Mesej utama
– Terdapat bukti yang terhad bahawa pendidikan di rumah dapat meningkatkan kualiti hidup berbanding pendidikan yang disampaikan di luar rumah, dan boleh mengurangkan kemasukan ke hospital berbanding pendidikan yang kurang intensif.
– Tidak terdapat bukti yang mencukupi untuk menunjukkan sama ada pendidikan yang disampaikan di rumah adalah lebih baik atau lebih buruk berbanding pendidikan yang disampaikan di luar rumah untuk pengendalian kemerosotan (keadaan asma yang semakin teruk) yang memerlukan rawatan segera di jabatan kecemasan, rawatan dengan kortikosteroid oral (ubat yang digunakan untuk merawat asma bagi mengurangkan keradangan (bengkak) di saluran pernafasan), perubahan dalam gejala asma atau fungsi paru-paru.
– Kajian-kajian yang direka bentuk dengan baik diperlukan bagi mengenal pasti komponen pendidikan asma yang secara khusus dikaitkan dengan peningkatan pengetahuan tentang asma dan hasil rawatan.
Apakah itu asma?
Asma adalah keadaan paru-paru yang kronik (jangka masa panjang). Penghidap asma mengalami keradangan (bengkak) pada saluran pernafasan di dalam paru-paru. Gejala asma ialah semput, sesak nafas, dada sesak dan batuk.
Apakah pendidikan asma?
Pendidikan asma bertujuan untuk mengajar kanak-kanak dan penjaga cara untuk menguruskan penyakit asma yang mereka hidapi dengan menggunakan perkongsian antara pesakit dan para profesional dalam penjagaan kesihatan. Komponen pendidikan asma termasuk maklumat tentang penyakit asma; latihan dalam menguruskan asma, termasuk cara menggunakan inhaler dengan berkesan; strategi pengurusan; dan galakan menggunakan ubat-ubatan dengan betul. Pemantauan asma, seperti menggunakan meter aliran puncak (peranti pegang tangan yang mengukur seberapa cepat anda boleh bernafas sepenuhnya) dan reviu berkala dari penjaga kesihatan profesional secara tetap juga merupakan komponen pendidikan asma.
Mengapa kami beranggapan bahawa rumah mungkin adalah tempat yang baik untuk memberi pendidikan tentang asma kepada kanak-kanak?
Persekitaran rumah membolehkan pendidik menjangkau populasi (seperti mereka dengan latar belakang yang kurang berkemampuan) yang mungkin menghadapi halangan untuk mendapatkan rawatan (seperti tiada pengangkutan) dalam persekitaran yang biasa, dan menghalang keperluan untuk menghadirkan diri di pusat kemudahan kesihatan.
Kemas kini ulasan ini adalah tepat pada masanya kerana selepas pandemik COVID-19, pembuat dasar penjagaan kesihatan sedang mempertimbangkan dengan lebih meluas tentang bagaimana dan di mana penjagaan kesihatan perlu disampaikan.
Apakah yang kami ingin ketahui?
Walaupun garis panduan mengesyorkan bahawa kanak-kanak yang menghidap asma patut menerima pendidikan tentang asma,ianya tidak diketahui sama ada pendidikan yang disampaikan di rumah adalah lebih baik daripada penjagaan biasa (tiada pendidikan atau pendidikan yang disampaikan di tempat lain). Kami ingin mempertimbangkan sama ada intensiti pendidikan (cth. berapa banyak sesi pendidikan yang diberikan) memberi kesan kepada kanak-kanak yang menghidap asma.
Apakah yang kami lakukan?
Kami telah mencari kajian yang menyampaikan pendidikan di rumah tentang asma kepada kanak-kanak atau penjaga mereka. Pendidikan itu perlu dibandingkan dengan kumpulan kawalan (sama ada tiada pendidikan atau pendidikan yang disampaikan di pusat penjagaan kesihatan), atau dengan pendidikan yang kurang intensif yang disampaikan di rumah.
Kami membanding dan merumuskan keputusan kajian-kajian tersebut serta menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang kami temui?
Kami menemui 26 kajian yang melibatkan 5122 kanak-kanak. Kebanyakan kajian dilakukan di Amerika Utara. Kebanyakan keluarga berasal dari kawasan yang kurang berkemampuan. Kanak-kanak yang terlibat dalam kajian tersebut berbeza dari segi umur, tahap keterukan asma dan jenis intervensi pendidikan .
Keputusan
Kami mendapati bahawa pendidikan di rumah mungkin menghasilkan sedikit atau tiada perbezaan dalam tahap keterukan yang membawa kepada rawatan di jabatan kecemasan, tetapi buktinya adalah sangat tidak pasti. Kami mendapati bahawa terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam tempoh rawatan kortikosteroid oral yang diberikan (ubat yang digunakan untuk merawat asma yang mengurangkan keradangan (bengkak) pada saluran pernafasan).
Kami mendapati bahawa terdapat sedikit peningkatan dalam kualiti hidup dengan pendidikan di rumah dibandingkan dengan kumpulan kawalan, dan pengurangan kemasukan ke hospital dengan penyakit asma yang lebih teruk dibandingkan dengan pendidikan yang kurang intensif, tetapi bukti adalah tidak pasti.
Bilangan hari tanpa gejala asma dan hari yang tidak dapat hadir ke sekolah atau kerja juga menunjukkan tahap ketidakpastian yang ketara apabila dibandingkan dengan sama ada pendidikan kawalan atau kurang intensif, dan terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam hasil ini.
Apakah batasan bukti?
Kanak-kanak dan keluarga mungkin telah mengetahui rawatan yang mereka terima.
Terdapat banyak perbezaan antara tahap keterukan asma kanak-kanak, jenis intervensi pendidikan yang disampaikan dan faktor-faktor yang lain. Terdapat juga banyak perbezaan antara kumpulan kawalan dalam kajian yang terlibat (iaitu, kumpulan pendidikan mana yang dibandingkan). Ini membuatkannya sukar untuk mengetahui sama ada rawatan memberi kesan kepada kanak-kanak yang menghidap asma kerana kajian-kajiannya sangat berbeza.
Matlamat rawatan mungkin juga berbeza. Bagi sesetengah kanak-kanak yang keluarga mereka mempunyai pengetahuan asma yang sedikit, tujuan kajian berkemungkinan untuk meningkatkan pengetahuan mereka tentang gejala asma. Ini mungkin menggalakkan mereka pergi ke jabatan kecemasan dengan lebih kerap. Walau bagaimanapun, bagi sesetengah kanak-kanak yang mempunyai asma yang kurang terkawal dan mungkin sering pergi ke jabatan kecemasan, matlamatnya mungkin untuk mengurangkan bilangan lawatan ke jabatan kecemasan. Ini mungkin dengan mengajar mereka cara pengambilan ubat dengan betul supaya kawalan asma mereka bertambah baik. Ini menjadikan penilaian terhadap bukti menjadi lebih rumit.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Ini adalah kemaskini pertama ulasan Cochrane yang diterbitkan dalam tahun 2011. Maklumat ini adalah terkini sehingga Oktober 2022.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Nadiatul Azra Ahmad Mazlan (IMU University). Disunting olh Kamisah Ariffin (Universiti Teknologi MARA).