Kesan air berbanding cecair lain untuk pembersihan luka.

Air sering digunakan untuk membersih luka bagi mencegah jangkitan. Air paip, air suling, air masak yang telah disejukkan atau air masin telah digunakan. Penggunaan air paip untuk membersihkan luka akut dalam kalangan orang dewasa tidak meningkatkan kadar jangkitan. Walau bagaimana pun, tidak ada bukti yang kukuh bahawa pembersihan sebegini adalah lebih baik daripada tidak dibersihkan langsung. Pengulas membuat kesimpulan bahawa jika air paip berkualiti tinggi (boleh diminum), ia boleh menjadi sebaik kaedah lain seperti air suling atau air salin (yang lebih kos efektif) tetapi lebih banyak kajian diperlukan.

Kesimpulan penulis: 

Tiada bukti yang kukuh bahawa penggunaan air paip untuk membersihkan luka akut dalam kalangan orang dewasa atau kanak-kanak meningkat atau mengurangkan jangkitan. Tiada juga bukti mengenai pembersihan luka semata-mata meningkatkan penyembuhan atau mengurangkan jangkitan. Dalam ketiadaan air paip, air masak, air sejuk dan air suling boleh digunakan sebagai ejen pembersih luka.

Baca abstrak penuh ...
Latar belakang: 

Walaupun pelbagai cecair telah dicadangkan untuk pembersihan luka, salin normal digemari kerana ia merupakan cecair isotonik dan tidak mengganggu proses penyembuhan normal. Air paip biasa digunakan dalam masyarakat untuk pembersihan luka kerana ia mudah didapati, efisien dan kos efektif; walau bagaimana pun, terdapat satu perbahasan tentang penggunaannya yang belum diselesaikan lagi.

Objektif: 

Objektif sorotan ini adalah untuk menilai kesan air berbanding cecair lain untuk pembersihan luka.

Strategi carian: 

Untuk kemaskini yang keempat ini, kami telah mencari Daftar Kepakaran Kumpulan Luka Cochrane (carian pada 9 November 2011); Daftar Pusat Kajian Klinikal Terkawal Cochrane (CENTRAL) (Perpustakaan Cochrane 2011, Isu 4); Ovid MEDLINE (2010 hingga Oktober 2011 Minggu 4); Ovid MEDLINE ( Dalam Proses & Petikan Index Lain, November 8, 2011); Ovid EMBASE (2010 hingga 2011 Minggu 44); dan EBSCO CINAHL (2010 hingga 4 November 2011).

Kriteria pemilihan: 

Perbandingan antara kajian klinikal rawak terkawal dan separa rawak terkawal membandingkan air dan cecair lain layak dimasukkan. Kriteria tambahan adalah hasil yang memasukkan cara objektif atau subjektif bagi jangkitan luka atau penyembuhan.

Pengumpulan data dan analisis: 

Dua penulis sorotan menjalankan pemilihan kajian, pengekstrakan data dan penilaian kualiti secara berasingan. Kami menyelesaikan perbezaan pendapat melalui perbincangan. Kami mengumpulkan beberapa data dengan menggunakan model kesan secara rawak.

Keputusan utama: 

Kami memasukkan 11 kajian dalam sorotan ini. Kami mengenal pasti tujuh kajian yang membandingkan kadar jangkitan dan penyembuhan luka yang dibersihkan dengan air dan salin normal; tiga kajian membandingkan pembersihan dengan tanpa pembersihan dan satu kajian lagi membandingkan spirit procain dengan air. Tiada kriteria umum untuk menilai jangkitan luka bagi semua kajian yang mana telah menghadkan keupayaan untuk mengumpulkan data. Perbandingan utama adalah air dengan normal salin dan air paip dengan tanpa pembersihan. Untuk luka kronik, risiko untuk mendapat jangkitan apabila dibersihkan dengan air paip berbanding salin normal adalah 0.16 (95% CI 0.01-2.96) menunjukkan tiada perbezaan antara dua kumpulan tersebut. Penggunaan air paip untuk membersihkan luka akut dalam kalangan orang dewasa dan kanak-kanak tidak dikaitkan dengan perbezaan statistik yang signifikan berbanding salin normal (dewasa: RR 0.66, 95% CI 0.42 hingga 1.04; kanak-kanak: RR 1.07, 95% CI 0.43 hingga 2.64) untuk jangkitan. Kami telah mengenal pasti tiada perbezaan statistik yang signifikan dalam kadar jangkitan apabila luka dibersihkan dengan air paip atau tidak dibersihkan langsung (RR 1.06, 95% CI 0.07 hingga 16.50). Begitu juga, tiada perbezaan dalam kadar jangkitan pada luka episiotomi yang dibersihkan dengan air atau spirit procain. Penggunaan salin isotonik, air suling dan air masak untuk membersihkan luka terbuka juga tidak menunjukkan perbezaan statistik yang signifikan dalam bilangan luka yang dijangkiti.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Rajasunthari Thambiraja dan Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi hayatikk@usm.my

Tools
Information
Share/Save