Podcast : Yoga sebagai rawatan untuk sakit pinggang kronik yang tidak spesifik

Sakit pinggang atau sakit belakang merupakan masalah kesihatan yang biasa dan pelbagai rawatan telah dinilai dalam Ulasan Cochrane. Pada Januari 2017, koleksi ini ditambah oleh Susan Wieland dan rakan-rakan sekerja beliau dari Pusat Perubatan University of Maryland di Amerika Syarikat, apabila penyelidikan mereka diterbitkan mengenai kesan yoga terhadap sakit pinggang kronik tidak spesifik. Beliau dan rakan-rakan penulisnya telah mengemukakan ulasan dan implikasi penyelidikan mereka. 

- Baca transkrip

Salam sejahtera. Saya Shahrizan Majid graduan perubatan dari Penang Medical College.

Sakit pinggang atau sakit belakang merupakan masalah kesihatan yang biasa dan pelbagai rawatan telah dinilai dalam Ulasan Cochrane. Pada Januari 2017, koleksi ini ditambah oleh Susan Wieland dan rakan-rakan sekerja beliau dari Pusat Perubatan University of Maryland di Amerika Syarikat, apabila penyelidikan mereka diterbitkan mengenai kesan yoga terhadap sakit pinggang kronik tidak spesifik. Beliau dan rakan-rakan penulisnya telah mengemukakan ulasan dan implikasi penyelidikan mereka.

Sakit pinggang tidak spesifik atau sakit pinggang tanpa sebarang sebab kebiasaannya akan hilang dalam tempoh masa beberapa hari atau beberapa minggu. Walau bagaimanapun, bagi sesetengah pesakit ia berterusan selama 3 bulan atau lebih dan diistilahkan sebagai ‘kronik’. Ini adalah keadaan serius yang mengganggu aktiviti harian seseorang dan merendahkan kualiti hidup mereka.
Rawatan yang biasa ditawarkan untuk sakit pinggang jenis ini adalah ubat tahan sakit dan regangan badan atau senaman. Satu jenis senaman yang kadang-kadang digunakan adalah yoga, iaitu intervensi minda-badan yang berasal dari India dan menjadi sangat popular di Barat, dan ulasan para penyelidik mendapati terdapat bukti bahawa yoga mungkin bermanfaat untuk sakit pinggang kronik tidak spesifik, tetapi kajian ini adalah terhad.
Para penyelidik menyertakan 12 kajian daripada Amerika Syarikat, United Kingdom, dan India yang telah membandingkan pelbagai jenis yoga dengan intervensi bukan senaman seperti bahan-bahan pendidikan, intervensi seperti fisioterapi, atau senarai menunggu, di mana satu kumpulan pesakit memulakan yoga dengan serta-merta manakala bagi kumpulan lain, yoga ditawarkan pada akhir kajian. Apabila yoga dibandingkan dengan intervensi bukan senaman, pesakit melaporkan peningkatan kecil ke sederhana pada fungsi belakang dan peningkatan kecil pada kesakitan pada 3 dan 6 bulan. Namun begitu, pesakit yang ditawarkan yoga mempunyai 5% risiko lebih tinggi kepada kejadian buruk, terutamanya peningkatan sakit pinggang yang sementara. Terdapat sedikit maklumat yang mencadangkan manfaat yoga berbanding tidak bersenam pada 12 bulan , tetapi maklumat yang diperoleh adalah tidak banyak, oleh itu terdapat kurang kepastian mengenai kesan jangka panjangnya.
Apabila yoga dibandingkan dengan senaman-senaman yang lain, tiada sebarang perbezaan pada fungsi belakang pada 3 dan 6 bulan, dan hanya satu kajian kecil yang memberikan maklumat mengenai sakit pada 7 bulan. Kekurangan kajian secara amnya yang membandingkan yoga dan senaman, dan ketidakseragaman dalam keputusan kajian individu bermakna bahawa keputusan penyelidikan ini adalah tidak pasti dan boleh berubah apabila terdapat bukti penyelidikan yang lebih banyak. Akhirnya, hanya terdapat satu kajian kecil mengenai kesan melibatkan yoga dalam program senaman lain, yang dipanggil sebagai "sekolah belakang", dan para penyelidik juga tidak pasti mengenai kesan yoga apabila ia ditambah ke dalam program senaman.
Merentasi semua kajian, hanya sedikit maklumat sahaja didapati mengenai kesan jangka panjang yoga ke atas fungsi dan kesakitan, dan maklumat yang sangat sedikit mengenai kesannya pada kesihatan mental atau kualiti hidup. Secara ringkasnya, kajian semasa mencadangkan bahawa pesakit dengan sakit pinggang kronik tidak spesifik yang melakukan yoga mungkin mendapati ianya lebih berkesan daripada tidak melakukan senaman, dan keberkesanan yang sama seperti senaman lain-lain. Walau bagaimanapun, adalah penting untuk mengetahui bahawa semua intervensi yoga yang disertakan dalam kajian ini khususnya untuk merawat sakit pinggang, dan kelas yoga tersebut diajar oleh guru-guru yang terlatih dan berpengalaman. Faktor-faktor ini boleh memberi kesan kepada keberkesanan dan keselamatan, dan keputusan untuk mencuba program yoga yang direka untuk merawat sakit pinggang tidak spesifik haruslah bergantung pada kewujudan program sebegini, kos dan kehendak seseorang individu itu.

Sekiranya anda ingin mengetahui lebih lanjut mengenai program yoga yang telah dinilai dan kajian-kajian yang berbuat demikian, anda boleh menemui butiran penuh dalam Ulasan Cochrane Susan. Ia boleh didapati dalam talian di Perpustakaan Cochrane.com, di mana anda hanya perlu mencari 'yoga untuk sakit pinggang'.

Podcast ini Diterjemahkan oleh Shahrizan Majid dan disunting oleh Dr Tan May Loong dari Penang Medical College dari podcast yang asal yang bertajuk: "Yoga treatment for chronic non-specific low back pain."

Tutup transkrip