Adakah kemoterapi sebelum pembedahan memperbaiki survival atau kualiti hidup wanita dengan kanser epitelium ovari lanjutan?

Terjemahan ini tidak dikemas kini. Sila klik di sini untuk melihat versi Bahasa Inggeris terbaru Ulasan.

Apakah isunya?
Kanser epitelium ovari, yang timbul daripada lapisan permukaan ovari atau lapisan tiub fallopian, adalah kanser ketujuh paling lazim di seluruh dunia dalam kalangan wanita dan merupakan jenis kanser ovari yang paling lazim (kira-kira 90% daripada kanser ovari). Malangnya, kebanyakan wanita dengan kanser ovari muncul pada tahap lewat di mana penyakit itu telah merebak ke abdomen. Ini kerana kanser ovari sering timbul dari hujung tiub fallopian, di mana sel tunggal boleh keluar ke rongga perut walaupun tumor utama adalah mikroskopik. Sel-sel ini beredar di sekitar kaviti abdomen dalam cecair peritoneal pelincir, implan pada permukaan lain dan berkembang dari masa ke masa sehingga menyebabkan gejala. Malah, gejala-gejala seperti perut kembung dan gangguan usus (lazimnya sembelit), adalah tidak spesifik dan mudah dikaitkan dengan keadaan benigna yang lebih biasa. Di Eropah, lebih satu pertiga wanita yang didiagnosis dengan kanser ovari masih hidup lima tahun selepas diagnosis.

Rawatan konvensional untuk kanser ovari melibatkan dua modaliti rawatan: pembedahan dan kemoterapi. Matlamat pembedahan adalah untuk menilai penyakit (menilai di mana kanser telah merebak) dan mengeluarkan sebanyak mungkin kanser (makroskopik) yang boleh dilihat (dikenal sebagai "debulking" atau "cytoreduction"), sebaiknya hingga ke titik di mana pasukan pembedahan tidak dapat melihat sebarang sisa penyakit di kaviti abdomen. Walau bagaimanapun, oleh kerana kebanyakan wanita akan mengalami perebakan penyakit yang meluas, pembedahan sahaja tidak dapat menyembuhkan penyakit ini dan kebanyakan juga memerlukan kemoterapi. Kemoterapi untuk kanser ovari menggunakan ubat berasaskan platinum untuk merawat sel-sel yang tidak boleh dikeluarkan dengan pembedahan (penyakit makroskopik) atau terlalu kecil untuk dilihat (penyakit mikroskopik). Kemoterapi secara tradisional diberi selepas pembedahan. Walau bagaimanapun, kemoterapi boleh digunakan sebelum pembedahan (dikenali sebagai kemoterapi ‘neoadjuvant’ (NACT) dan pembedahan ‘debulking’ berselang (IDS)) dengan tujuan mengecutkan kanser dan membolehkan wanita menjadi lebih sihat sebelum menjalani pembedahan radikal.

Apa yang telah kami lakukan?
Kami mencari pangkalan data electronik pada 11 Februari 2019. Kami memasukkan kajian rawak terkawal NACT dan IDS berbanding pembedahan diikuti dengan kemoterapi (pembedahan ‘debulking’ utama (PDS) dalam kalangan wanita yang didiagnosis dengan kanser ovari epitelium tahap lanjut dan mengumpul data hasil kajian di mana sesuai.

Apakah yang telah kami temui?
Kami mendapati 1952 judul yang berpotensi. Daripada jumlah ini kami mendapati lima kajian yang memenuhi kriteria inklusi kami, termasuk sejumlah 1713 wanita dengan kanser ovari lanjutan. Kami dapat mengumpulkan data daripada empat kajian. Kajian-kajian tersebut membandingkan wanita yang diberi kemoterapi sebelum pembedahan (NACT) dengan wanita yang menjalani pembedahan (PDS) sebelum kemoterapi. Kami mendapati sedikit atau tiada perbezaan antara kedua-dua rawatan tersebut dari aspek masa kematian atau masa untuk progresi penyakit. Kami mendapati memberi NACT mungkin mengurangkan risiko beberapa komplikasi pembedahan, tetapi data ini kurang jelas dilaporkan dalam kajian-kajian yang disertakan dan oleh itu kepastian kami adalah rendah tentang keputusan-keputusan ini. Kajian-kajian tersebut hanya mendaftarkan wanita dengan kanser ovari tahap IIIc/IV iaitu mereka yang mengalami penyakit lanjutan; sebahagian besar wanita dalam ulasan ini mempunyai tumor yang sangat besar. Kami sedang menunggu keputusan dua kajian yang sedang berlangsung dan satu kajian yang belum diterbitkan dengan harapan akan menyumbang lebih banyak bukti untuk membimbing amalan klinikal dalam bidang ini di masa hadapan.

Apakah maksudnya?
Secara keseluruhan, kepastian bukti adalah sederhana. Mungkin ada sedikit atau tiada perbezaan berapa lama wanita dengan kanser ovari epitelium lanjutan akan bertahan, jika mereka menjalani kemoterapi atau pembedahan terlebih dahulu, di mana kedua-dua rawatan tersebut dirancang. NACT mungkin mengurangkan beberapa risiko pembedahan, dan mungkin mengurangkan risiko usus dikeluarkan dan/atau usus dialihkan melalui dinding abdomen melalui stoma (beg yang dilekatkan pada dinding abdomen untuk mengumpul kandungan usus). NACT/IDS adalah alternatif kepada PDS diikuti oleh kemoterapi dalam kalangan wanita dengan penyakit IIIc/IV peringkat besar. Keputusan individu tentang rawatan mana yang patut didahulukan akan bergantung kepada kehendak wanita, berapa sihat semasa diagnosis, risiko pembedahan serta beban dan sebaran penyakit.

Nota terjemahan: 

Diterjemah Chiah Zi Yan. Dikemaskini oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com