Langkau ke kandungan utama

Adakah tindakan yang diambil di sekolah, kolej dan universiti untuk mencegah kecederaan kendiri dan bunuh diri dalam kalangan golongan muda sehingga usia 25 tahun berkesan?

Mesej utama

• Kami menjumpai 51 kajian untuk menjawab persoalan kami, tetapi kami tetap tidak pasti mengenai kesan intervensi dalam persekitaran berlatarkan pendidikan dalam mengurangkan kecederaan kendiri.

• Terdapat beberapa penemuan yang menggalakkan, tetapi kita memerlukan kajian berskala besar untuk mengesahkannya, dan kajian yang mengkaji gabungan pendekatan intervensi yang berbeza yang direka bersama dengan golongan muda, yang dapat disampaikan dalam persekitaran yang selamat dan dilaksanakan dalam jangka masa panjang.

Bagaimanakah kecederaan kendiri dan bunuh diri boleh dicegah?

Kecederaan kendiri dan bunuh diri dalam kalangan golongan muda adalah masalah kesihatan awam yang ketara yang menyebabkan kebimbangan bagi golongan orang muda, rakan-rakan mereka dan orang muda lain yang menghabiskan masa bersama, dan komuniti. Tindakan untuk mencegah bunuh diri dan kecederaan kendiri menyatakan faktor-faktor yang boleh diubah, termasuk membina kekuatan yang melindungi orang muda. Terdapat tiga jenis tindakan utama.

'Intervensi universal' biasanya bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran tentang pencegahan kecederaan kendiri dan bunuh diri, seperti program pendidikan kesihatan mental atau kesedaran bunuh diri. Juga, mengajar kemahiran khusus yang bertindak sebagai faktor pencegahan, seperti kemahiran menyelesaikan masalah. Ini membantu mengurangkan sikap negatif dan rasa malu, yang kemudian meningkatkan kemungkinan untuk mereka meminta pertolongan jika mereka mengalami keinginan untuk bunuh diri atau terlibat dalam kejadian membahayakan diri sendiri.

'Intervensi selektif' memastikan bahawa mereka yang mengalami keinginan untuk bunuh diri atau terlibat dalam mencederakan diri sendiri akan diberi perhatian dan diberikan sokongan. Ini sering termasuk dengan melatih seseorang (rakan sebaya dan orang dewasa) untuk mengenali kesusahan orang lain dengan mengemukakan soalan dan memberi sokongan yang sesuai.

'Intervensi tertunjuk’ lebih cenderung untuk disasarkan kepada individu, seperti terapi percakapan. Intervensi sebegini biasanya dilakukan dalam persekitaran klinikal. Cara mereka bekerja bergantung pada asas pendekatan intervensi tersebut. Pendekatan yang paling biasa adalah terapi tingkah laku kognitif (CBT), intervensi yang membantu seseorang untuk mengenali dan mencabar pemikiran yang tidak berguna yang membawa kepada emosi yang membimbangkan dan keinginan untuk bunuh diri atau memudaratkan diri; dan terapi tingkah laku dialektik (DBT), yang memberi tumpuan kepada mengurangkan tingkah laku yang boleh mengancam nyawa dengan meningkatkan kemampuan seseorang untuk menerima dan mengubah, emosi yang menyakitkan dan tindak balas yang lain.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui apakah intervensi universal, selektif dan tertunjuk yang disampaikan dalam persekitaran berunsurkan pendidikan dapat mengurangkan:

• mencederakan diri sendiri;

• Idea bunuh diri (berfikiran untuk bunuh diri); dan

• putus asa.

Kami juga ingin mengetahui sama ada intervensi ini boleh diterima dalam kalangan golongan muda. Kami mengukur dari segi jumlah peserta yang tidak menyelesaikan kajian (keciciran).

Kami meneroka sama ada kajian mengukur hasil yang difikirkan penting dalam kalangan golongan muda, termasuk kemahiran daya tindak, dan aspek persekitaran yang menjadikan mereka merasa selamat. Kami telah mencari sebarang jenis pengukuran berkenaan kemahiran daya tindak dan persekitaran yang selamat.

Apakah yang kami lakukan?

Kami telah mencari kajian-kajian yang mengkaji intervensi sejagat, selektif dan tertunjuk yang direka untuk mengurangkan kejadian mencederakan diri sendiri ataupun mencegah kejadian bunuh diri dalam mana-mana suasana berunsurkan pendidikan. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan daripada kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah kajian, saiz sampel dan bias yang lain yang jelas dalam prosedur kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui 51 kajian dengan 36,414 orang. Dua puluh tujuh kajian dijalankan di sekolah menengah, satu di sekolah menengah, satu di sekolah rendah, 19 di universiti, satu di sekolah perubatan, dan satu di persekitaran pendidikan dan komuniti. Tiada yang dijalankan dalam pendidikan alternatif atau sekolah berunsurkan latihan teknikal. Kajian membandingkan intervensi dengan tanpa intervensi, berada dalam senarai menunggu, atau pendekatan yang lain, seperti senaman atau pemakanan sihat.

Secara keseluruhan, hanya terdapat sedikit bukti yang menunjukkan kesan intervensi universal, selektif atau tertunjuk untuk sebarang hasil yang dikaji. Tidak ada kajian dalam pendekatan universal yang memberikan data mengenai kejadian mencederakan diri sendiri. Tidak jelas sama ada intervensi selektif dan tertunjuk mampu untuk mengurangkan sedikit kejadian mencederakan diri sendiri berbanding kumpulan perbandingan yang lain. Mungkin terdapat sedikit pengurangan dalam kejadian mencederakan diri sendiri tanpa bunuh diri (mencederakan diri sendiri tanpa niat untuk mati) untuk intervensi tertunjuk berbanding kumpulan perbandingan yang lain. Bukti intervensi ini diterima apabila peserta yang tertunjuk ini mungkin lebih cenderung untuk keciciran dari intervensi tertunjuk jika dibandingkan dengan kawalan tetapi tidak menunjukkan perbezaan untuk intervensi universal atau selektif. Mungkin terdapat pengurangan dari segi idea bunuh diri dan putus asa bagi mereka yang menerima intervensi tertunjuk berbanding kawalan tetapi mungkin sedikit atau tiada kesan untuk intervensi universal dan selektif. Terdapat beberapa pengukuran kemahiran daya tindak dan persekitaran yang selamat, tetapi terdapat maklumat yang terhad untuk menunjukkan sebarang peningkatan.

Apakah batasan bukti?

Golongan muda dalam kajian mungkin menyedari intervensi yang mereka terima dan tidak semua kajian memberikan data mengenai kejadian mencederakan diri sendiri dan hasil - hasil yang lain yang kami cari. Terdapat beberapa kajian berskala besar, yang penting untuk memahami bagaimana intervensi mempengaruhi pencegahan.

Malangnya, pengukuran kami berdasarkan peserta yang keciciran dari kajian tidak berguna dalam konteks persekitaran berunsurkan pendidikan, bila mana sering tidak jelas sama ada orang muda ini telah tercicir atau tidak berada di sekolah pada hari itu.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga April 2023.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Nadiatul Azra Ahmad Mazlan (IMU University). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my).

Petikan
Sharma V, Marshall D, Fortune S, Prescott AE, Boggiss A, Macleod E, Mitchell C, Clarke A, Robinson J, Witt KG, Hawton K, Hetrick SE. Prevention of self-harm and suicide in young people up to the age of 25 in education settings. Cochrane Database of Systematic Reviews 2024, Issue 12. Art. No.: CD013844. DOI: 10.1002/14651858.CD013844.pub2.