Senaman untuk osteoarthritis lutut

Latar belakang: Apakah itu OA lutut, dan apakah itu senaman?

Osteoartritis (OA) adalah sejenis penyakit sendi, seperti pinggul. Apabila sendi kehilangan rawan, tulang tumbuh untuk cuba membaiki kerosakan. Walau bagaimanapun, daripada membuat keadaan lebih baik, tulang tumbuh secara luar biasa dan menjadikan keadaan lebih teruk. Sebagai contoh, bentuk tulang boleh berubah dan menyebabkan sendi sakit dan tidak stabil. Doktor pernah berfikir bahawa OA hanya mengakibatkan penipisan rawan. Namun, kini diketahui bahawa OA adalah penyakit yang melibatkan seluruh sendi.

Senaman adalah sebarang aktiviti yang meningkatkan atau mengekalkan kekuatan otot, kecergasan fizikal dan keseluruhan kesihatan. Orang ramai bersenam kerana banyak sebab; mereka mungkin bersenam untuk menurunkan berat badan, untuk menguatkan otot atau untuk melegakan gejala OA.

Ciri-ciri kajian

Rumusan kemas kini ulasan Cochrane ini membentangkan apa yang kami dapati daripada kajian mengenai kesan senaman terhadap mereka dengan OA lutut. Setelah mencari semua kajian yang berkaitan setakat Mei 2013, kami menambah sebanyak 23 kajian baru semenjak versi terakhir ulasan, yang kini melibatkan 54 kajian (3913 peserta), kebanyakannya dengan OA lutut bergejala ringan hingga sederhana. Kecuali lima kajian di mana peserta mendaftar dalam program berasaskan Tai Chi, kebanyakan peserta menjalani program senaman darat yang terdiri daripada menguatkan otot tradisional, latihan fungsi dan program kecergasan aerobik, yang diselia secara individu atau diadakan di dalam kelas; individu ini dibandingkan dengan mereka yang tidak bersenam. Bukti daripada 44 kajian (3537 peserta) menunjukkan kesan senaman sejurus selepas rawatan; 12 kajian melaporkan data tentang kemampanan dua hingga enam bulan selepas rawatan. Di sini kami hanya melaporkan keputusan untuk tempoh rawatan segera.

Keputusan utama

Sakit pada skala 0 hingga 100 mata (skor yang lebih rendah bermakna kesakitan berkurangan).

• Mereka yang menyempurnakan program senaman menilai kesakitan mereka pada 12 (10 hingga 15) mata lebih rendah pada akhir rawatan (12% peningkatan mutlak) berbanding dengan mereka yang tidak bersenam.

• Mereka yang menyempurnakan program senaman menilai kesakitan mereka sebanyak 32 mata.

• Mereka yang tidak bersenam menilai kesakitan mereka sebanyak 44 mata.

Fungsi fizikal pada skala 0 hingga 100 mata (skor lebih rendah bermaksud fungsi fizikal yang lebih baik).

• Mereka yang menyempurnakan program senaman menilai fungsi fizikal mereka sebanyak 10 mata (8 hingga 13 mata) lebih rendah pada akhir rawatan (10% peningkatan mutlak) berbanding dengan mereka yang tidak bersenam.

• Mereka yang menyempurnakan program senaman menilai fungsi fizikal mereka sebanyak 28 mata.

• Mereka yang tidak bersenam menilai fungsi fizikal mereka sebanyak 38 mata.

Kualiti hidup pada skala 0 hingga 100 mata (skor lebih tinggi bermaksud kualiti hidup yang lebih baik).

• Keseluruhannya, mereka yang menyempurnakan program senaman menilai kualiti hidup mereka sebanyak 4 mata (2 hingga 5 mata) lebih tinggi pada akhir rawatan (4% peningkatan mutlak).

• Mereka yang menyempurnakan program senaman menilai kualiti hidup mereka sebanyak 47 mata.

• Mereka yang tidak bersenam menilai kualiti hidup mereka sebanyak 43 mata.

Penarikan diri.

• Kurang satu orang daripada 100 peserta menarik diri daripada program senaman (1% penurunan mutlak).

• Daripada 100 peserta dalam program senaman, 14 orang menarik diri.

• Daripada 100 peserta yang tidak bersenam, 15 menarik diri.

Kualiti bukti

Bukti berkualiti tinggi menunjukkan bahawa di kalangan mereka dengan OA lutut, senaman mengurangkan kesakitan secara sederhana sejurus selepas rawatan tamat dan hanya sedikit meningkatkan kualiti hidup, tanpa peningkatan penarikan diri. Penyelidikan lanjut tidak mungkin mengubah anggaran keputusan ini.

Bukti berkualiti sederhana menunjukkan bahawa senaman meningkatkan fungsi fizikal secara sederhana sejurus selepas rawatan tamat. Penyelidikan lanjut mungkin mengubah anggaran keputusan ini.

Kebanyakan kajian klinikal tidak menyediakan maklumat terperinci mengenai kesan-kesan sampingan seperti kecederaan atau jatuh semasa bersenam, tetapi kami menjangkakan hal ini jarang berlaku. Lapan kajian melaporkan peningkatan sakit lutut atau sakit belakang yang dikaitkan dengan program senaman, dan kesemua kajian melaporkan tiada kecederaan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information