Langkau ke kandungan utama

Mengapakah penambahbaikan diagnosis nefropati berkaitan BK polyomavirus (BKPyVAN) penting?

Mesej utama

• Kajian-kajian dalam ulasan ini mencadangkan bahawa ujian untuk BK polyomavirus dalam sampel darah merupakan alat pemeriksaan saringan yang boleh dipercayai untuk mengesan BKPyVAN.

• Menggunakan tahap virus BK darah 10,000 salinan/mL atau lebih, kemungkinan diagnosis BKPyVAN yang terlepas ialah 6 pesakit bagi setiap 1000 dan tersalah mendiagnosis BKPyVAN apabila pesakit tidak mempunyainya ialah 48 bagi setiap 1000 orang.

• Menggunakan tahap virus BK darah 2000 salinan/mL atau lebih, kemungkinan diagnosis BKPyVAN yang terlepas ialah 5 orang bagi setiap 1000 pesakit dan tersalah mendiagnosis BKPyVAN apabila pesakit tidak mempunyainya ialah 115 bagi setiap 1000 orang.

Apakah itu BKPyVAN?

BK polyomavirus ialah virus dengan gejala yang hampir menyerupai selsema, biasanya memberi kesan kepada orang semasa zaman kanak-kanak mereka, dan lebih daripada 80% orang telah terdedah kepada virus ini. Virus ini boleh kekal di dalam buah pinggang dan biasanya tidak mengakibatkan kesan buruk kecuali sistem imun adalah lemah, seperti dalam kalangan penerima pemindahan buah pinggang . BK polyomavirus boleh mereplikasi dan mengakibatkan bahaya selanjutnya kepada pemindahan buah pinggang, yang dikenali sebagai BKPyVAN.

Apakah cara terbaik untuk mendiagnosis BKPyVAN?

Salah satu cara untuk mengesannya adalah melalui biopsi buah pinggang (yang mana jarum berongga dimasukkan ke di dalam buah pinggang untuk mengeluarkan sampel yang sangat kecil untuk ujian). Walau bagaimanapun, kaedah ini adalah invasif dan tidak selalunya sempurna, kerana jarum tersebut mungkin terlepas bahagian buah pinggang yang terjejas oleh virus. Kaedah-kaedah lain termasuklah ujian untuk kehadiran DNA virus di dalam sampel darah dan air kencing dengan menggunakan ujian yang dipanggil QNAT. Kegagalan mengesan kehadiran BKPyVAN (keputusan ujian negatif palsu) boleh menyebabkan fungsi buah pinggang memburuk dan mungkin perlu membuat dialisis kembali. Diagnosis yang salah yang menyatakan seseorang tidak mempunyai jangkitan (keputusan ujian positif palsu) boleh mengakibatkan pengurangan yang tidak perlu dalam imunosupresi (ubat untuk menghalang badan mereka daripada cuba melawan (atau menolak) buah pinggang baharu ini), sekali gus meningkatkan risiko penolakan buah pinggang yang dipindahkan.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin mengetahui ketepatan ujian QNAT untuk jumlah virus BV di dalam darah atau air kencing untuk mendiagnosis BKPyVAN. Kami juga ingin mengetahui berapa banyak virus BK di dalam darah atau air kencing boleh meramalkan jika seseorang itu benar-benar mempunyai BKPyVAN.

Apakah yang kami lakukan?

Kami telah mencari semua kajian yang melihat kepada ujian QNAT untuk mendiagnosis BKPyVAN dalam kalangan pesakit yang telah menerima pemindahan buah pinggang atau gabungan buah pinggang dan pankreas. Kami membanding dan merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Tiga puluh satu kajian (6559 orang) telah dimasukkan dalam ulasan ini. Kajian-kajian telah dijalankan di Asia Selatan dan rantau Asia-Pasifik, Amerika Utara, Amerika Selatan dan Eropah. Dua puluh enam kajian dimasukkan pesakit yang hanya menjalani pemindahan buah pinggang, empat kajian melibatkan hanya penerima pemindahan buah pinggang-pankreas, dan satu kajian melibatkan penerima pemindahan buah pinggang, buah pinggang-pankreas dan buah pinggang-hati. Semua penerima pemindahan berumur sekurang-kurangnya 18 tahun.

Keputusan menunjukkan bahawa secara teorinya, menggunakan virus BK dalam paras darah 10,000 salinan/mL atau lebih untuk memutuskan sama ada seseorang itu mempunyai BKPyVAN, dalam 1000 penerima pemindahan buah pinggang, 37 akan didiagnosis sebagai mempunyai BKPyVAN; walau bagaimanapun, 6 akan dikelaskan secara salah sebagai tidak mempunyai BKPyVAN. Daripada 957 yang dikelaskan sebagai tidak mempunyai BKPyVAN, 48 pesakit positif akan dikelaskan secara salah sebagai tidak mempunyai BKPyVAN. Jika tahap virus BK darah diturunkan kepada 2000 salinan /mL virus atau lebih, 38 akan didiagnosis sebagai mempunyai BKPyVAN, dan 5 pesakit positif tidak akan didiagnosis, manakala 115 akan dikelaskan secara salah sebagai mempunyai BKPyVAN.

Apakah batasan bukti?

Kajian-kajian dalam ulasan ini mencadangkan bahawa ujian untuk BK polyomavirus dalam sampel darah merupakan alat saringan yang boleh dipercayai untuk mengesan BKPyVAN.

Ianya masih tidak pasti sama ada menggunakan QNAT pada sampel air kencing ialah kaedah yang boleh dipercayai untuk mendiagnosis BKPyVAN.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti ini adalah terkini sehingga Jun 2023.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia). Disunting oleh Kamisah Ariffin (Universiti Teknologi MARA).

Petikan
Maung Myint T, Chong CH, von Huben A, Attia J, Webster AC, Blosser CD, Craig JC, Teixeira-Pinto A, Wong G. Serum and urine nucleic acid screening tests for BK polyomavirus-associated nephropathy in kidney and kidney-pancreas transplant recipients. Cochrane Database of Systematic Reviews 2024, Issue 11. Art. No.: CD014839. DOI: 10.1002/14651858.CD014839.pub2.