Diet ketogenik untuk epilepsi kalis ubat

Latar belakang

Epilepsi ialah satu gangguan di mana sawan berulang disebabkan oleh pelepasan elektrik yang abnormal dari otak. Dalam kebanyakan orang, sawan boleh dikawal dengan satu atau lebih banyak ubat antiepilepsi, tetapi sawan mungkin tidak boleh dibantu oleh ubatan tersebut selepas satu tempoh (digelar epilepsi kalis ubat). Untuk pesakit dengan epilepsi kalis ubat, satu diet istimewa (digelar diet ketogenik) mungkin dipertimbangkan. DIet ketogenik adalah tinggi dalam kandungan lemak dan rendah dalam karbohidrat.

Ulasan ini bertujuan menyiasat kesan diet ketogenik atas kawalan sawan, kognisi (contohnya pembelajaran, konsentrasi dan prestasi akademik dalam kanak-kanak; pembelajaran, konsentrasi dan memori dalam orang dewasa) dan kelakuan. Kami juga menyiasat kesan sampingan diet tersebut dan bilangan peserta yang meninggalkan kajian dan sebab mereka.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari pangkalan data perubatan untuk kajian rawak terkawal (kajian klinikal di mana peserta ditempatkan secara rawak ke dalam satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) untuk orang dewasa atau kanak-kanak dengan epilepsi, di mana satu diet ketogenik dibandingkan dengan rawatan lain. Kami menjumpai 11 ujian terkawal rawak yang melibatkan 778 peserta. Kajian tersebut adalah antara dua sehinggan 16 bulan.

Keputusan utama

Kesan sampingan jangka pendek diet ketogenik termasuk cirit-cirit, sembelit dan muntah. Kesan jangka panjang tidak diketahui daripada kajian-kajian tersebut.

Semua kajian melaporkan peserta yang meninggalkan kajian, akibat kurangnya penambahbaikan dalam sawan dan toleransi yang rendah terhadap diet tersebut.

Satu kajian melaporkan kesan diet ketogenik atas kualiti hidup, kognisi dan kelakuan. Tiada perbezaan dijumpai dalam kualiti hidup mereka yang mengikuti diet ketogenik dan kumpulan jagaan biasa, walau bagaimanapun peserta yang mengikuti diet ketogenik didapati lebih aktif, lebih produktif dan kurang resah. Lebih banyak kajian diperlukan dalam hal ini.

Kebelakangan ini, diet ketogenik lain, yang lebih ditoleransi, seperti diet ubahsuai Atkins, didapati mempunyai kesan sama ke atas kawalan sawan berbanding diet ketogenik yang lebih ketat. Namun, lebih banyak penyelidikan diperlukan.

Kualiti bukti

Kajian yang dimasukkan dalam ulasan ini terhad oleh bilangan kecil peserta dan hanya kanak-kanak disertakan dalam 10 daripada 11 kajian, jadi, kami menilai kualiti bukti sebagai rendah atau sangat rendah.

Pada masa ini sangat sedikit penyelidikan wujud mengenai penggunaan diet tersebut dalam orang dewasa, maka, lebih banyak penyelidikan diperlukan dalam hal ini.

Bukti adalah terkini sehingga April 2017.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khoo Jing Hern (Melaka Manipal Medical College). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi khoojinghern@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save