Mesej utama
-
Antibiotik (ubat pembunuh kuman) mungkin boleh mempunyai sedikit atau tiada kesan ke atas jangkitan pada lapisan rahim selepas uri melekat dikeluarkan secara manual, tetapi kepastian bukti adalah sangat tidak pasti.
-
Kajian yang lebih besar dengan reka bentuk yang lebih baik dan lebih sesuai untuk soalan penyelidikan kami mungkin diperlukan untuk memberikan anggaran yang lebih baik tentang faedah dan potensi bahaya antibiotik profilaktik (pencegahan).
Apakah itu uri melekat?
Dalam kelahiran semula jadi, pengeluaran uri berlaku sejurus selepas kelahiran bayi. Kadangkala, uri tidak boleh dikeluarkan, dan melekat di dalam rahim. Ini boleh menyebabkan kehilangan sejumlah darah yang ketara dan kesan yang teruk, seperti kematian ibu tersebut.
Bagaimanakah uri melekat dirawat?
Selepas wanita itu diberi ubat bius, doktor akan memasukkan tangannya ke dalam rahim untuk mengeluarkan uri. Ini berkemungkinan boleh memasukkan kuman ke dalam rahim, dan mengakibatkan jangkitan pada lapisan rahim.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada pemberian antibiotik sejurus sebelum pembuangan uri melekat secara manual boleh mencegah jangkitan pada lapisan rahim. Kami juga ingin mengetahui sama ada ianya dikaitkan dengan banyaknya kehilangan darah, jangkitan saluran darah, sebarang kesan sampingan yang tidak diingini, dan kemasukan bayi ke unit jagaan rapi.
Apakah yang kami telah lakukan?
Kami telah mencari kajian yang menyiasat antibiotik profilaktik yang dibandingkan dengan tiada antibiotik pada wanita yang menerima pengeluaran uri secara manual. Kami membandingkan dan merumus keputusan kajian, dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang telah kami temui?
Kami menemui empat kajian yang melibatkan 974 wanita dengan uri melekat. Kesemua kajian membandingkan antibiotik profilaktik dengan tanpa antibiotik. Kajian terbesar adalah pada 407 wanita dan kajian terkecil adalah pada 100 wanita. Kajian ini telah dijalankan di Bulgaria, Jerman, Norway, dan Israel. Tiada kajian melaporkan sumber dana.
Apabila dibandingkan dengan tanpa antibiotik, antibiotik profilaktik:
-
mempunyai kesan yang tidak jelas pada jangkitan rongga rahim,
-
mungkin mempunyai sedikit atau tiada pengaruh sama ada banyaknya darah yang hilang, atau bayi dimasukkan ke unit jagaan rapi.
Kami menemui tiada kajian untuk membantu kami menjawab kesan antibiotik profilaktik terhadap jangkitan saluran darah atau sebarang kesan sampingan yang tidak diingini.
Apakah batasan bukti?
Kami tidak yakin dengan keputusan kesan ke atas jangkitan pada lapisan rahim, kerana beberapa faktor yang tidak diketahui mungkin mempengaruhi kesan tersebut. Sesetengah bukti tertumpu pada sebarang intervensi rahim selepas bersalin, manakala prosedur yang ingin kami nilai adalah lebih khusus. Bukti ini hanya berdasarkan beberapa kes jangkitan.
Kami mempunyai sedikit keyakinan terhadap bukti kehilangan darah yang banyak atau kemasukan bayi ke unit jagaan rapi, kerana beberapa faktor yang tidak diketahui mungkin mempengaruhi kesan tersebut, dan tidak ada kajian yang mencukupi untuk memastikan hasil keputusan kami.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Ulasan ini mengemas kini Ulasan Cochrane kami pada 2014. Bukti ini adalah terkini sehingga Mei 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Kuantan). Disunting oleh Khaw Loke Tim (IMU University).