Senaman untuk kemurungan

Mengapakah ulasan ini penting?

Kemurungan adalah penyakit yang biasa dijumpai dan melumpuhkan, ia melibatkan kira-kira 100 juta orang di seluruh dunia. Kemurungan boleh memberi kesan yang besar ke atas kesihatan fizikal, serta mengurangkan kualiti hidup mereka. Kajian telah menunjukkan bahawa kedua-dua terapi farmakologi dan psikologi berkesan dalam merawat kemurungan.Walau bagaimanapun, ramai orang lebih suka mencuba rawatan-rawatan alternatif. Beberapa garis panduan NHS mencadangkan bahawa senaman boleh digunakan sebagai pilihan rawatan yang berbeza.Walau bagaimanapun, ia tidak jelas jika kajian memang menunjukkan bahawa senaman adalah satu rawatan berkesan untuk kemurungan.

Siapakah yang akan berminat mengenai ulasan ini?

Pesakit dan keluarga mereka yang terjejas oleh kemurungan.
Doktor perubatan umum
Pihak pembuat polisi kesihatan mental.
Profesional yang bekerja dalam perkhidmatan kesihatan mental.

Apakah soalan yang ulasan ini berhasrat untuk menjawab?

Ulasan ini adalah satu pengemaskinian daripada ulasan Cochrane dari tahun 2010 yang mencadangkan bahawa senaman boleh mengurangkan tanda-tanda kemurungan, tetapi kesannya adalah kecil dan seolah-olah tidak dapat bertahan selepas peserta berhenti bersenam.

Kami ingin mengetahui jika terdapat lebih kajian tentang kesan senaman sebagai rawatan untuk kemurungan telah dijalankan sejak ulasan terakhir kami yang membolehkan kami untuk menjawab soalan-soalan berikut:

Adakah senaman lebih berkesan daripada tiada terapi untuk mengurangkan gejala-gejala kemurungan?
Adakah senaman lebih berkesan daripada ubat antidepresan untuk mengurangkan gejala-gejala kemurungan?
Adakah senaman lebih berkesan daripada terapi psikologi atau rawatan bukan perubatan lain untuk kemurungan?
Bagaimanakah senaman boleh diterima oleh pesakit sebagai rawatan untuk kemurungan?

Kajian yang manakah yang telah dimasukkan ke dalam ulasan ini?

Kami menggunakan pangkalan data carian untuk mencari semua kajian terkawal rawak yang berkualiti tinggi tentang keberkesanan senaman dalam merawat kemurungan di kalangan orang dewasa berumur lebih daripada 18 tahun. Kami telah mencari kajian-kajian yang diterbitkan sehingga Mac 2013.Kami juga mencari kajian yang sedang dijalankan sehingga Mac 2013. Semua kajian mesti melibatkan orang dewasa dengan diagnosis kemurungan, dan aktiviti fizikal yang dijalankan mesti sesuai dengan kriteria untuk memastikan bahawa ia bersesuaian dengan definisi 'senaman'.

Kami memasukkan 39 kajian yang melibatkan 2326 peserta di dalam ulasan ini.Pengulas mencatatkan bahawa beberapa kualiti kajian adalah rendah, dan ini menghadkan keyakinan terhadap penemuan tersebut. Apabila hanya mengkaji kajian yang berkualiti tinggi , senaman hanya memberi kesan yang kecil ke atas mood dan ini adalah tidak signifikan secara statistik

Apakah bukti daripada ulasan itu memberitahu kepada kita?

Senaman sederhananya lebih berkesan daripada tiada terapi untuk mengurangkan gejala kemurungan.
Senaman tidak lebih berkesan daripada antidepresan untuk mengurangkan gejala kemurungan, walaupun kesimpulan ini adalah berdasarkan daripada sebilangan kecil kajian.
Senaman tidak lebih berkesan daripada terapi psikologi untuk mengurangkan gejala kemurungan, walaupun kesimpulan ini adalah berdasarkan daripada sebilangan kecil kajian.
Pengulas juga mendapati bahawa apabila hanya kajian berkualiti tinggi dikaji, perbezaan antara senaman dan tiada terapi adalah kurang muktamad.
Kadar kehadiran untuk rawatan senaman adalah di antara 50% hingga 100%.
Bukti mengenai sama ada senaman untuk kemurungan dapat meningkatkan kualiti hidup adalah tidak muktamad.

Apa yang sepatutnya berlaku seterusnya?

Pengulas mengesyorkan bahawa kajian masa depan perlu melihat dengan lebih terperinci tentang jenis senaman yang paling memberi manfaat kepada pesakit kemurungan, dan bilangan serta tempoh sesi yang perlu diadakan untuk mendapat manfaat yang maksimum. Kajian selanjutnya yang lebih besar diperlukan untuk mengetahui sama ada senaman memberi kesan yang sama dengan antidepresan atau rawatan psikologi.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Wai Kay (Penang Medical College). Disunting oleh Mei Wai Chan (Penang medical College). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi wk_wong@ms.pmc.edu.my

Tools
Information