair. Kajian-kajian terdahulu telah menyiasat bahan tambahan semulajadi yang khusus untuk sokongan nutrisi, yang mungkin boleh membawa kepada peningkatan fungsi sistem imun dan seterusnya pengurangan kepada jangkitan, tempoh rawatan dalam hospital dan kemungkinan kematian. Bahan-bahan tambahan ini dipanggil imunonutrien antaranya termasuklah glutamin, arginin, asid amino rantai bercabang (BCAAs) dan asid lemak omega-3 (minyak ikan). Para pengarang ulasan ini telah mencari kajian terkawal rawak yang menilai kesan imunonutrien pada pesakit yang mengalami kecederaan terbakar yang teruk .
Keputusan dari ulasan ini menunjukkan bahawa hanya glutamin yang berpotensi mengurangkan risiko kematian. Walau bagaimanapun, jumlah bilangan pesakit dalam gabungan kajian tersebut adalah terlalu kecil; oleh itu kesimpulan berkemungkinan tidak tepat. Lebih banyak kajian diperlukan untuk menentukan keberkesanan imunonutrisi.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Syed M Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Kuantan). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia).