Langkau ke kandungan utama

Pendekatan manakah yang paling berkesan untuk merawat kebocoran kencing yang tidak disengajakan untuk wanita?

Mesej utama

– Beberapa pendekatan untuk latihan otot lantai pelvis (otot yang menyokong pundi kencing, usus, dan rahim) untuk wanita yang mengalami kebocoran kencing tanpa disengajakan (tidak sengaja) adalah lebih baik daripada yang lain, dan sesetengahnya mungkin mempunyai kelebihan yang sama antara satu yang lain.

– Kami tidak pasti tentang kebanyakkan pendekatan yang sedia ada, selalunya kerana terdapat hanya satu kajian atau beberapa kajian kecil yang mengkaji soalan itu.

– Lebih banyak kajian diperlukan yang membandingkan secara langsung pendekatan berbeza untuk latihan otot lantai pelvis, terutamanya kajian untuk mengetahui sama ada jumlah (dos) latihan berbeza adalah lebih baik daripada yang lain — contohnya, bersenam lebih atau kurang kerap setiap minggu.

Apakah terkucil?

Otot-otot lantai pelvis membentuk rangkaian di antara kedua-dua belah kaki dari tulang kemaluan di hadapan pelvis ke tulang ekor di bahagian belakang pelvis. Rangkaian ini menyokong pundi kencing, usus dan rahim. Jika otot-otot ini menjadi lemah, seorang wanita tidak dapat mengawal aliran kencing dari pundi kencing. Ini dipanggil terkucil. Terdapat tiga jenis utama terkucil. Ini adalah kebocoran disebabkan tekanan secara fizikal (terkucil disebabkan tekanan), kebocoran dengan keperluan mendesak untuk mengosongkan pundi kencing (terkucil dengan segera), dan kedua-duanya sekali (gabungan terkucil). Ulasan ini merangkumi ketiga-tiga jenis. Terkucil menjejaskan kualiti hidup wanita secara serius.

Apakah latihan otot lantai pelvis?

Latihan untuk meningkatkan kekuatan, daya tahan, dan penyelarasan otot lantai pelvis boleh mengurangkan kebocoran kencing. Latihan melibatkan penggunaan pendekatan (latihan) berbeza atau jumlah berbeza (dos berbeza) bagi pendekatan yang sama. Penyeliaan latihan juga boleh dilakukan secara berbeza (contohnya, seorang pengamal perubatan mengajar seorang wanita atau seorang pengamal perubatan mengajar sekumpulan wanita; atau mengajar latihan melalui internet, telefon bimbit atau dalam risalah).

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada:

– satu jenis senaman adalah lebih baik daripada yang lain;

– jumlah senaman yang lebih tinggi adalah lebih baik daripada jumlah senaman yang lebih rendah;

– penyeliaan yang lebih intensif adalah lebih baik daripada penyeliaan senaman yang kurang intensif.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami mencari kajian yang membandingkan satu jenis senaman berbanding yang lain, jumlah senaman lebih tinggi berbanding jumlah senaman yang lebih rendah, atau penyeliaan yang lebih intensif berbanding penyeliaan yang kurang intensif. Kajian-kajian iini melibatkan wanita yang mengalami terkucil, tetapi bukan wanita dengan keadaan sistem saraf atau wanita yang hamil atau baru melahirkan anak.

Kami membandingkan dan meringkaskan keputusan kajian, dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian. Kami sangat berminat dengan kualiti hidup wanita selepas rawatan.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui 63 kajian yang melibatkan 4920 wanita dengan terkucil. Kajian yang paling besar menyertakan 362 wanita dan yang paling kecil menyertakan 11 wanita. Walaupun kajian-kajian dijalankan di negara-negara di seluruh dunia, kebanyakannya adalah dari negara berpendapatan sederhana hingga tinggi (bermakna wanita mempunyai akses yang munasabah kepada penjagaan kesihatan yang baik). Kebanyakan kajian dijalankan selama tiga bulan. Terdapat tiga kajian mempunyai dana atau sokongan bukan kewangan daripada syarikat komersial.

Keputusan utama

Kami sangat berminat dengan kualiti hidup wanita. Ini diukur menggunakan soal selidik tentang kekerapan terkucil berlaku, jumlah air kencing yang bocor dan bagaimana ia menjejaskan wanita.

1. Jenis senaman

– Latihan gabungan (contohnya menggunakan senaman merapatkan pada masa yang sama dengan pengecutan otot lantai pelvis) adalah lebih baik sedikit daripada latihan otot lantai pelvis sahaja.

– Latihan otot lantai pelvis adalah lebih baik daripada latihan secara tidak langsung (latihan yang tidak termasuk pengecutan otot lantai pelvis).

- Latihan otot lantai pelvis digabungkan dengan latihan secara tidak langsung mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan dibandingkan dengan latihan otot lantai pelvis sahaja.

2. Dos senaman

– Tiada bukti yang mencukupi untuk mengulas tentang jumlah senaman.

3. Penyeliaan yang lebih intensif berbanding kurang intensif

– Mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara penyeliaan secara individu dan secara kelas kumpulan.

– Menyampaikan bimbingan latihan melalui teknologi (contohnya internet, aplikasi telefon mudah alih) mungkin adalah lebih baik daripada melalui risalah.

– Tiada bukti yang mencukupi untuk mengulas tentang kaedah penyampaian latihan yang lain.

Apakah batasan bukti?

Kami yakin bahawa terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara penyeliaan secara individu dan kelas kumpulan. Kami tidak pasti bahawa menggabungkan latihan secara tidak langsung dengan latihan otot lantai pelvis dibandingkan dengan latihan otot lantai pelvis hanya memberi sedikit atau tidak ada perbezaan, dan menyampaikan bimbingan latihan otot lantai pelvis melalui teknologi adalah lebih baik sedikit daripada melalui risalah, atau latihan otot lantai pelvis adalah lebih baik daripada latihan tidak langsung.

Keyakinan kami terhadap bukti untuk perbandingan dari segi pendekatan untuk latihan-latihan ini adalah rendah hingga sangat rendah, dan hasil penyelidikan lanjut mungkin berbeza daripada keputusan ulasan ini.

Kami tidak pasti tentang bukti kerana kaedah kajian tidak diterangkan dengan baik, tidak semua kajian memberikan data tentang semua yang kami minati atau mereka tidak melaporkannya dengan cara yang boleh kami gunakan, keputusan tidak konsisten di dalam kajian berbeza dan banyak kajian adalah berskala sangat kecil.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 27 September 2023.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Nadiatul Azra Ahmad Mazlan (IMU University). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia).

Petikan
Hay-Smith EJC, Starzec-Proserpio M, Moller B, Aldabe D, Cacciari L, Pitangui ACR, Vesentini G, Woodley SJ, Dumoulin C, Frawley HC, Jorge CH, Morin M, Wallace SA, Weatherall M. Comparisons of approaches to pelvic floor muscle training for urinary incontinence in women. Cochrane Database of Systematic Reviews 2024, Issue 12. Art. No.: CD009508. DOI: 10.1002/14651858.CD009508.pub2.