Langkau ke kandungan utama

Apakah manfaat dan mudarat probiotik untuk mencegah cirit-birit yang berkaitan dengan Clostridioides difficile dalam kalangan dewasa dan kanak-kanak yang menerima antibiotik atas sebarang sebab?

Bantu menambah baik Ringkasan Cochrane – lengkapkan survey ringkas ini

Mesej utama

  • Bagi orang yang menerima antibiotik, probiotik mungkin berkesan mencegah cirit-birit berkaitan Clostridioides difficile (CDAD), dan boleh mengurangkan risiko cirit-birit berkaitan antibiotik.

  • Probiotik mungkin tidak menyebabkan mudarat bila diambil dengan antibiotik, dengan kurang kesan tidak diingini ringan hingga sederhana dalam kumpulan yang menerima probiotik berbanding kumpulan yang menerima plasebo (rawatan dummy) atau tiada rawatan.

  • Bagi mereka dengan sistem imun yang lemah yang mengambil antibiotik, penggunaan probiotik dalam jangka pendek menawarkan manfaatyang kecil, dan kemungkinan besar tidak memudaratkan. Walau bagaimanapun,tambahan kajian-kajian besar yang membandingkan probiotik dengan plasebo dalam kalangan orang dengan risiko CDAD rendah diperlukan.

Apakah cirit-birit yang berkaitan dengan Clostridioides difficile (CDAD) ?

Antibiotik adalah antara ubat yang paling lazim dipreskripsi di seluruh dunia. Rawatan antibiotik boleh mengganggu keseimbangan organisma yang biasanya mendiami usus. Ini boleh menyebabkan pelbagai simptom, terutama cirit-birit. C difficile ialah organisma yang sangat berbahaya yang boleh berkelompok dan menjangkiti usus jika keseimbangan mikrob terganggu. Kesan jangkitan C difficile boleh berbeza-beza, dengan sesetengah orang tidak mengalami gejala, dan ada yang mengalami cirit-birit, keradangan teruk , pembesaran kolon, atau kematian. Kos rawatan adalah mahal dan beban kewangan ke atas sistem perubatan adalah besar.

Apa itu probiotik?

Probiotik ialah mikroorganisma hidup (bakteria atau yis) yang memberi manfaat kesihatan apabila diberi dalam jumlah yang cukup. Ia membantu mencegah potensi gangguan kepada keseimbangan mikrob usus yang berkait dengan penggunaan antibiotik, dan mengurangkan risiko pertumbuhan bakteria yang memudaratkan. Probiotik boleh ditemui dalam makanan tambahan atau yogurt dan boleh tersedia meluas sebagai kapsul yang dijual di kedai makanan kesihatan dan pasar raya. Sebagai ‘makanan fungsian’ atau ‘bakteria baik’, probiotik dicadangkan sebagai satu cara untuk mencegah dan merawat(CDAD).

Apakah yang ingin diketahui?

Kami ingin tahu jika probiotik mencegah CDAD dalam kalangan dewasa dan kanak-kanak yang menerima terapi antibiotik, dan sama ada probiotik mengakibatkan sebarang kesan tidak diingini . Para penyelidik mencari kesusasteraan perubatan secara meluas sehingga 3 Mac 2025.

Apakah yang dilakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang membandingkan probiotik (sebarang strain atau dos) berbanding plasebo (rawatan palsu), rawatan pencegahan alternatif, atau tiada rawatan untuk pencegahan CDAD dalam kalangan dewasa dan kanak-kanak yang menerima terapi antibiotik bagi sebarang sebab. Kami banding dan rumuskan hasil kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang ditemukan?

Kami sertakan 47 kajian dengan sejumlah 15,260 dewasa dan kanak-kanak yang menerima terapi antibiotik bersama probiotik, untuk menilai CDAD atau pertumbuhan C difficile . Tiga puluh lapan kajian (13,179 peserta) menilai keberkesanan probiotik untuk mencegah CDAD. Keputusan kami menunjukkan probiotik boleh menyebabkan pengurangan kecil dalam risiko CDAD berbanding plasebo atau tiada rawatan.

Probiotik mungkin menyebabkan pengurangan kecil dalam pertumbuhan C difficile (16 kajian, 1302 peserta). Tiga puluh tujuh kajian (11,911 peserta) melihat kepada kesan tidak diingini . Keputusan kami menunjukkan probiotik mungkin menyebabkan pengurangan kecil risiko mengalami kesan tidak diingini berbanding plasebo atau tiada rawatan. Kesan tidak diingini yang paling kerap dilaporkan termasuklah kekejangan abdomen, loya, demam, najis lembut, kembung perut (gas), dan gangguan rasa, dan lebih kerap berlaku dalam kumpulan plasebo atau kumpulan tanpa rawatan. Empat puluh kajian (13,419 peserta) melaporkan cirit-birit berkaitan antibiotik (AAD); probiotik boleh menyebabkan pengurangan risiko AAD yang besar berbanding plasebo atau tiada rawatan. Tujuh kajian (6553 peserta) yang melaporkan tempoh inap di hospital menunjukkan sedikit atau tiada perbezaan antara probiotik dan plasebo atau tiada rawatan.

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Kajian yang kami ulas mengguna pelbagai jenis probiotik, tetapi tidak membandingkan secara langsung antara satu probiotik dengan probiotik yang lain. Kekurangan perbandingan langsung ini membuat lebih sukar untuk menentukan probiotik mana yang paling berkesan.

Kami berkeyakinan sederhana hingga rendah terhadap bukti. Keyakinan kami terhad kerana dalam beberapa kajian, orang yang berhenti daripada kajian atau tidak disusuli mengakibatkan kehilangan maklumat. Dua kajian terbesar dalam analisis kami tidak menunjukkan manfaat probiotik yang jelas untuk mencegah CDAD.

Adakah bukti ini yang terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 3 Mac 2025.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).

Petikan
Esmaeilinezhad Z, Ghosh NR, Walsh CM, Steen JP, Burgman AM, Mertz D, Johnston BC. Probiotics for the prevention of Clostridioides difficile-associated diarrhea in adults and children. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 9. Art. No.: CD006095. DOI: 10.1002/14651858.CD006095.pub5.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan