Pembedahan membuang nodus limfa ketiak dalam kanser payudara

Soalan ulasan

Ulasan ini bertujuan membandingkan manfaat pembedahan membuang nodus limfa ketiak dengan potensi mudarat yang berkait dengan prosedurpembedahan ini. Ulasan ini juga bertujuan untuk mengetahui sama ada pembuangan keseluruhan nodus limfa ketiak boleh diganti dengan prosedur yang hanya membuang sebilangan kecil nodus limfa.

Latar belakang

Pembedahan membuang nodus limfa ketiak (aksilari) sering menjadi sebahagian daripada rawatan awal pembedahan bagi pesakit dengan kanser payudara yang boleh dibedah. Jika kanser telah merebak ke nodus limfa, pesakit dinasihatkan untuk menjalani rawatan tambahan, seperti kemoterapi atau radioterapi, untuk membantu merawat penyakit mereka. Jika kanser belum merebak ke nodus limfa ini, pesakit terkecuali daripada rawatan tambahan (dengan kesan sampingan tambahan). Pembedahan membuang nodus limfa boleh membawa komplikasi pembedahan jangka pendek (seperti jangkitan dan masalah penyembuhan luka) dan masalah jangka panjang (seperti kekejangan bahu, kesakitan dan bengkak pada lengan (lymphoedema) apabila berlaku pengumpulan cecair menyebabkan fungsi terhad dan ketidakselesaan.

Strategi moden menggunakan pendekatan berperingkat dengan terlebih dahulu membuang sebilangan kecil nodus dan membuang yang lain hanya jika kanser ditemui di peringkat pertama. Peringkat pertama ini boleh terdiri daripada pensampelan rawak aksilari, di mana pakar bedah membuang sebilangan kecil nodus yang boleh dirasai (biasanya empat) . Sebagai alternatif, pakar bedah boleh menggunakan teknik nodus sentinel untuk mengenal pasti nodus yang paling mungkin mengandungi kanser, membawa kepada pembuangan beberapa nodus. Bagi pesakit dengan kanser di nodus sentinel (atau sampel), pembuangan lengkap semua nodus limfa ketiak (diseksi nodus limfa aksilari) sering disyorkan; walau bagaimanapun, radioterapi kepada aksila juga boleh diberi untuk menghapus sebarang sel kanser di nodus limfa. Beberapa kajian telah meneroka pendekatan alternatif seperti tiada rawatan pembedahan kepada nodus ketiak.

Ciri-ciri kajian

Bukti adalah terkini sehingga Mac 2015. Ulasan ini telah mengenalpasti 26 kajian rawak terkawal yang membandingkan diseksi nodus limfa aksilari (ALND) dengan pendekatan alternatif yang melibatkan kurang pembedahan aksilari. Pesakit dalam kajian ini mempunyai kanser payudara primer yang boleh dibedah, dan beberapa kajian memasukkan pesakit dengan nodus limfa aksilari besar yang boleh dirasa dengan sentuhan. Sepuluh kajian melibatkan 3849 pesakit membandingkan ALND dengan tiada pembedahan aksilari. Enam kajian melibatkan 1559 pesakit membandingkan ANLD dengan pensampelan aksilari. Tujuh kajian melibatkan 9426 pesakit yang membandingkan ALND dengan biopsi nodus limfa sentinel (SLNB). Empat kajian melibatkan 2585 pesakit yang membandingkan ALND (dengan atau tanpa radioterapi) dengan radioterapi sahaja.

Keputusan utama

Bukti kualiti sederhana menunjukkan pesakit yang dirawat dengan pendekatan yang melibatkan kurang pembedahan aksilari (seperti pensampelan aksilari atau SLNB) tidak kurang peluang survival berbanding mereka yang dirawat dengan ALND. Bukti kualiti sederhana menunjukkan survival keseluruhan berkurangan dalam kalangan pesakit yang menerima radioterapi (tetapi tiada pembedahan aksilari) apabila dibandingkan dengan ALND. Jika survival dianggap 81% lima tahun selepas pembedahan dengan ALND, maka bukti mencadangkan ia adalah di antara 77% dan 81% selepas rawatan dengan radioterapi sahaja.

Bukti berkualiti sederhana menunjukkan pesakit yang tiada pembuangan nodus limfa aksilari adalah lebih berisiko perulangan (pertumbuhan semula kanser, dalam payudara, kawasan parut mastektomi atau kelenjar ketiak). Jika dianggap 86% daripada pesakit yang menerima ALND bebas daripada perulangan lima tahun selepas pembedahan, bukti menunjukkan angka yang sama bagi pesakit yang tiada pembuangan nodus limfa iaitu di antara 66% dan 76%. Bagi pesakit yang dirawat dengan pensampelan aksilari, bukti kualiti rendah menunjukkan antara 73% dan 87% akan bebas dari perulangan pada lima tahun.

Kadar perulangan aksilari dilaporkan hanya dalam kajian SLNB berbanding ALND, dan para penyelidik masih tidak pasti tentang rawatan terbaik untuk hasil ini kerana kadar yang sangat rendah (berlaku di dalam kurang daripada 1% pesakit).

Bukti berkualiti rendah mencadangkan pesakit yang dirawat dengan ALND adalah lebih berisiko untuk lymphoedema berbanding yang dirawat dengan SLNB atau tiada pembedahan aksilari. Berdasarkan bukti ini, kami menjangka 132 dari setiap 1000 pesakit yang menerima ALND akan mengalami lymphoedema pada satu tahun selepas pembedahan, berbanding antara 22 dan 115 pesakit yang menerima SLNB. Mudarat jangka panjang lain seperti sakit, pergerakan lengan terjejas dan kebas juga lebih cenderung dengan ALND berbanding SLNB.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Mastura Abd Malek (Pelajar Pasca-Siswazah Fakulti Perubatan, UiTM). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsucd.edu.my

Tools
Information