Zuclopenthixol dihydrochloride untuk skizofrenia

Latar belakang

Skizofrenia ialah penyakit mental yang serius yang mana pesakit mengalami delusi (pemikiran/idea yang aneh) dan/atau halusinasi (mendengar atau melihat perkara yang tidak nyata). Ini sering dikenali sebagai gejala positif atau akut. Pesakit juga mengalami gejala negatif atau kronik yang biasanya mengikuti gejala akut. Ini termasuklah menarik diri daripada hubungan sosial, kurang berminat dalam aktiviti seharian, kemurungan dan juga masalah dengan ingatan dan pemprosesan pemikiran.

Rawatan biasanya melibatkan pakej penjagaan yang melibatkan ubat dikenali sebagai antipsikotik, dan jika perlu, terapi tambahan seperti Terapi Tingkah Laku Kognitif, Psikopendidikan atau Terapi Kerja.

Terdapat banyak antipsikotik yang berbeza; mengetahui keberkesanan setiap satu berbanding tiada rawatan atau plasebo (rawatan palsu) dan dengan antipsikotik yang lain adalah penting. Ulasan ini membandingkan antipsikotik zuclopenthixol dihydrochloride oral dengan antipsikotik yang lain dan plasebo.

Pencarian bukti

Carian elektronik dijalankan pada 9 Jun 2015, mencari kajian yang merawakkan pesakit skizofrenia kepada kumpulan-kumpulan rawatan yang menerima sama ada zuclopenthixol dihydrochloride atau plasebo atau antipsikotik yang lain.

Bukti yang ditemui

Penulis ulasan menemui 20 kajian dengan 1850 peserta. Kebanyakan peserta-peserta ini merupakan pesakit di hospital psikiatri.

Kajian-kajian tersebut membandingkan zuclopenthixol dihydrochloride oral dengan plasebo dan sembilan antipsikotik oral yang lain (chlorpromazine, chlorprothixene, clozapine, haloperidol, perphenazine, risperidone, sulpiride, thiothixene, dan trifluoperazine). Terdapat juga kajian yang membandingkan zuclopenthixol dihydrochloride oral dengan suntikan zuclopenthixol dihydrochloride dan beberapa kajian membandingkan dua versi zuclopenthixol dihydrochloride yang berbeza.

Penulis ulasan berminat untuk mencari bukti untuk kesan zuclopenthixol dihydrochloride terhadap tujuh hasil utama: keadaan global, keadaan mental, kesan buruk, kematian, tempoh tinggal di hospital, meninggalkan kajian lebih awal dan fungsi umum. Malangnya banyak data yang disediakan kajian-kajian tersebut tidak boleh digunakan, data hanya tersedia untuk keadaan global, keadaan mental, meninggalkan kajian lebih awal dan kesan buruk kecelaruan pergerakan. Kajian yang membandingkan zuclopenthixol dihydrochloride dengan sulpiride dan trifluoperazine tidak menyediakan sebarang data yang boleh digunakan untuk sebarang hasil-hasil utama ini.

Keputusan keseluruhan menunjukkan kesan zuclopenthixol dihydrochloride terhadap keadaan global dan mental, dan jumlah peserta yang meninggalkan kajian lebih awal adalah serupa dengan antipsikotik yang lain yang disenaraikan di atas.

Zuclopenthixol dihydrochloride mungkin menyebabkan lebih banyak kecelaruan pergerakan daripada clozapine, risperidone atau perphenazine, tetapi tiada perbezaan untuk perbandingan dengan ubat yang lain atau plasebo.

Kesimpulan

Bukti yang tersedia pada masa ini adalah berkualiti sangat rendah hingga rendah dan maknanya adalah tidak jelas. Data untuk kebanyakan hasil yang penting adalah tidak tersedia menyebabkan kesimpulan mengenai keberkesanan keseluruhan bagi zuclopenthixol dihydrochloride sukar.

Bukti sedia ada menunjukkan zuclopenthixol dihydrochloride tidak lebih buruk daripada antipsikotik yang lain dalam merawat gejala skizofrenia, tetapi lebih banyak kajian yang menyediakan data berkualiti baik adalah diperlukan sebelum kesimpulan yang kukuh boleh dibuat.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save