Langkau ke kandungan utama

Adakah cara berbeza memberikan darah atau produk darah untuk merawat pendarahan mempengaruhi risiko kematian atau risiko pembentukan darah beku pada pesakit yang mengalami pendarahan teruk selepas kecederaan traumatik?

Mesej utama

- Tiada strategi tertentu transfusi (kaedah pemberian produk darah) yang tampaknya mengubah risiko keseluruhan pesakit mati atau mendapat darah beku.

- Kami menemui 18 kajian yang menguji cara-cara berbeza menjalankan pemindahan darah. Kepelbagaian ini menyebabkan kesukaran untuk menggabungkan keputusan dan ini bermakna kami tidak mempunyai jawapan yang jelas kepada soalan kami.

Apakah itu kecederaan traumatik?

Kecederaan traumatik ialah kejadian tiba-tiba dan tidak dijangka (contohnya kemalangan kereta, kemalangan menunggang kuda, atau jatuh) yang menyebabkan kecederaan fizikal kepada seseorang. Kebanyakan kecederaan traumatik memerlukan penjagaan hospital, dan pesakit dirawat sebelum (prahospital) dan sebaik sahaja mereka sampai ke hospital.

Mengapa darah atau produk darah diberikan selepas kecederaan traumatik?

Selepas kecederaan traumatik, pesakit boleh mengalami pendarahan teruk. Mereka yang cedera paling serius berkemungkinan mengalami pendarahan yang teruk, dan ramai boleh mati dalam masa beberapa jam selepas kecederaan. Memberi darah atau produk darah (pemindahan darah) dengan awal boleh membantu menghentikan pendarahan dan menyelamatkan nyawa seseorang.

Apakah itu strategi transfusi?

Terdapat beberapa jenis produk darah, semuanya dihasilkan daripada darah yang didermakan, yang membantu darah pesakit membeku dengan lebih cepat. Strategi pemindahan darah ialah perancangan bagaimana doktor memberikan produk darah kepada orang yang mengalami pendarahan yang banyak. Ini mungkin termasuk jenis produk darah yang diberikan, berapa banyak yang digunakan, turutan ianya diberikan, dan sama ada ujian darah digunakan untuk membantu memutuskan apa yang diberikan seterusnya.

Apakah yang kami ingin ketahui?

Kami ingin melihat sekiranya cara berbeza memberikan darah atau produk darah bagi merawat pendarahan boleh mengurangkan risiko kematian atau mendapat darah beku selepas kecederaan.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian perubatan yang dikenali sebagai 'kajian terkawal rawak', yang memberikan bukti yang paling boleh dipercayai tentang keberkesanan dan keselamatan rawatan perubatan. Dalam jenis kajian ini, pesakit diletakkan dalam dua atau lebih kumpulan rawatan secara rawak, untuk memastikan kumpulan adalah serupa, dan secara ideal, peserta kajian mahupun penyelidik tidak tahu siapa yang berada dalam kumpulan mana. Kami mencari kajian terkawal rawak di mana satu kumpulan pesakit menerima satu strategi transfusi, dan kumpulan lain menerima strategi yang berbeza. Dengan membandingkan bilangan kematian dan pembekuan darah antara kumpulan, kami dapat melihat sekiranya satu rawatan lebih berkesan daripada yang lain.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui lapan belas kajian yang melibatkan sejumlah 5041 peserta dewasa. Orang dewasa ditakrifkan sebagai orang yang berumur 16 tahun ke atas. Kami membahagikan kajian kepada empat kumpulan.

1) Pesakit yang dirawat sebelum sampai ke hospital ('prahospital') – 5 kajian
2) Pesakit yang dirawat di hospital dengan produk darah – 10 kajian
3) Pesakit yang dirawat di hospital dengan darah penuh – 1 kajian
4) Pesakit yang dirawat di hospital dengan produk darah berdasarkan keputusan ujian pembekuan darah – 2 kajian

Keputusan utama

Secara keseluruhannya, tiada strategi transfusi yang diuji dalam kajian yang mengurangkan risiko keseluruhan kematian, sama ada ini diukur selepas 24 jam atau selepas 30 hari. Walau bagaimanapun, kami tidak begitu yakin dengan keputusan, dan kajian pada masa hadapan mungkin mengubah kesimpulan ini.

Begitu juga, tiada strategi transfusi yang menunjukkan kadar berbeza bagi pembentukan darah beku yang memudaratkan, tetapi kami tidak pasti sekiranya ini adalah tepat.

Apakah batasan bukti?

Kajian yang kami kenal pasti adalah sangat berbeza antara satu sama lain (contohnya dalam cara kajian mengukur hasil), yang menyebabkan ianya sukar untuk membuat kesimpulan kukuh tentang strategi transfusi yang paling berkesan. Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk menjawab sepenuhnya soalan kami tentang cara terbaik merawat pendarahan major selepas trauma.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Kami menyemak semua kajian rawak terkawal mengenai topik ini yang diterbitkan setakat 20 November 2023. Kami juga menemui maklumat tentang 11 kajian yang telah bermula atau akan bermula tidak lama lagi: tiga bertumpu pada merawat pesakit sebelum mereka sampai ke hospital, empat bertumpu pada merawat pesakit di hospital dengan produk darah, dua bertumpu pada merawat pesakit di hospital dengan darah penuh, dan dua bertumpu pada merawat pesakit di hospital berdasarkan keputusan ujian pembekuan darah. Pada masa hadapan, penemuan daripada kajian-kajian ini akan membantu menjawab soalan kami tentang strategi pemindahan darah untuk pendarahan major yang disebabkan oleh kecederaan traumatik.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Irfan Mohamad (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK).

Petikan
Brunskill SJ, Disegna A, Wong H, Fabes J, Desborough MJR, Dorée C, Davenport R, Curry N, Stanworth SJ. Blood transfusion strategies for major bleeding in trauma. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 4. Art. No.: CD012635. DOI: 10.1002/14651858.CD012635.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan