Langkau ke kandungan utama

Adakah latihan rintangan merupakan rawatan yang berkesan untuk keletihan pada orang yang didiagnosis dengan kanser?

Mesej utama

- Latihan rintangan semasa terapi kanser berpotensi untuk memperbaiki keletihan dan kualiti hidup.
- Latihan rintangan selepas terapi kanser mungkin memperbaiki kualiti hidup sedikit.
- Lebih banyak penyelidikan dapat membantu memahami kesan latihan rintangan sebelum terapi kanser.

Apakah keletihan berkaitan kanser?

Keletihan berkaitan kanser adalah rasa letih yang melampau dan berpanjangan. Ia boleh berpunca daripada kanser, atau terapi kanser, atau kedua-duanya. Keletihan berkaitan kanser menjejaskan kedua-dua tubuh dan mood, serta menyukarkan pelaksanaan activiti harian. Ia lebih kuat daripada sekadar letih, dan tidak hilang dengan berehat.

Apakah latihan rintangan, dan bagaimana ia dapat membantu?

Latihan rintangan ialah sejenis senaman di mana otot anda bekerja melawan daya, contohnya, dumbel, mesin, jalur rintangan, atau berat badan sendiri. Latihan rintangan mempengaruhi banyak perkara yang berkaitan dengan keletihan berkaitan kanser. Sebagai contoh, ia boleh menjadikan otot anda lebih kuat, mencegah kehilangan otot, serta memperbaiki mood, tidur, dan kecergasan anda. Oleh itu, latihan rintangan dapat boleh memperbaiki keletihan berkaitan kanser.

Apakah yang kami ingin ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada latihan rintangan memperbaiki keletihan berkaitan kanser. Kami meneliti sama ada sebarang kesan positif terhadap keletihan berterusan selepas tamat latihan, diukur dalam jangka pendek (sehingga 12 minggu), jangka sederhana (lebih dari 12 minggu hingga di bawah 6 bulan), dan jangka panjang (6 bulan atau lebih lama). Kami juga meneliti kualiti hidup, kesan yang tidak diingini atau memudaratkan, kemurungan, dan keresahan.

Apakah yang kami lakukan?

Kami telah mencari kajian yang membandingkan latihan rintangan dengan tiada latihan pada orang yang didiagnosis dengan sebarang jenis kanser. Orang boleh melakukan sebarang jenis latihan rintangan, bermula sebelum, semasa atau selepas terapi kanser. Kami merumuskan keputusan kajian-kajian tersebut. Kami menilai aspek seperti kaedah kajian dan saiz kajian untuk menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti tersebut.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui 21 kajian yang melibatkan 2221 peserta dengan pelbagai jenis kanser. Latihan rintangan dimulakan semasa terapi kanser dalam 14 kajian, dan selepas terapi kanser dalam tujuh kajian. Kami tidak menemui kajian mengenai latihan rintangan yang dimulakan sebelum terapi kanser. Kebanyakan kajian melaporkan hasil mengenai kesan jangka pendek.

Latihan rintangan berbanding tanpa latihan semasa terapi kanser

- Dua belas kajian memberikan bukti mengenai latihan rintangan untuk keletihan dalam jangka pendek , dan berkemungkinan mempunyai kesan bermanfaat berbanding tanpa latihan. Kami tidak pasti tentang kesannya dalam jangka sederhana atau jangka panjang.

- Dua belas kajian memberikan bukti mengenai latihan rintangan untuk kualiti hidup dalam jangka pendek , dan berkemungkinan mempunyai kesan bermanfaat yang kecil berbanding tanpa latihan. Kami tidak pasti tentang kesannya dalam jangka sederhana atau jangka panjang.

- Hanya dua kajian yang melaporkan kesan tidak diingini atau memudaratkan bagi kedua-dua kumpulan yang melakukan latihan rintangan dan juga mereka yang tidak melakukan latihan, dan kami tidak pasti mengenai kesan latihan rintangan terhadap kesan tidak diingini atau memudaratkan.

Latihan rintangan berbanding tiada latihan selepas terapi kanser

- Tiga kajian memberikan bukti mengenai kesan latihan rintangan terhadap keletihan dalam jangka pendek , tetapi kami tidak pasti tentang kesannya.

- Empat kajian memberikan bukti mengenai kesan latihan rintangan terhadap kualiti hidup dalam jangka pendek , dan kami mendapati latihan rintangan mungkin mempunyai kesan bermanfaat yang kecil atau tiada kesan terhadap kualiti hidup.

- Tiada kajian yang melaporkan data mengenai kesan latihan rintangan terhadap keletihan atau kualiti hidup dalam jangka sederhana atau jangka panjang.

- Hanya tiga kajian yang melaporkan kesan tidak diingini atau memudaratkan bagi kedua-dua kumpulan yang melakukan latihan rintangan dan juga mereka yang tidak melakukan latihan, dan kami tidak pasti mengenai kesan latihan rintangan terhadap kesan tidak diingini atau memudaratkan.

Apakah batasan bukti?

Keseluruhannya, keyakinan kami terhadap bukti adalah sangat rendah. Peserta dalam kajian mengetahui sama ada mereka melakukan latihan rintangan atau tidak. Walaupun ini tidak dapat dielakkan, ia mungkin telah mempengaruhi hasilnya. Kami tidak menemui kajian berskala besar yang mencukupi untuk memberikan bukti mengenai kesan jangka sederhana dan jangka panjang latihan rintangan bagi membolehkan kami yakin terhadap hasil kajian kami. Cara kajian melaporkan kesan tidak diingini atau memudaratkan tidak membolehkan kami membuat kesimpulan tentang kesan latihan rintangan terhadap kesan-kesan ini.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Oktober 2023.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Leong Siew Lian (Monash University Malaysia). Disunting oleh Khaw Loke Tim (IMU University).

Petikan
Ernst M, Wagner C, Oeser A, Messer S, Wender A, Cryns N, Bröckelmann PJ, Holtkamp U, Baumann FT, Wiskemann J, Monsef I, Scherer RW, Mishra SI, Skoetz N. Resistance training for fatigue in people with cancer. Cochrane Database of Systematic Reviews 2024, Issue 11. Art. No.: CD015518. DOI: 10.1002/14651858.CD015518.