Langkau ke kandungan utama

Adakah terapi berasaskan muzik membantu orang dengan demensia?

Mesej utama

· Berbanding penjagaan biasa (iaitu tanpa aktiviti khusus), menyediakan orang dengan demensia sesi terapi berasaskan muzik mungkin memperbaik kemurungan, dan boleh memperbaik masalah tingkah laku keseluruhan.

· Berbanding aktiviti lain, terapi berasaskan muzik boleh memperbaik tingkah laku sosial, tetapi kami tidak pasti jika ia memperbaik kebimbangan.

· Kesan ini mungkin tidak bertahan selepas tamat rawatan.

· Tiada bukti terapi berasaskan muzik membuat perbezaan kepada kesejahteraan emosi, pergolakan atau kognisi (contohnya berfikir dan mengingat) orang dengan demensia, walaupun terdapat ketidakpastian tentang perkara ini.

· Terdapat ketidakpastian dalam bukti untuk kesan jangka panjang, tetapi tiada kesan jangka panjang diperhatikan dalam kajian-kajian.

· Kesan buruk (kesan sampingan tidak diingini) mungkin jarang, tetapi kajian-kajian tidak konsisten dalam laporannya, oleh itu kami perlukan lebih banyak bukti sebelum boleh mencapai kesimpulan yang boleh dipercayai.

Mengapa menawarkan terapi berasaskan muzik kepada orang dengan demensia?

Orang dengan demensia secara beransur-ansur mengalami kesukaran pemikiran dan aktiviti harian. Demensia sering dikaitkan dengan masalah emosi dan tingkah laku dan boleh mengurangkan kualiti hidup seseorang. Di tahap akhir demensia, ia mungkin sukar bagi orang untuk berkomunikasi dengan kata-kata, namun apabila mereka tidak lagi boleh bercakap, mereka mungkin masih boleh bersenandung atau bermain dengan muzik. Terapi yang melibatkan muzik mungkin sangat sesuai untuk orang dengan demensia bagi memperbaik kehidupan mereka.

Siapa yang menyediakan terapi berasaskan muzik?

Ahli terapi muzik diperakui untuk bekerja dengan individu atau kumpulan orang, menggunakan muzik bagi membantu memenuhi keperluan fizikal, psikologi dan sosial mereka. Profesional lain juga boleh dilatih untuk menyediakan terapi yang serupa.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin tahu jika bagi orang dengan demensia, terapi berasaskan muzik berfungsi lebih baik daripada penjagaan biasa atau aktiviti lain, seperti melukis. Kami berminat sama ada terapi mengubah hasil ini pada akhir rawatan:

· kesejahteraan emosi termasuk kualiti hidup;

· kemurungan dan kebimbangan;

· pergolakan atau agresi dan masalah tingkah laku keseluruhan;

· tingkah laku sosial; dan

· kognisi (misalnya berfikir dan mengingat).

Kami juga ingin tahu sama ada terdapat sebarang kesan jangka panjang selepas terapi berakhir atau sebarang kesan tidak diingini .

Apakah yang kami lakukan?

Kam mencari kajian-kajian di mana orang dengan demensia dirawak untuk menerima terapi berasaskan muzik (sekurang-kurangnya lima sesi) atau kepada kumpulan perbandingan tanpa aktiviti atau aktiviti berbeza . Kami gabungkan keputusan kajian untuk anggaran kesan terapi berasaskan muzik setepat mungkin. Kami juga menilai tahap keyakinan kami terhadap penemuan tersebut.

Apakah yang kami temui?

Kami temui 30 kajian yang dijalankan di 15 negara. Kajian-kajian melibatkan 1720 orang demensia dengan keterukan yang berbeza. Dalam kebanyakan kajian, para peserta tinggal di rumah penjagaan. Tujuh kajian menyampaikan terapi berasaskan muzik kepada individu; kajian lain menyampaikan intervensi kepada kumpulan. Kami dapat menggunakan keputusan 28 kajian melibatkan 1366 orang dengan demensia untuk satu atau lebih hasil pada akhir rawatan. Sepuluh kajian menyumbang maklumat tentang keputusan jangka panjang.

Keputusan utama

Pada akhir rawatan

Terapi berasaskan muzik mungkin memperbaik kemurungan dan boleh memperbaik masalah tingkah laku keseluruhan, berbanding penjagaan biasa.

Terapi berasaskan muzik boleh memperbaik tingkah laku sosial berbanding aktiviti lain. Kami kurang yakin tentang kesan terapi berasaskan muzik terhadap kebimbangan berbanding aktiviti lain.

Bukti sedia ada tidak mencadangkan sebarang manfaat terapi berasaskan muzik untuk kesejahteraan emosi (termasuk kualiti hidup), pergolakan dan agresi, atau kognisi, tetapi bukti adalah terhad dan terdapat ketidakpastian tentang perkara ini.

Dalam jangka masa yang lebih panjang

Sesetengah kajian mengukur hasil empat minggu atau lebih selepas akhir rawatan. Kami tidak menemui sebarang kesan yang berkekalan, tetapi terdapat sedikit keputusan yang mengukur jangka panjang, dan kami tidak pasti tentang bukti ini . Kajian lanjut mungkin memberi kesan ketara terhadap perkara yang kami ketahui tentang kesan terapi berasaskan muzik untuk orang dengan demensia, oleh itu adalah penting untuk penyelidikan diteruskan.

Apakah batasan bukti?

Terdapat variasi dalam kualiti kajian dan bagaimana ia dilaporkan. Dalam semua kajian, peserta dan kakitangan mungkin mengetahui rawatan yang peserta dapat, dan dalam sesetengahnya, penilai mungkin mengetahui perkara ini juga. Ini mungkin mempengaruhi keputusan tersebut. Berkenaan kesan di akhir terapi berasaskan muzik, kami sederhana yakin dengan bukti untuk kesan bermanfaat terhadap kemurungan berbanding penjagaan biasa. Kami sedikit yakin terhadap kesan atau kekurangan kesan terhadap sebarang hasil yang lain . Kesan buruk jarang dilaporkan.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Ulasan ini mengemaskini ulasan terdahulu. Kami menambah lapan kajian baharu dan mencapai kesimpulan baharu. Bukti adalah terkini setakat 30 November 2023.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Ng Chia Shyn (IMU University). Dikemaskini oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Dikemaskini. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).

Petikan
van der Steen JT, van der Wouden JC, Methley AM, Smaling HJ A, Vink AC, Bruinsma MS. Music-based therapeutic interventions for people with dementia. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 3. Art. No.: CD003477. DOI: 10.1002/14651858.CD003477.pub5.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan