Mesej utama
- Dibandingkan dengan tiada rawatan atau ubat plasebo (tidak aktif), methylxanthines mungkin membawa kepada episod apnea yang lebih sedikit (berhenti seketika semasa bernafas), mungkin mengurangkan keperluan untuk mesin pernafasan, dan mengurangkan kecederaan paru-paru dalam bayi pramatang.
- Methylxanthine mungkin mempunyai sedikit atau tiada perbezaan terhadap risiko bayi pramatang sebelum meninggalkan hospital.
Terdapat sedikit bukti tentang kesan-kesan sampingan methylxanthine.
- Lebih banyak kajian diperlukan untuk kesan jangka panjang ubat-ubatan tersebut.
Apakah apnea pramatang?
Apnea pramatang adalah apabila
bayi dilahirkan terlalu awal (bayi pramatang) berhenti bernafas untuk sekurang-kurangnya 20 saat semasa tidur. Lebih separuh daripada semua bayi pramatang mempunyai apnea.
Episod-episod apnea boleh menyebabkan kadar degupan jantung yang rendah dan oksigen darah rendah, membawa kepada keperluan untuk sokongan dengan mesin pernafasan (ventilasi mekanikal). Bayi-bayi pramatang, terutamanya mereka yang lahir sebelum 28 minggu dalam rahim (kehamilan), mempunyai risiko tinggi untuk mati atau menghidap penyakit paru-paru, kecacatan intelek, buta, atau pekak berbanding dengan bayi yang dilahirkan pada atau hampir tarikh lahirnya.
Bagaimanakah apnea pada bayi-bayi pramatang dirawat?
Ia kerap dirawat dengan methylxanthine- bahan yang dijumpai dalam teh, kopi, dan coklat. Tiga jenis methylxanthine adalah kafein, aminophylline, dan theophylline. Bahan-bahan ini bertindak sebagai perangsang ringan untuk mempercepatkan sistem badan dan memudahkan pernafasan. Doktor memberikan methylxanthine kepada bayi untuk 3 sebab utama: (1) untuk mengelakkan episod-episod apnea; (2) untuk merawat/ mengurangkan episod-episod apnea dan dengan itu mengelakkan keperluan untuk ventilasi mekanikal; dan (3) untuk meningkatkan peluang bayi yang menggunakan mesin pernafasan boleh berjaya ‘disapihkan’ atau dikeluarkan daripada mesin (ekstubasi) dan bernafas sendiri. Dalam semua kes, maklamat adalah untuk meminimumkan peluang bayi mengalami masalah seperti yang dinyatakan di atas.
Apakah yang kami ingin ketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada memberikan methylxanthine kepada bayi pramatang untuk mana-mana sebab yang dinyatakan di atas mengurangkan episod apnea dan risiko kematian serta meningkatkan perkembangan jangka panjang bayi pramatang.
Apakah yang kami lakukan?
Kami telah mencari kajian yang memberikan methylxanthines kepada bayi-bayi pramatang yang berisiko untuk atau apnea pramatang. Kami telah membandingkan dan merumuskan keputusan-keputusan dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang kami temui?
Kami telah menemui 18 kajian yang melibatkan 2705 bayi pramatang dengan atau berisiko untuk apnea. Kajian yang terbesar dan berlangsung paling lama telah menyertakan 2006 bayi daripada 9 negara dalam tempoh 5 tahun, dan melaporkan hasil untuk beberapa bayi sehingga mereka remaja. Baki 17 kajian adalah lebih kecil, antara 18 hingga 86 bayi; kajian ini telah dijalankan di Amerika (6 kajian), UK (3 kajian), Kanada, Iran (2 kajian setiap negara), Australia, Perancis, Sepanyol, dan Switzerland (1 kajian di setiap negara). Kebanyakan kajian ini memberi tumpuan kepada hasil segera dan jangka pendek dan tidak melihat kepada perkembangan bayi jangka panjang. Daripada 18 kajian, 14 telah dijalankan pada tahun 1980 dan 1990.
Penggunaan methylxanthine dalam kajian-kajian adalah berbeza-beza: 6 kajian telah meneroka pencegahan apnea; 5 kajian telah meneroka rawatan apnea; 6 kajian telah menyiasat methylxanthine untuk menyapih daripada mesin pernafasan (ekstubasi); dan 1 kajian (yang terbesar) telah menyiasat methylxanthine yang diberikan untuk kesemua 3 sebab.
Keputusan utama
Dibandingkan dengan tiada rawatan atau ubat plasebo (tidak aktif), memberikan bayi pramatang methylxanthines untuk sebarang sebab:
- mungkin membawa kepada pengurangan risiko episod-episod apnea;
- mungkin meningkatkan bilangan bayi yang mempunyai episod-episod apnea selepas 2 hingga 7 hari;
- mungkin mengurangkan keperluan untuk mesin pernafasan selepas rawatan telah dimulakan;
- mengurangkan displasia bronkopulmonari; sejenis kecederaan paru-paru.
Satu kajian besar yang telah menunjukkan bahawa memberikan methylxanthine (terutamanya, kafein) meningkatkan perkembangan kanak-kanak pada umur 18 hingga 24 bulan.
Apakah batasan bukti?
Keyakinan kami terhadap bukti adalah berbeza-beza. Kajian besar itu menggunakan kaedah yang teguh: ia menentukan bayi secara rawak kepada kumpulan rawatan, dan ia ‘menopeng’ para penyelidik semasa mengumpul maklumat hasil, bermakna mereka tidak mengetahui tugasan kumpulan bayi. Kaedah-kaedah tersebut cenderung untuk menghasilkan bukti berkualiti tinggi. Kajian ini mendominasi ulasan dan memberikan satu-satunya bukti tentang perkembangan otak bayi dalam peringkat bayi dan kanak-kanak. Kaedah kajian yang selebihnya adalah berkualiti yang berbeza-beza. Ramai yang tidak menopengkan para penyelidik, dan kebanyakannya melaporkan hasil yang tidak penting kepada perkembangan jangka panjang bayi. Walau bagaimanapun, kami tidak mempunyai alasan untuk mempercayai bahawa kajian-kajian tersebut secara salah telah menahan sebarang maklumat atau melaporkan hanya hasil yang menggalakkan, walaupun tidak melaporkan hasil-hasil jangka panjang, seperti kematian.
Sejauh manakan bukti ini terkini?
Bukti ini terkini sehingga November 2022.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia.