Rawatan topikal untuk ketuat kulit

Ketuat viral adalah penyakit kulit yang biasa dijumpai, paling kerap menjejaskan tangan dan kaki, disebabkan oleh virus papilloma manusia. Walaupun ketuat tidak berbahaya dan biasanya hilang dengan masa tanpa sebarang rawatan, ia boleh menjadi tidak sedap dipandang dan menyakitkan. Ketuat pada telapak kaki juga dipanggil ‘ketuat plantar’ atau ‘verruca’.

Ulasan ini tidak merangkumi rawatan ketuat genital, dan ia hanya mempertimbangkan bukti yang diberikan oleh keputusan kajian rawak terkawal.

Asid salisilik (SA), larutan yang murah dan mudah didapati yang disapu pada ketuat, mempunyai kesan bermanfaat yang pasti tetapi sederhana berbanding dengan plasebo. Ia berkesan untuk ketuat di semua tempat dan mempunyai sedikit kesan buruk, tetapi ia mungkin mengambil beberapa minggu penggunaan harian untuk berfungsi.

Krioterapi, biasanya menggunakan cecair nitrogen, sering digunakan untuk rawatan ketuat, tetapi ia kurang sesuai, lebih menyakitkan, dan juga lebih mahal. Satu kajian menunjukkan bahawa terdapat bukti krioterapi adalah lebih baik daripada SA untuk ketuat di tangan, tetapi apabila kami menggabungkan kajian ini dengan keputusan kami yang lain, kami tidak dapat mengesahkannya. Kami mendapati krioterapi yang lebih agresif kelihatan lebih berkesan daripada krioterapi yang lembut, tetapi dengan peningkatan risiko kesan buruk, seperti kesakitan, lecur, dan parut. Kami hanya melihat kepada maklumat dari kajian klinikal krioterapi dan bukan rawatan pembekuan tanpa preskepsi untuk ketuat, maka kami tidak dapat mengatakan jika ia sama berkesan.

Semasa penghasilan versi terakhir ulasan ini, pita pembalut mendapat sokongan kerana ia merupakan rawatan yang selamat dan mudah yang mudah digunakan; namun, kajian yang berdasarkan ini agak kecil. Dalam kemas kini ulasan ini, kami menemui dua kajian lebih lanjut pita pembalut yang menunjukkan bahawa rawatan ini tidak berkesan seperti apa yang disangkakan sebelumnya.

Rawatan lain yang dirangkumi ulasan ini termasuk 5-fluorouracil, dinitrochlorobenzene, bleomycin intralesi, interferon intralesi, terapi fotodinamik, dan antigen intralesi. Rawatan-rawatan ini tidak biasa digunakan, walaupun oleh pakar kulit, dan terdapat bukti yang lebih sedikit untuk keberkesanan mereka. Bukti yang terhad yang kami ada menunjukkan bahawa beberapa rawatan ini mungkin berkesan dan oleh itu boleh digunakan untuk ketuat yang tidak bertindak balas dengan rawatan yang lebih mudah dan lebih selamat, seperti asid salisilik atau krioterapi.

Keseluruhannya, memberikan idea yang berguna tentang ‘apa yang berkesan’ dari pelbagai kajian adalah sukar kerana banyak kajian berkualiti buruk.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information